Wednesday, April 27, 2011

PMRAM Membidas Tuduhan Mahasiswa Mesir Lemah Bahasa Arab





Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) membidas tuduhan yang dilemparkan oleh beberapa pihak mengenai mahasiswa/wi Malaysia yang menuntut pengajian di Mesir khususnya di Universiti Al-Azhar lemah dalam berbahasa Arab.

Baru-baru ini juga kenyataan tersebut dimainkan di peringkat Malaysia apabila Datuk Khalid Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan peperiksaan kelayakan (Imtihan Qabul) akan diadakan di Malaysia bagi mana-mana individu yang mahu melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Tuduhan tersebut telah menimbulkan kontroversi ramai pihak kerana ia melibatkan imej dan kredibiliti Universiti Al-Azhar yang bertaraf dunia dan merupakan pusat ilmu bagi Umat Islam.

Hal ini demikian kerana universiti yang telah melahirkan ribuan ulama terkini seolah-olah gagal dalam menyampaikan ilmu Islam yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Arab.

Tambahan pula, tuduhan tersebut menyatakan bahawa mahasiswa/wi Malaysia yang berada di Mesir 'malas' ekoran pengangkutan yang susah didapati dan pensyarah yang mengajar tidak menggunakan bahasa Arab yang fasih sebaliknya menggunakan bahasa Arab tempatan (lahjah ammiah).

PMRAM memandang tuduhan tersebut adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambarkan suasana sebenar bagi penuntut-penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir. Sedangkan sejak akhir-akhir ini kita melihat kebanyakkan kelas-kelas pengajian sama ada yang dilangsungkan di kuliah mahupun di luar kuliah didominasi oleh penuntut-penuntut Malaysia.

Begitu juga, kelas-kelas tafaqquh yang dianjurkan di peringkat negeri masing-masing makin bertambah. Ini jelas membuktikan budaya cintakan ilmu makin menebal dalam jiwa mahasiswa/wi Malaysia di sini.

Kegagalan penuntut-penuntut Malaysia menghabiskan pengajian mereka di Al-Azhar dalam jangka masa 4 tahun tidak boleh dijadikan bukti bahawa mereka ini lemah bahasa Arab. Sedangkan sistem pengajian dan peperiksaan ini amat berbeza dengan sistem yang digunapakai di negara kita. Justeru adalah tidak adil sekiranya kita melihat perkara tersebut sebagai ukuran utama bagi membuktikan kelemahan mereka dalam bahasa Arab.

PMRAM yang merupakan persatuan induk pelajar-pelajar Malaysia di sini sudah sekian lama mengambil inisiatif membantu pelajar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan juga kecemerlangan akademik.

Pelbagai program yang menjurus ke arah tujuan tersebut telah dilaksanakan saban tahun antaranya ialah :

1) Mengadakan pengajian ilmiah bersama para Ulama'-Ulama' besar Al-Azhar
3) Mengadakan Majlis Pembacaan Hadis Kutub Sittah bersama Ulama’ Al-Azhar
4) Melaksanakan kelas tutorial berpusat dan memantau perjalanan study group di kalangan ahli
5) Mengadakan bengkel cara-cara menjawab soalan kepada mahasiswa baru
6) Mengadakan peperiksaan Pra-Imtihan Qabul sebagai medan latihan untuk menguji dan mengenalpasti tahap pencapaian mahasiswa baru sebelum menduduki Imtihan Qabul yang sebenar.
7) Mengadakan kelas tafaqquh khas bagi pelajar yang gagal dalam Imtihan Qabul.
8) Polisi persatuan yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari berbahasa Arab.
9) Bekerjasama dengan markaz-markaz bahasa di Kaherah dalam melaksanakan kelas pengukuhan bahasa Arab


Justeru, PMRAM amat mengharapkan agar semua pihak mengkaji dan menilai semula fakta mengenai dakwaan yang dilemparkan serta lebih banyak membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk terus belajar di bumi Mesir ini seterusnya dapat mencurahkan bakti kepada negara sekembalinya ke tanah air kelak.

Monday, March 28, 2011

Isu Di Syria : PMRAM Menghubungi PPMS

KAHERAH, 27 Mac - Isu pergolakan politik di Syria menjadi tumpuan pihak PMRAM kerana ia membabitkan keselamatam mahasiswa Malaysia yang berada di sana. Pemangku Presiden, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman telah menghubungi Presiden PPMS, Saudara Hazuan bagi mengetahui secara lanjut perkembangan keselamatan mahasiswa/ Malaysia yang berada di sana.

Presiden PPMS menjelaskan setakat ini keselamatan mahasiswa Malaysia di Syria dalam keadaan selamat dan suasana yang berlaku masih terkawal kerana berjauhan dengan tempat kediaman mahasiswa Malaysia.

Selain itu, Pemangku Presiden menjelaskan bahawa PMRAM sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku di sana lebih-lebih lagi PPMS merupakan rakan jalinan SMART yang telah ditubuhkan presiden ppms.jpgpada tahun 2007.

"Justeru, menjadi kewajipan pihak PMRAM untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini bagi menbantu pihak PPMS dalam isu yang berlaku ini," jelas beliau.

Beliau menambah, perbincangan awal telah dilakukan antara pihak PMRAM dan PPMS bagi isu ini dan PMRAM menjadi rujukan bagi tindakan-tindakan yang patut dilakukan oleh pihak PPMS memandang isu seperti ini telah berlaku di Mesir lebih awal lagi iaitu pada 25 Januari.

