Saturday, February 27, 2010

Cakna Isu Kemanusiaan Bersama

Pada 27 Feb, Sabtu, saya bersama Ketua Unit Kemanusiaan, Saudara Fakhrul Ariff (nama manja Ateh), sempat mengadakan satu lawatan ke kediamana bagi mahasiswa minang, Indonesia, di bawah kelolaan KMM (Kesatuan Mahsiswa Minang), yang merupakan salah satu cawangan di bawah PPMI.

Kediaman tersebut terletak di Bandar Hisyam Umar, Tajammuk Awal. Apa yang menarik tentang kawasan tersebut, landskap seakan-akan landskap Dumyat Jadid. Lawa dan tenang seakan-akan menghirup udara Malaysia.

Apa yang lebih mengejutkan dan x tersangka-sangka, mereka memiliki sebuah bangunan 3 tingkat kepunyaan sendiri. Apabila ditanya, mereka mendapat sumbangan sebanyak USD 300 daripada pelbagai pihak terutama daripada Menteri di kepulauan Indonesia. Teringat akan Misi Syaqah PMRAM, bila la agaknya PMRAM akan memiliki pejabat sendiri..huhuhu...

Di dalam lawatan tersebut kami disambut oleh Ketua KMM, Saudara Lingga Fachri, Saudara Alnof, Saudara Irwan Din dan Saudara Syukron. Kami bersama-sama sempat berbincang mengenai isu gempa bumi yang melanda Padang, Indonesia pada tahun yang lalu. Selain itu beberapa isu kemanusiaan turut dibincangkan. Dan kami turut menerangkan fungsi dan gerak kerja Unit Kemanusiaan dan meminta agar pihak Mahasiswa Indonesia membantu menjayakan misi ini. Di samping itu, sedikit sumbangan turut diberikan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam musibah gempa bumi tersebut.

Semoga usaha Unit Kemanusiaan ini dipermudahkan dan berjaya menyalurkan maklumat kepada mahasiswa/wi Timur Tengah khususnya dan seluruh manusia amnya...





Tuesday, February 23, 2010

Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 7)


Maksud Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Akidah Islam


Akidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah akidah yang berpandukan ‘tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w. pesuruh Allah’. Cara untuk mewujudkan masyarakat Islam berdasarkan akidah Islam ialah dengan melahirkan kehormatan dan menyucikan akidah tersebut. Seterusnya melakukan kerja-kerja yang boleh membawa ke arah penerapan akidah tersebut ke dalam hati-hati setiap individu dalam masyarakat.


Dan lagi, mendidik dan mentarbiyah orang-orang Islam yang berada dalam masyarakat berdasarkan saluran tuntutan akidah tersebut. Menepis dan menolak segala dakwaan palsu yang merupakan cemuhan dan tohmahan ke atas akidah tersebut. Menolak segala syubhah yang menyesatkan dan mengelirukan masyarakat. Membaiki dan mencantikkan kelebihan dan kemuliaan akidah tersebut di dalam sanubari individu mahupun masyarakat dengan menggunakan jalan yang menuju kepada tertegaknya masyarakat Islam samada melalui masjid, sekolah, pejabat, media massa dan setiap sudut yang menyalur ke arah tersebut dengan pelbagai kesenian dan tarikan yang sama sekali tidak menyinggung sekaligus menenangkan semua pihak.


Bukanlah yang dimaksudkan mendirikan masyarakat Islam itu dengan memaksa setiap orang yang bukan Islam untuk meninggalkan kepercayaan dan pegangan yang mereka anuti selama ini supaya memasuki Islam. Tidak sama sekali. Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk melakukan sebarang paksaan dalam semua sudut apatah lagi dalam aspek kepercayaan dan anutan agama. Malah perkara tersebut tidak pernah diajar kepada umat terdahulu dan kemudian. Sejak awal lagi Islam menegah perkara tersebut, bahkan banyak di dalam ayat-ayat Al-Quran yang jelas dan nyata menolak konsep paksaan tersebut.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. (Surah Al-Baqarah : 256)


Telah tercatat dalam sejarah kerajaan Islam pada zaman kegemilangannya, bahawa Islam banyak bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama Islam dalam masalah kepercayaan dan pegangan akidah dengan melihat dari pelbagai sudut diri mereka[1]. Malah tidak pernah sama sekali kita pada hari ini mendengar bahawa Islam mengajar umatnya untuk memaksa manusia supaya menganuti Islam.


