Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diberikan oleh Allah SWT ke atas Nabi SAW dalam menjadikan pedoman dan petunjuk kepada manusia sekalian dalam membezakan antara yang hak dan batil. Hal ini ada disebutkan di dalam firman-Nya yang bermaksud :
Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dan yang batil. - Surah Al-Baqarah : 185
Jelas kepada kita bahawa Al-Quran yang diturunkan adalah bertujuan dalam memantapkan fikrah manusia mengenai agama Islam itu sendiri. Sebab itu ia juga digelar Al-Furqan iaitu pembeza antara yang hak dan yang batil.
Akan tetapi penghayatan masyarakat umum masih kurang bahkan ada yang sekadar mengambil Al-Quran sekadar ayat jampi berubat dan menghalau makhluk halus semata-mata tanpa meneliti isi kandungan yang dibawa.
Bahkan lebih teruk lagi apabila mushaf Al-Quran yang dibeli sekadar menjadi penghias di rumah atau kenderaan masing-masing.
Penurunan Al-Quran yang ditentukan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadhan mengajar manusia bahawa fikrah Islam yang jelas menjamin kepada kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Hal ini sebagaimana yang tercatat di dalam sirah akan kemenangan pertama peperangan dalam Islam iaitu Badar Al-Kubra.
Walaupun ketika itu kuantiti tentera Islam sangat kerdil; jika dibandingkan dengan tentera musyrik bahkan dengan kelengkapan yang serba kekurangan. Namun dengan pertolongan Allah dan lihat hikmah Al-Quran di turunkan di dalam Ramadhan yang menjamin fikrah adalah sebab utama bagi kemenangan yang dijanjikan.
Masakan tidak, sekiranya fikrah Islam pun masih kabur bagaimana Allah mahu memberikan kemenangan kepada mereka yang bercelaru fikrahnya.
Hari ini kita lihat bagaimana isu gejala sosial yang kian parah di negara kita dengan pelbagai isu yang sangat memalukan. Tiap-tiap hari terpampang di dada akhbar mengenai jenayah bunuh, rompak, rogol, zina, pembuangan bayi dan sebagainya.
Pada tahun 2009, statistik anak luar nikah melayu Islam sahaja yang didaftarkan adalah seramai 17,303. Bahkan isu jenayah rogol dari tahun 2000 yang dilaporkan sebanyak 1217 kes meningkat tinggi pada tahun 2008 iaitu sebanyak 4959. Fenomena gejala sosial yang memalukan dan sangat membimbangkan.
Justeru, ia merupakan kesan penghayatan terhadap Al-Quran yang masih kurang.
Walaupun tidak dinafikan tahap pembacaan Al-Quran kian boleh dibanggakan namun kesedaran dalam memahami isi kandungan dan mengamalkan apa yang dibawa masih terlalu lemah.
Dr Yusof Al-Qardhawi ada mengingatkan umat Islam sekalian mengenai sifat yang hanya berlumba-lumba mengejar 'berapa' juzuk Al-Quran yang telah dibaca sehingga melupakan 'berapa' banyak isi kandungan yang telah difahami.
Isu demi isu yang semakin teruk ini tidak dapat tidak mesti diatasi dengan mengamalkan apa yang diterangkan di dalam Al-Quran tanpa sebarang pengecualian yang mana Al-Quran merupakan rujukan perkara di dalam perlembangan syariat.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai orang yang beriman, masuklah kepada Islam dengan seluruhnya (mengamalkan seluruh ajaran Islam). - Surah Al-Baqarah ayat 208.
Bersempana dengan peristiwa nuzul Al-Quran yang merupakan salah satu tarikh kebesaran di dalam Islam, ambillah kesempatan ini untuk meningkatkan penghayatan kita terhadap Al-Quran akan apa jua ajaran yang dibawa.
Usah hanya berpesta menghabiskan Al-Quran berkali-kali tanpa cuba memahami ayat-ayat yang dibaca.
Semoga Ramadhan kali ini menjadikan kita sebagaimana para sahabat yang diberikan kemenangan oleh Allah dalam menegakkan agama-Nya.
sumber : www.pmram.org
No comments:
Post a Comment