"Kita juga akan memperkasakan jalinan SMART antara persatuan-persatuan Timur Tengah mengenai isu ini dalam aspek kebajikan dan keselamatan mahasiswa/wi kita. Kita harap kebersamaan yang dijalinkan ini akan lebih memantapkan persatuan kita di tempat masing-masing. Setakat ini, PMRAM masih lagi mendapatkan makluman semasa secara langsung dengan Presiden PPMS dan berbincang untuk tindakan demi tindakan," jelas beliau ketika diminta mengulas isu yang berlaku di Syria.

sumber asal : pmram.org

Sunday, March 27, 2011

Tsunami Politik Syria

syria tsunami.jpgKemelut tsunami politik di Timur Tengah sekitar negara-negara Arab semakin merebak. Selepas permulaan demontrasi anti-kerajaan bagi menggulingkan pemimpin yang bukan lagi di hati rakayat di Tunisia mencapai matlamat, begitu juga di beberapa negara Arab yang lain.

Kini kancah kuasa rakyat mula beralih ke negara Syria apabila sudah seminggu demontarsi anti-kerajaan berlaku di Daraa dan beberapa bandar besar di Syria.

Punca utama tercetusnya demontrasi ini berikutan ketidak puas hati rakyat dengan sistem pemerintahan yang sedia ada. Rakyat menuntut agar diberikan kebebasan demokrasi serta mendesak pihak kerajaan agar mengembalikan hak-hak mereka yang telah dirampas. Ekoran pemerintahan yang tidak adil dan zalim di pandangan rakyat Syria, Presiden Syria, Basyar Al-Assaad dituntut untuk berundur dari kerusi pemerintahannya, agar pemilihan Presiden baru dapat dijalankan.

Krisis pertembungan ini semakin teruk kerana ia melibatkan pertembungan antara penunjuk perasaan anti-kerajaan dengan pihak keselamatan yang bertindak dengan ganas.

Terbaru, dilaporkan seramai 25 orang awam terbunuh, termasuk seorang doktor yang mati ditembak di Masjid Omari ketika sedang memberikan bantuan.

Bahkan tindakan pihak keselamatan semakin ganas apabila melepaskan tembakan secara bertubi-tubi ke arah penunjuk perasaan dan menyerbu ke dalam Masjid Omari serta melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menghadiri upacara pengebumian di Daraa, Syria.

Penunjuk perasaan anti-kerajaan menyeru semua rakyat Syria untuk sama-sama keluar pada Hari Jumaat ini bagi memprotes pihak keselamatan. Dan himpunan demokrasi bagi Hari Jumaat ini dinamakan sebagai Dignity Jumaat.

Sumber asal : pmram.org

Thursday, March 24, 2011

Informasi Terkini Sekitar Suasana Di Mesir

cairo sweet.jpgKAHERAH, 23 Mac - Pemangku Presiden, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menasihati kepada semua pihak terutama mahasiswa/wi Malaysia yang belajar di Mesir agar mengikuti perkembangan Mesir dari semasa ke semasa. Ia bagi membolehkan mahasiswa/wi tidak 'buta suasana' dan tertipu dengan fakta-fakta salah yang cuba diselewengkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perintah Berkurung

Selepas pengunduran mantan Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 11 Februari yang lalu, perintah berkurung masih lagi dikuatkuasakan oleh pihak tentera. Perintah berkurung adalah bermula pada jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi.

Namun begitu, pihak PMRAM telah pun diminta oleh pihak keselamatan Mesir agar memastikan supaya semua mahasiswa/wi Malaysia tidak berada di luar rumah selewat-lewatnya pada jam 10 malam bagi tujuan keselamatan.

revolusi mesir.jpgDemonstrasi Masih Berlaku

Untuk makluman semua pihak, keadaan di Mesir semakin tenang dan berjalan seperti biasa. Kekecohan serta huru hara yang cuba digembar-gemburkan adalah tidak tepat berdasarkan situasai sekarang.

Justeru, semua pihak harus berwaspada kerana demontrasi aman masih berlangsung di beberapa lokasi seperti Medan Tahrir dan di Mansyiah Iskandariah.

Pada hari Ahad yang lalu, satu demonstrasi aman di jalanan telah pun berlaku di Mansyiah, Iskandariah. Akan tetapi tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan.

Pihak PMRAM mengingatkan semua mahasiswa/wi Malaysia agar tidak mengikuti sebarang demonstrasi yang diadakan serta menjauhi lokasi-lokasi yang terdapatnya demonstrasi.

al-azhar-logo.jpgPenukaran Reaktor Universiti Al-Azhar Yang Baru

Untuk pengetahuan mahasiswa/wi Malaysia yang menuntut di Universiti Al-azhar, Reaktor Universiti Al-Azhar yang baru dilantik ialah Prof. Dr. Usamah Al-'Abd bagi menggantikan Reaktor Universiti Al-Azhar yang lama Dr. Abdullah Al-Husaini.

Penukaran tersebut berlaku selepas setahun dalam sesi pentadbiran yang dipegang oleh Reaktor Universiti Al-Azhar yang lama, Dr Abdullah Al-Husaini. Ia adalah bagi memastikan pentadbiran yang dijalankan berjalan dengan lebih lancar.