Makna mendirikan masyarakat Islam berdasarkan akidah Islam ialah dengan tidak membiarkan masyarakat berada dalam keadaan yang terbiar dan sia-sia, tetapi membawa masyarakat ke arah yang bersistem. Untuk melaksanakan akidah Islam dalam sistem masyarakat ialah dengan tidak menyuburkan masyarakat yang madiyah (kebendaan semata-mata iaitu materialisme), sekularisme (memisahkan di antara agama dan urusan dunia), wathaniyan (mensyirikkan Allah s.w.t.), Yahudi, Nasrani, liberalisme atau anutan Marks (tidak mempercayai tuhan).


Yang dikehendaki dalam membawa masyarakat yang menganuti akidah tauhid iaitu agama Islam ialah dengan melaksanakan bahawa tiada agama dan antuan lain yang lebih tinggi dan mulia daripada Islam. Hakikatnya agama Islam itu tinggi (mulia), tiada agama atau anutan lain yang lebih tinggi (mulia) daripadanya. Islam sesekali tidak akan menerima akan percampuran urusan agama dalam masalah akidah tauhid.


Islam tidak akan bersetuju untuk bertukar-tukar sebahagian dalam akidah tauhid dengan agama yang lain. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah ditawar oleh kaum musyrikin untuk sama-sama bertukar-tukar dan bercampur akan perkara dalam ruang lingkup akidah. Kaum musyrikin ingin membuat perjanjian kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyembah tuhan bagi umat Islam selama setahun dan Nabi Muhammad s.a.w. juga mesti menyembah tuhan mereka selama setahun. Lalu atas peristiwa ini, Allah menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan ke atas perjanjian yang ingin mereka metrai bersama Rasulullah s.a.w..


Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Katakanlah: "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah . Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." (Surah Al-Kafirun : 1-6)


Masih belum layak untuk mengatakan bahawa sesebuah masyarakat itu ialah masyarakat yang berdiri di atas landasan Islam sekiranya hukum Islam hanya dilaksanakan sebahagian sahaja dan bukan menyeluruh. Bahkan Islam bersifat syumul iaitu menyeluruh dalam segenap urusan manusia. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Pelaksanaan Islam perlu dilakukan secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan bukan hanya melaksanakan sebahagian dan sebahagiannya yang lain di tolak ke tepi.


Bukanlah dinamakan mendirikan masyarakat Islam dengan menyembunyikan nama Allah dalam semua perkara, dalam masa yang sama melahirkan atau mengagungkan sifat atau kuasa semulajadi seperti mengatakan bahawa sungai merupakan perkara semulajadi, hutan rimba merupakan kurniaan sejak dahulu lagi dengan bersifatkan semulajadi. Bahkan dengan mengatakan semua yang wujud adalah perkara yang semulajadi, seolah-olah semua perkara yang wujud tidak ada pencipta baginya maka bukan Allah s.w.t. yang menciptakan segala-galanya dan mentadbir setiap perkara yang berlaku di alam ini[2]. Dengan menyembunyikan nama Allah s.w.t. dan mengangkat nama alam dan semulajadi seolah-olah tidak memperakui akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t.. Bagaimana boleh dikatakan masyarakat Islam seandainya masyarakat tersebut tidak memperakui kekuasaan Allah s.w.t.?


Gambaran yang boleh dinukilkan bagi masyarakat barat terhadap konteks ketuhanan dan ikatan kehidupan dengan alam ialah bagi mereka, wujudnya kuasa tuhan yang merupakan pencipta alam ini dan membiarkan alam ini iaitu dengan tidak menjaga, mengawasi dan mentadbir alam. Seolah-olah alam ini diserahkan sepenuhnya kepada mereka untuk melakukan apa sahaja kerana bagi mereka tuhan tidak mentadbir dan menjaga alam ini.


Jika ditinjau kembali, gambaran ini samalah seperti gambaran yang telah dihasilkan oleh para falsafah (pemikir) Yunani mengenai konteks ketuhanan pada zaman dahulu khususnya Aristotle yang tidak mengetahui sesuatu mengenai ketuhanan melainkan zat dirinya sahaja. Lebih pelik lagi, Aflatun yang tidak tahu akan sesuatu mengenai ketuhanan bahkan juga hakikat bagi zat dirinya.


Adapun gambaran bagi masyarakat Islam dalam konteks ketuhanan telah disebutkan di dalam Al-Quran melalui fiman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ´arsy Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan. Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

(Surah Al-Hadid : 1-6)


Bukanlah masyarakat Islam yang dimaksudkan dengan semata-mata beriman dengan Allah dan hari akhirat, dalam masa yang sama lahir juga iman terhadap kewujudan benda-benda lain, perkauman dan tanah air atau apa-apa sahaja daripada sembahan berhala yang disembah oleh manusia di sana sini samada keimanan tersebut berasingan dengan beriman kepada Allah atau ia bersama-sama (bersekutu) dengan keimanan kepada Allah s.w.t..