Pengajian Tetap Berjalan Seperti Biasa

Pengajian di semua Universiti setakat ini berjalan seperti biasa pada awal Mac yang lalu selepas tamat tempoh cuti pertengahan sesi. Sebelum ini, semua mahasiswa/wi digembar gemburkan dengan 'cuti setahun' bagi pengajian di Universiti Al-Azhar, namun ternyata ia adalah tidak benar. Semua pengajian Al-Azhar samada peringkat rendah, menengah dan Universiti telah pun memulakan pengajian.

Justeru, semua mahasiswa/wi yang telah hadir dinasihatkan untuk terus ke kuliah, dan tidak membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat. Begitu juga kepada mahasiswa/wi yang masih belum tiba, dinasihatkan agar tidak terlalu lambat supaya tidak ketinggalan dalam pengajian akademik.

Provokasi Metode Salafiyyah Ke Dalam Al-Azhar

Sepanjang bulan Mac ini, pihak Universiti Al-Azhar di bawah pemantauan Reaktor Universiti Al-Azhar yang baru, Prof. Dr. Usamah Al-'Abd telah mengadakan kempen menjaga metode Azhari daripada serangan provokasi untuk memasukkan metode salafiyyah ke dalam Universiti Al-Azhar. Ia adalah berikutan pihak yang melancarkan provokasi mahu menukar metode Al-Azhar sekarang yang lebih kepada wasatiah dan taqrib kepada metode salafiyyah.

Justeru, PMRAM menasihatkan semua mahasiswa/wi agar tidak terpengaruh dengan mana-mana provokasi yang telah dijalankan serta terus bersama-sama dengan ulama-ulama Al-Azhar dalam mempertahankan metode Azhari yang sekian lama diperjuangkan.

Bekalan Makanan Dan Barangan Runcit Mencukupi
padi sedap.jpg
Setakat ini, bekalanan makanan dan barangan runcit adalah mencukupi dan tidak perlu bimbang. Kedai-kedai di Mesir sudah kembali beroperasi sepenuhnya ekoran suasana di Mesir kembali aman selepas perletakan jawatan Mantan Presiden, Hosni Mubarak pada 11 Februari yang lalu.

Bahkan kenaikan harga juga masih dalam kawalan dan tidak begitu membimbangkan. Ia secara tidak langsung tidak menjejaskan kos kehidupan mahasiswa/wi. Namun begitu, PMRAM tetap menyarankan agar mahasiswa/wi berjimat cermat dalam perbelanjaan kehidupan seharian.

Hari Jumaat Dan Perkumpulan Di Jalanan

Semua mahasiswa/wi Malaysia dinasihatkan agar tidak mengikuti mana-mana perkumpulan masyarakat Mesir terutama yang berbaur politik pada Hari Jumaat. Hal yang demikian walaupun keadaan semakin aman, namun negara Mesir masih dalam keadaan darurat dan politik dalaman negara Mesir yang masih belum begitu stabil.

bom alex.jpgPergeseran Antara Masyarakat Islam Dan Kristian

Isu pergeseran antara masyarakat Mesir bagi umat Islam dan Kristian, merupakan satu provokasi yang dijalankan oleh pihak tertentu bagi menututup isu pemerintarahan diktator Mantan Presiden Mesir yang lalu. Hasilnya berlaku pertembungan antara 2 penganut agama di Mesir ini dan kekecohan sementara.

Namun begitu, isu ini telah pun selesai selepas beberapa tindakan yang telah diambil bagi menyatukan kembali 2 penganut agama yang terbesar di Mesir ini dengan slogan "Kita adalah rakyat Mesir yang menolak keganasan dan kezaliman"

sumber asal : pmram.org

Sunday, March 20, 2011

Berhati-hati Dengan Isu Keselamatan Dan Kes Kecurian



KAHERAH, 19 Mac
- Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman mengingatkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia yang sudah berada di Mesir, agar berhati-hati dengan isu keselamatan berkaitan demonstrasi yang dilancarkan oleh rakyat Mesir pada 25 Januari yang lepas, serta kes kecurian yang berlaku.


Jelas beliau, sehingga kini demonstrasi secara aman masih lagi berlaku di beberapa tempat seperti Dataran Tahrir dan dijangka akan berlarutan. Selain itu, mahasiswa/wi Malaysia juga diingatkan agar tidak berada berhampiran dengan lokasi-lokasi yang berdekatan dengan Kompleks Kerajaan Mesir.

Tambah beliau, pihak PMRAM sering berhubung dengan pihak kedutaan mengenai isu keselamatan yang melibatkan rakyat Malaysia di Mesir bagi mendapatkan maklumat semasa.

Berkaitan kes kecurian, beliau meminta mana-mana mahasiswa/wi Malaysia yang baru sampai di Mesir agar memeriksa barang-barang peribadi yang ditinggalkan semasa pulang ke Malaysia sebelum ini. Hal ini berikutan kadar kecurian yang berlaku sejak berlakunya demonstrasi semakin meningkat.

"Kita meminta agar semua mahasiswa/wi Malaysia mengambil perhatian 2 isu besar sekarang ini iaitu isu keselamatan dan kes kecurian. Kita minta agar semua mahasiswa/wi Malaysa mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan bagi menjamin keselamatan mereka sepanjang keberadaan mereka di Mesir serta mengambil berat akan keselamatan barang-barang kepunyaan mereka," tegas beliau.

Justeru, semua mahasiswa/wi Malaysia bolehlah mendapatkan maklumat terkini dengan merujuk kepada web rasmi PMRAM di www.pmram.org , atau terus menghubungi nombor telefon Presiden PMRAM di talian +20113771841.