Tidak dinamakan sesebuah masyarakat tersebut itu sebagai masyarakat Islam dengan menyembunyikan nama Nabi Muhammad s.a.w. yang bersifat maksum dan teladan yang wajib diikuti dengan menggantikan nama Marks atau menzahirkan nama-nama lain daripada pemikir-pemikir barat dan timur. Malah mengagung-agungkan lagi pembesar-pembesar lain lebih daripada Nabi Muhammad s.a.w..


Tidaklah dinamakan masyarakat Islam yang ada padanya kitab Allah s.w.t. iaitu Al-Quran sebagai hidayat, undang-undang dan pensyariatan namun dibiarkan dengan mengambil manhaj atau sumber-sumber daripada kitab lain sebagai pensyariatan dan undang-undang bagi kehidupan dan juga disandarkan kepada kitab-kitab tersebut sebagai satu timbangan dan nilaian kehidupan.


Bukanlah masyarakat Islam dengan hanya membiar dan berdiam seribu bahasa terhadap pihak-pihak yang mencela Allah, rasul-Nya, kitab-Nya dengan celaan yang melampau tanpa mampu berbuat apa-apa dan mengambil sebarang tindakan tehadap pihak-pihak tersebut di atas kekufuran mereka yang terang-terangan, kemurtadan, kefasikan yang tercela, sehinggakan pihak kufur berani menyuarakan di dalam media massa secara terang-terangan dengan mengatakan : Islam kini sudah tercedera dan lemah yang hanya tersimpan di dalam muzium bersejarah tanpa mampu melakukan sesuatu pun.


Bukanlah sesebuah masyarakat itu dinamakan masyarakat Islam sekiranya mereka bertolak ansur dengan memberi ruang dan kuasa kepada akidah-akidah lain yang memusuhi Islam atau mencampur adukkan Islam dalam ruang lingkup akidah seperti akidah komunis atau apa-apa sahaja daripada ideologi-ideologi yang songsang yang merampas kuasa. Adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap ideologi-ideologi[3] tersebut bukanlah daripada kelompok akidah yang memusuhi Islam.


Sesungguhnya hal ini merupakan satu gerakan ataupun mazhab berunsurkan ekonomi atau kemasyarakatan, yang menggunakan satu unsur atau idea tertentu dalam menyusun sesuatu cara hidup dan perkara-perkara yang berkaitan. Ideologi-ideologi tersebut tidak ada tabiat semulajadi yang berunsur keagamaan sehingga ia dinamakan akidah. Hakikat yang berlaku ialah, ideologi-ideologi tersebut merupakan satu falsafah bagi kehidupan yang sempurna dan akidah yang menyeluruh, meliputi sudut pandangan manusia kepada alam sejagat, sejarah, kehidupan, sesama makhluk, ketuhanan, yang kesemuanya menyalahi pandangan Islam. Sesetengah ulama’ menamakannya perkara ini[4] sebagai agama yang tiada wahyu.


Bukanlah masyarakat Islam sekiranya menjadikan akidah sebagai perkara sampingan di dalam kehidupannya. Tidak mengambil sebagai manhaj atau perjalanan dari segi pendidikan, pembelajaran, pengetahuan, pemikiran dan petunjuk melainkan pada ruang lingkup yang terlalu kecil dan terhad. Dengan tidak menjadikan akidah sebagai asas atau dasar yang utama dalam kehidupan individu, kekeluargaan mahupun kemasyarakatan. Malah, dengan menjadikan akidah sebagai perkara yang kedua dalam setiap perkara seolah-olah meletakkan akidah di hujung ekor atau di tempat yang terakhir dalam membuat pemilihan, itupun sekiranya ada tempat yang disediakan.


Akidah pada masyarakat Islam yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w., diwarisi oleh para sahabat dan tabi’ dan golongan selepas mereka merupakan perkara dan rujukan yang pertama dalam masyarakat dan kehidupan.

Akidah merupakan masdar atau rujukan bagi permasalahan dan pemikiran. Akidah merupakan asas bagi sesebuah ikatan (dalam konteks hubungan) dan kemasyarakatan sebagaimana juga ia merupakan asas bagi perundangan. Akidah melahir dan membina akhlak-akhlak yang baik lagi terpuji[5] dan ia juga membentuk keperkasaan dan kegagahan di medan jihad dan pertempuran dan dalam setiap bidang yang memerlukan usaha yang besar dan bersungguh-sungguh.[6]


Demikianlah akidah yang dibawa oleh Islam dan kesannya kepada masyarakat Islam. Ia juga wajib untuk dilaksanakan serta memberi kesan pada setiap masyarakat yang mengingini atau diingini baginya untuk menjadi seorang yang muslim samada pada hari ini atau esok….