Bagi kes kecurian, mahasiswa/wi Malaysia diminta untuk terus melaporkan kepada Presiden PMRAM di talian +20113771841 atau Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan, Saudara Farkhan Md Zain di talian +20142900215.

sumber asal : pmram.org

Saturday, March 19, 2011

Terima Kasih Kepada Semua Pihak Yang Terlibat




KAHERAH, 18 Mac
– Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada mahasiswa/wi Malaysia di Mesir semasa isu demonstrasi rakyat Mesir pada 25 Januari yang lepas.


Pihak PMRAM juga melahirkan rasa bersyukur atas keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh pihak kerajaan Malaysia yang telah membawa pulang lebih 9000 mahasiswa Malaysia yang menuntut di Mesir atas dasar menjaga keselamatan dan kebajikan mereka daripada bahaya ekoran tercetusnya demonstrasi di Mesir.

Bahkan juga kepada kerajaan-kerajaan negeri yang telah membiayai tiket penerbangan pulang ke Mesir bagi mahasiswa/wi Malaysia mengikut negeri masing-masing serta kebajikan yang telah diperuntukkan sepanjang keberadaan mahasiswa/wi di Malaysia dengan beberapa pengisian dan program yang bermanfaat.

“Selain itu, kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak ILMAM (Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir) yang telah banyak membantu PMRAM secara langsung di peringkat Malaysia dalam isu ini. Tidak lupa juga kepada kepada Lembaga Zakat di peringkat negeri serta beberapa badan-badan dan NGO yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak,” ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman, Timbalan Presiden PMRAM yang kini berada di Mesir bersama beberapa Badan Pengurus yang lain.

Maklumat terkini yang diterima di peringkat PMRAM, penghantaran pulang mahasiswa/wi Malaysia ke Mesir sedang giat dilakukan seawal 5 Mac yang lalu yang dimulai oleh kerajaan negeri Kedah.

Melalui PMRAM Cawangan di setiap peringkat, PMRAM turut menghulurkan bantuan penuh bagi memastikan kedatangan mahasiswa/wi Malaysia yang sampai di Mesir terjaga dengan kerjasama baik daripada pihak pegawai negeri. Dijangka trip terakhir mahasiswa/wi yang akan tiba di Mesir adalam pada bulan April ini.

sumber asal : pmram.org

Sunday, January 30, 2011

Wakil PMRAM Kunjungi Tan Sri Wan Mokhtar


SELANGOR, 26 Jan - Wakil PMRAM mengadakan kunjungan ziarah ke rumah kediaman Tan Sri Wan Mokhtar yang merupakan mantan Yang Di-Pertua PMM. Kunjungan ziarah tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden, Muhamad Zuhaili Saiman bersama mantan Naib Setiausaha Agung PMRAM 2009, Saudara Amaluddin. Kunjungan itu merupakan kunjungan yang kedua selepas kunjungan pertama yang dihadiri oleh Saudara Muhamad Zuhaili pada 18 Januari yang lepas.

Wakil PMRAM sampai di rumah kediaman Tan Sri Wan Mokhtar sekitar jam 4.30 petang. Pertemuan yang memakan masa selama sejam itu memberikan banyak pengalaman bersejarah yang pernah diusahakan oleh Tan Sri semasa memikul amanah YDP PMM. Antara sejarah paling berharga yang pernah dilakukan oleh Tan Sri ialah menyempurnakan misi mendapatkan tanah daripada kerajaan Mesir yang mula dicetuskan oleh pimpinan lama semasa tahun 1932.

Hasil kesungguhan Tan Sri bersama saf kepimpinan ketika itu, Presiden Mesir ketika itu memberikan tanah seluas 2212 meter persegi bagi kegunaan anak-anak melayu ketika itu bagi tujuan pembinaan bangunan untuk dijadikan asrama.

Selain itu, Tan Sri juga turut memberikan beberapa nasihat bagi mahasiswa/wi Islam Mesir dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan di Universiti Al-Azhar. Bahkan, Tan Sri turut dimaklumkan berkenaan Misi Dan Syaqah PMRAM yang bermula 2006 bagi mengurangkan kos pembayaran sewa pejabat yang ditanggung oleh PMRAM sejak diusir dari ARMA.

Di akhir pertemuan tersebut, wakil PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan mesra yang diberikan oleh Tan Sri. Bahkan Tan Sri sendiri juga berhasrat ke Mesir untuk menziarahi mahasiswa/wi Mesir yang mana kali terakhir Tan Sri ke Mesir pada tahun 80-an.

sumber asal : pmram.org

Wednesday, January 26, 2011

Wakil PMRAM Ke Pejabat Rasmi Ketua Menteri Melaka


MELAKA, 24 Januari - Wakil PMRAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman telah melakukan kunjungan ke kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Ali Rustam. Turut bersama ialah Saudara Labib Abdul Jalil, Mantan Ketua Badan Sambutan Dan Rehlah PMRAM 2009 dan Saudara Amaluddin, mantan Naib Setiausaha Agung PMRAM 2009.

Kunjungan tersebut hadir seawal jam 8.00 pagi di tempat kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, Melaka. Tujuan kunjungan tersebut adalah bagi menyerahkan surat penjelasan mengenai tuduhan dikenakan ke atas PMRAM ketika lawatan rasmi Dato Seri Ali Rustam ke Mesir bagi merasmikan wisma baru Melaka baru-baru ini.

Namun perjumpaan tersebut terpaksa ditunda ekoran Dato Seri terpaksa menghadiri mesyuarat khas berikutan keja bagi pengurusan suruhanjaya pilihanraya ekoran kematian ADUN Merlimau, Dato Mohamad Hidhir pada hari Jumaat baru-baru ini. Dan juga Dato Seri dijadualkan akan ke Tenang selepas daripada mesyuarat tersebut.

Oleh hal yang demikian wakil PMRAM mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha bagi Ketua Menteri, Puan Suraya di pejabat rasmi Ketua Menteri. Dalam pertemuan itu selain menyatakan dan memperjelaskan tuduhan ke atas PMRAM, isu berkaitan anak-anak Melaka turut disuarakan bagi kebajikan anak-anak Melaka di Mesir. Perbincangan hampir selama 40 minit tersebut disambut baik oleh pihak Setiauasaha Ketua Menteri.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Dato Seri kerana sudi menerima kunjuangan kami walaupun terpaksa bertukar jadual ekoran kerja-kerja penting yang berlaku. Kita harap perkara perbincangnan yang baik sebegini dapat dijalankan dari masa ke semasa,", ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

sumber asal : pmram.org

Tuesday, January 18, 2011

Ziarah Tan Sri Wan Mokhtar

Kenangan bersama 'pelakon utama' dalam filem penyerahan tanah 2212 meter persegi (ARMA)..

Pasti ini bukan perjumpaan yg pertama n terakhir, n kemungkinan pertemuaan seterusnya akan diadakan...

"Menyingkap sejarah ARMA"

Sunday, January 16, 2011

Ekspedisi HEWI Ke Sinai


Bagi anda yang berminat untuk mengembara dan sukakan aktiviti yang mencabar dan lasak, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kami dalam satu ekspedisi iaitu Ekspedisi HEWI '11 - Ekspedisi HEWI Menawan Puncak Sinai 2011.

Pendaftaran masih lagi dibuka sehingga 31 Januari 2011 ini. Makluman mengenai bayaran dan tarikh program akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Jom bersama kami menghayati sirah-sirah perjuangan golongan terdahulu disamping melakukan pelbagai aktiviti yang seronok dan mencabar. Semuanya bakal anda temui di dalam Ekspedisi HEWI '11.

Pendaftaran boleh dibuat kepada Unit Sambutan dan Rehlah PMRAM Cawangan masing-masing.Mari mendaftar segera.Cepat sebelum terlambat..!!

" Meladeni Sirah Memacu Ummah "
" Kesatuan Ukhuwah Manifestasi Tarbiyah "

sumber asli : pmram.org

Friday, January 14, 2011

Buku "Asas-Asas Kewangan Islam"

Alhamdulillah saya berita gembira apabila dihubungi pihak "penerbit" berkenaan buku saya yang berjudul "Asas-Asas Kewangan Islam" sudah diluluskan utk dicetak dan dipasarkan.

Kini hanya menanti beberapa prosedur teknikal n persetujuan kontrak..

Moga-moga dengan kejayaan ini menjadikan saya lebih semangat mengkaji dan mendalami ilmu berkaitan khusus ekonomi & kewangan Islam...

Xpasti dipasarkan bila, hanya berdoa agar Allah mempermudahkan urusan ini dan memberkati ia..

Azam 2011 berkaitan ini, menghasilkan sebuah buku lagi berkenaan ekonomi Islam..tajuknya rahsia lagi....semoga berjaya... ;; nampaknya kene keje keras sungguh kali ni....

P/S : percaya atau tidak ilmu ekonomi Islam saya banyak menimba ketika berada dalam kepimpinan PMRAM terutama sewaktu menggalas amanah Ketua Badan Ekonomi PMRAM sesi 2008..

Tuesday, January 11, 2011

KRONOLOGI PROVOKASI PENUKARAN BADAN KEBAJIKAN KELUARGA ISLAM MELAKA MESIR (BKKIMM) KEPADA SUATU KOMUNITI BARU YANG DIBERI NAMA IKATAN MAHASISWA ANAK M

28.12.2010 Selasa

11.00 pagi
• Bertempat di kediaman rasmi Y.Bhg TYT Prof Madya Dr. Fakruddin Bin Abdul Mukti, YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam telah menyatakan di dalam ucapannya untuk menukar persatuan yang sedia ada ( BKKIMM ) kepada persatuan baru yang tiada kaitan dengan PMRAM yang dianggap sebagai persatuan yang mirip kepada parti pembangkang.

• Di dalam ucapan YAB Datuk Seri juga telah mengumumkan persatuan yang bakal menggantikan BKKIMM diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ).

• Di dalam ucapannya juga, beliau turut menyifatkan bahawa persatuan dan orang-orang lama di dalam BKKIMM sekarang adalah hipokrit.

• Para delegasi Kerajaan Negeri Melaka dan Pegawai EM, Encik Khairi Jalaluddin yang turut serta di dalam majlis ucapan beliau turut menyokong apa yang diperkatakan YAB Datuk Seri.


12.00 tengah hari
• Maklumat diterima daripada perbualan para delegasi Kerajaan Negeri bahawa selepas majlis di kediaman Y.Bhg TYT Datuk Duta, YAB Datuk Seri akan mengadakan lawatan ke Wisma Melaka (rumah lama) sejurus selepas majlis tersebut berakhir.

• AJKT BKKIMM yang tidak bersama dalam majlis tersebut telah dimaklumkan oleh YDP berkenaan perkara tersebut dan mereka bergegas ke Wisma Melaka untuk bersiap sedia menerima lawatan tersebut.


2.45 petang
• Para delegasi telah tiba di Wisma Melaka bagi menyambut ketibaan YAB Datuk Seri.


3.30 petang
• Ketibaan YAB Datuk Seri di Wisma Melaka dan perbincangan berkenaan status Wisma telah dijalankan secara tidak langsung.


8.00 malam
• Ketibaan YAB Datuk Seri di Wisma Melaka Baru untuk merasmikan bangunan tersebut.

• Program Majlis Perasmian Bangunan baru bermula. YAB Datuk Seri telah memberi ucapan perasmian dan telah menyampaikan hadiah kepada mahasiswa/wi yang telah berjaya dalam peperiksaan sesi lepas.

•Jamuan makan malam.


11.30 malam
• Majlis dialog anak-anak Melaka di Mesir bersama YAB Datuk Seri. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Abu Bakar Bin Abdul, Pengurus Besar TAPENM.

• Sebanyak enam soalan telah diajukan kepada YAB Datuk Seri.

• Diantara soalan yang telah diajukan adalah mengenai ucapan YAB Datuk Seri pada majlis di kediaman rasmi Y.Bhg TYT untuk menukarkan persatuan yang telah sedia ada kepada persatuan yang baru.

• YAB Datuk Seri telah menyatakan bahawa perkara itu benar dan beliau telah berbincang dengan para delegasi kerajaan negeri serta Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir untuk menubuhkan persatuan baru yang dinamakan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ).

• Beliau beranggapan bahawa persatuan yang telah sedia ada mempunyai kerjasama yang rapat dengan PMRAM, yang dianggap satu persatuan yang berhaluan kiri.

• Dalam ucapannya juga, beliau telah menyatakan bahawa BKKIMM telah diberi masa 10 tahun bermula pada tahun 2000 untuk memutuskan hubungan dengan PMRAM akan tetapi BKKIMM gagal melaksanakannya. Beliau juga mendakwa bahawa perlembagaan BKKIMM masih meletakkan PMRAM sebagai penaung.

• Seramai lapan ahli BKKIMM telah bangun memberi respon mengenai kenyataan YAB Datuk Seri itu. Semua yang memberi respon tidak bersetuju dengan penubuhan IMAM kerana mereka percaya bahawa persatuan yang telah sedia ada iaitu BKKIMM sudah memadai dan telah menaungi anak-anak Melaka di Mesir sejak tahun 1976 lagi.

• Di antara respon yang telah diberikan ialah BKKIMM tidak bekerjasama dengan PMRAM secara langsung akan tetapi hanya mengambil beberapa manfaat daripada persekutuan tersebut iaitu mengenai pendidikan, kebajikan dan hisbah. Ini adalah untuk kepentingan anak-anak Melaka sendiri dan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Pegawai Hal Ehwal Dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir dalam mesyuarat bersama AJKT BKKIMM.

• Majoriti ahli-ahli BKKIMM yang hadir dalam majlis dialog tersebut ( merangkumi mahasiswa pengajian islam dan perubatan ) turut memberi sokongan dengan berdiri beramai-ramai ketika diminta berbuat demikian. YDP BKKIMM, Us. Harman Bin Hassan telah menenangkan keadaan dan meminta semua ahli untuk duduk kerana beliau percaya bahawa YAB Datuk Seri datang ke Mesir dengan niat yang baik serta pintu perbincangan bersama YAB Datuk Seri masih lagi terbuka.

• Walaupun sokongan untuk mengekalkan BKKIMM sangat kuat dan menolak IMAM, YAB Datuk Seri menegaskan beberapa kali bahawa ini adalah keputusan muktamad Kerajaan Negeri Melaka di mana persatuan yang ada sekarang (BKKIMM) tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

• Melihat respon anak-anak Melaka yang cuba mempertahankan BKKIMM dengan soalan-soalan dan pertanyaan yang bertalu-talu, YAB Datuk Seri segera menamatkan sesi dialog tersebut.


1.00 pagi
• Sesi dialog tamat dan semua ahli masih lagi tidak berganjak daripada dewan.

• Ramai ahli yang masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. AJKT cuba menenangkan ahli dan meminta supaya ahli mengadakan solat hajat dan berdoa supaya BKKIMM akan terus dipertahankan.

• Majlis bersurai.





29.12.2011 Rabu

5.00 petang
• Perjumpaan YAB Datuk Seri bersama anak-anak Melaka bertempat di Internasional Bowling Center (IBC), bertujuan untuk beramah mesra bersama anak-anak Melaka sambil mengadakan pertandingan bowling. Turut hadir pada pertemuan tersebut ahli-ahli Kelab Umno Mesir.

• Pada asalnya mengikut tentatif yang telah disusun oleh urusetia delegasi, perjumpaan YAB Datuk Seri khusus bersama anak-anak Melaka adalah pada hari rabu bertarikh 29.12.2010 jam 2.30 petang dan bukan pada malam 28.12.2010. Akan tetapi tentatif telah diubah di atas sebab-sebab yang tidak diketahui.


9.00 malam
• Sesi dialog YAB Datuk Seri bersama AJKT BKKIMM dijadualkan pada ketika itu telah dibatalkan dengan alasan YAB Datuk Seri kesuntukan masa.





30.12.2010 Khamis

3.00 petang
•Perjumpaan yang dirancang oleh para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama calon AJK bayangan IMAM, AJKT BKKIMM serta ahli-ahli BKKIMM dibatalkan oleh delegasi.

•Perjumpaan dimaklumkan akan ditunda pada waktu malam.


8.00 malam
•Perjumpaan sekali lagi dibatalkan oleh delegasi atas sebab-sebab yang tidak diketahui dan mereka telah mengadakan mesyuarat di rumah Puan Salwa Binti Jasman (kakitangan EM).

•Maklumat yang diterima, perjumpaan bersama para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama calon AJK bayangan IMAM, AJKT BKKIMM serta ahli-ahli BKKIMM akan diadakan pada pagi esoknya.





31.12.2010 Jumaat

9.00 pagi
• Para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah mengadakan perjumpaan dengan mahasiswa/wi perubatan tajaan TAPENM. Seramai lima siswa perubatan dan enam siswi yang hadir pada perjumpaan tersebut. Mereka telah diugut dengan pinjaman TAPENM jika tidak memberi kerjasama yang baik dengan IMAM.


2.00 petang
• Perjumpaan delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama mahasiswa/wi perubatan dijadualkan akan diadakan sekali lagi, tetapi telah diminta oleh salah seorang siswa perubatan agar perjumpaan tersebut melibat semua ahli-ahli BKKIMM. Pada awalnya delegasi tidak bersetuju dengan cadangan ini dan setelah diminta berkali-kali delegasi menerima permintaan tersebut.

• AJK bayangan IMAM yang dijangka akan diisytiharkan pada perjumpaan kali ini bertukar menjadi sesi dialog di antara ahli Melaka dengan delegasi.

• Di antara soalan yang telah diajukan ialah, adakah IMAM ini satu persatuan atau hanya sebagai satu komuniti pelaksana dan jika ia hanya sebagai satu komuniti pelaksana, maka ia tidak memerlukan pendaftaran ahli.

• Respon yang diberi oleh En. Abu Bakar Bin Abdul ialah, IMAM merupakan satu komuniti pelaksana bagi mengadakan program-program dan aktiviti-aktiviti. Ia bersifat universal dan akan diwujudkan di semua universiti tempatan di Malaysia.

• Di antara cadangan yang diajukan ialah, jika benar IMAM ini adalah satu persatuan pelajar, maka pemilihan AJKT IMAM mesti dibuat melalui pilihanraya. Akan tetapi cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh para delegasi tanpa sebarang alasan.





1.1.2011 Sabtu

6.00 petang
• Kepimpinan BKKIMM telah mengadakan Majlis Sidang Media dan Majlis Penerangan Isu di Wisma Seri Melaka (rumah baru) bagi merungkai segala persoalan ahli-ahli BKKIMM serta seluruh mahasiswa di Mesir berkaitan isu ini. Dewan Wisma Seri Melaka telah dipenuhi oleh ahli-ahli BKKIMM serta beberapa wakil kepimpinan dari DPM dan BKAN yang turut memberi sokongan padu kepada BKKIMM.

• Rata-rata ahli luar yang hadir memberi jaminan bagi menawarkan beberapa sumbangan kepada ahli BKKIMM seperti tempat program jika ahli BKKIMM disekat berbuat demikian di Wisma Seri Melaka.

• Majlis tersebut turut meriah apabila mendapat ucapan dan kalam taujihat daripada wakil mantan kepimpinan Pusat dan mantan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Mereka yang memberi ucapan turut menjelaskan berkenaan isu penarikan zakat yang pernah berlaku kepada anak-anak Selangor di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Melaka, maka Melaka menjadi tempat kelima diugut sedemikian rupa selepas negeri Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

• Walau bagaimanapun majlis tersebut tidak dapat dihadiri oleh sebahagian siswi baru perubatan oleh kerana beberapa AJK bayangan IMAM (siswa) membawa siswi tersebut untuk makan malam di Baitulhasanah.





3.1.2011 Isnin

3.15 - 5.20 petang
• Berita dari Tanah Air : Delegasi kerajaan yang telah pulang ke Malaysia telah mengenakan serangan peribadi terhadap dua orang siswi serta seorang siswa Melaka di Mesir dengan mengatakan mereka telah terlibat dengan persatuan yang mempunyai agenda politik pembangkang tanpa sebarang bukti yang kukuh.

• Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah memanggil YDP BKKIMM untuk berbincang mengenai beberapa perkara berkenaan isu ini.

• Di dalam pertemuan tersebut, YDP telah meminta jaminan daripada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bahawa tidak akan ada mahasiswa/wi yang ditarik pinjaman dan zakat dengan isu ini.

• Tiada sebarang respon daripada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir berkenaan permintaan YDP BKKIMM ini sebaliknya Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah membuka perbincangan berkenaan hal lain.




4.1.2011 Selasa

7.00 pagi
• Roadshow Penerangan Isu BKKIMM ke muhafazah Zagaziq bagi menerangkan isu provokasi penukaran BKKIMM kepada IMAM.


3.00 petang
• Roadshow berlangsung di muhafazah Mansurah.


9.00 malam
• Roadshow berlangsung di muhafazah Tanta.




6.1.2011 Khamis

8.00 pagi
• Berita dari Tanah Air : Sekali lagi berlaku serangan peribadi terhadap seorang lagi siswi Melaka di Mesir oleh seorang pegawai kerajaan negeri yang merupakan delegasi ke Mesir. Siswi tersebut juga telah diberi amaran keras dan akan ditarik pinjaman dan zakat (TAPENM) jika masih bersama BKKIMM.

Thursday, January 6, 2011

BKAN Melaka : Wadah Dan Wahdah Yang Cuba Dihancurkan



Wisma Seri Melaka, 1.1.11;
Umum mengetahui apa yang sedang dialamai oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan kehadiran Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam.

Kehadiran yang disambut dengan rasa penuh gembira oleh semua anak-anak Melaka yang berada di Mesir tiba-tiba bertukar menjadi kesedihan apabila Y.A.B. Datuk Seri telah mengumumkan satu perkara diluar jangkaan kami ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis di kediaman rasmi TYT Y.Bhg Prof. Madya Dr. Fakhruddin Bin Abdul Mukti bertarikh 28.12.2010 dengan menyatakan persatuan anak-anak Melaka yang sedia ada iaitu BKKIMM akan ditukar dengan persatuan baru yang diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) serta pengiktirafan kepada BKKIMM akan ditarik semula.

Turut hadir dalam majlis tersebut kesemua delegasi Kerajaan Negeri Melaka serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) juga pegawai-pegawai Education Malaysia (EM). Lebih menyedihkan lagi, BKKIMM dituduh sebagai satu persatuan yang hipokrit.

Bagi saya, perkataan ini sebenarnya bukan lahir dari hati yang mulia Y.A.B. Datuk Seri bahkan telah didoktrin oleh ‘individu’ yang mempunyai hasat dengki kepada wadah dan wahdah anak-anak Melaka yang sudah sekian lama terbina. Saya yang turut hadir dalam majlis tersebut terus menyebarkan perkara ini melalui SMS dan YM kepada beberapa orang sahabat yang tidak bersama kami dalam majlis tersebut dan meminta untuk disebarkan kepada seluruh ahli BKKIMM.

Alhamdulillah, rupa-rupanya sensitiviti ahli BKKIMM mula bangkit ibarat hati meraka telah dijentik dengan isu ini sehingga menyebabkan ahli BKKIMM mula memberontak setelah sekian lama mereka membawa hasrat Kerajaan Negeri Melaka yang inginkan mahasiswa-mahasiswi Mesir bersama dengan kemajuan negeri Melaka.

Berlalu beberapa hari dalam menghadapi isu ini, dan melihat kepada setiap dimensi, BKKIMM telah menetapkan satu pendirian hasil harapan seluruh ahli BKKIMM agar BKKIMM terus dipertahankan di atas satu tujuan dan matlamat iaitu tidak ingin melihat wadah dan wahdah ini dihancurkan oleh ‘tangan’ yang di kawal oleh minda penjajah.

Sekian lama hubungan BKKIMM dengan Kerajaan Negeri Melaka terbina sebaiknya, ‘individu’ berminda penjajah tersebut datang dengan penuh hasat dengki melihat kesatuan ini.

Berdasarkan mafhum ayat 103 daripada surah Ali Imran, semestinya kita berpegang teguh kepada tali Allah swt dan jangan sesekali kita berpecah-belah. Untuk apa perkara ini direalisasikan? Tidak lain dan tidak bukan, bagi melaksanakan satu perintah Allah swt. menerusi ayat selepasnya yang bermaksud:

“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh ke arah yang ma’ruf dan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan merekalah orang-orang yang berjaya”

Wadah dan wahdah anak-anak Melaka melalui BKKIMM yang sekian lama terbina telah berusaha sedaya upaya melaksanakan perintah Allah swt. melalui ayat 104 surah Ali Imran. Justeru, usaha bagi menghancurkan wadah dan wahdah ini oleh ‘individu’ tersebut perlu diperangi sekuat mungkin oleh semua ahli BKKIMM.

Untuk apa ‘individu’ tersebut menghancurkannya? Bagi saya, ia semata-mata bagi melenyap dan membenamkan usaha murni ini. 34 tahun BKKIMM berusaha menyatukan anak-anak Melaka di Mesir, 4 bulan kedatangan ‘beliau’ cuba menghancurkan kesatuan ini serakus dan seghairah nafsunya. Tidak hanya setakat itu, ‘beliau’ berusaha menafikan kejayaan yang bakal terhasil dengan kesatuan ini kerana janji Allah itu pasti benar bagi mereka yang mengumpul kekuatan ummah dalam menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkran dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Di hujung ayat 104 surah Ali Imran, Allah swt. menjanjikan kejayaan bagi mereka yang melaksanakan tuntutan-NYA kalau tidak di dunia, di akhirat pasti sekali.

Justeru saya bagi pihak BKKIMM mengajak seluruh ahli BKKIMM bersatu hati dalam mempertahankan konvensi wadah dan wahdah ini. Bagi pihak pimpinan BKKIMM, kami akan terus berusaha agar pengiktirafan BKKIMM daripada Kerajaan Negeri Melaka diperoleh semula. Komitmen dan kesatuan kita semua bakal menghasilkan kejayaan yang gemilang satu hari kelak.

Insya Allah. Kita terus berdoa sekerap mungkin agar pihak Kerajaan Negeri Melaka menerima semula kesatuan anak-anak Melaka di bawah satu persatuan iaitu Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.

Wa Allahu Ta’la A’lam.

Harman Bin Hassan
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2010/2011.

sumber asal : pmram.org



Related Posts with Thumbnails