Akidah Islam (beserta dengan rukun-rukunnya) merupakan asas yang kuat dalam menjadikan setiap masyarakat berada dalam keadaan yang kukuh lagi utuh. Bagi mana-mana masyarakat yang didirikan atas selain daripada akidah islam, ia merupakan suatu binaan yang goyah dan rapuh, yang hanya menunggu waktu untuk runtuh dan roboh pada bila-bila masa.


Perkara yang sangat buruk dan keji ialah mendirikan masyarakat dengan bergelar dan bercerminkan nama Islam, namun keselarasan dan perjalanan sistem yang dilaksanakan tidak mengikut Islam bahkan mengambil idealogi-idealogi barat yang menyesatkan. Sesungguhnya, gelaran Islam yang dipamerkan hanya sebagai untuk tarikan manusia. Perkara tersebut merupakan sebuah penipuan yang keji lagi menyesatkan bagi setiap asas dalam pembinaan masyarakat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Maka apakah orang-orang yang mendirikan mesjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim. (Surah At-Taubah : 109)


Kita telah melihat sejarah yang telah berlaku dalam masyarakat komunis sewaktu zaman kegemilangannya, yang membentuk akidah atau anutan Marks dan juga falsafah kebendaan atau lebih dikenali sebagai materialistik. Perlembagaan dalam masyarakat komunis tersebut menyebarkan ajarannya iaitu kehidupan yang tidak bertuhan dan hanya mementingkan sifat kebendaan dan kekayaan sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Bukan saja terhadap perlembangaannya sahaja malah anutan ini tersebar kepada perundangan, pendidikan, pengetahuan dan politik.


Maka tidak hairanlah jika kita mengatakan bahawa anutan ini sememangnya berlawanan dengan akidah Islam jika ditinjau dari sudut yang sama kerana akidah Islam membawa pandangan manusia melihat kepada penciptaan manusia dan alam semesta dalam mentauhidkan tuhan Yang Esa.


[1] Yang dimaksudkan ialah sifat bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama islam dalam beberapa perkara selama mana tidak memburukkan dan menghina islam seperti member mereka ruang dalam menyambut hari perayaan mereka. Bahkan Allah s.w.t melarang umatnya untuk menghina dan mencaci tuhan-tuhan mereka kerana ia akan menyebabkan perpecahan dan peperangan.

[2] Kepercayaan sebegini merupakan seperti kepercayaan atheis yang tidak mempercayai akan kewujudandan kekuasaan tuhan.

[3] Seperti sekularisme, liberalisme, atheist dan lain-lain.

[4] Iaitu idealog-idealogi yang bertentangan dengan islam.

[5] Hal ini demikian, bermula dengan akidah islam, manusia akan melakukan segala pentaklifan yang dikenakan ke atas mereka seterusnya keberkesanan dalam melaksanakan pentaklifan tersebut akan menghasilkan akhlak yang terpuji.

[6] Dalam sebuah hadis nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muaz r.a bin Jabal, nabi s.a.w ada berasbda bahawa kepala atau kunci bagi sesuatu perkara adalah dengan islam, tiangnya adalah dengan solat dan kemuncaknya ialah jihad.

Wednesday, February 17, 2010

Masih Ada Lagi Rupanya Mahasiswa Islam Yang Tidak Kenal Erti Malu

Kempen yang dilakukan di Malaysia bagi membanteras gejala sosial

Agak terkejut baru ini apabila mendengar laporan daripada sahabat kepimpinan mengenai kes sosial yang berlaku di Malam Valentine Day, setiba saya pulang dari Dumyat. Sewaktu Hari Valentine Day, saya dan beberapa rakan yang lain berada di Dumyat dalam satu pogram Ramah Mesra dalam menyampaikan beberapa amanat kepada mereka di sana.

Malam 14 Feb, Hisbah beserta beberapa BP yang lain sempat melakukan Ops Valentine bagi memastikan ketiadaan gejala sosial sempena hari tersebut.

Namun, kes agak banyak di beberapa tempat yang memang menjadi port pasangan couple termasuk jugak 'couple anta anti'. Yang lebih rasa terkejut dan marah, ada juga satu pasangan yang ditangkap, wanita tersebut berkata kepada salah seorang wakil Hisbah : "eh, ustaz x kan x kenal saya kot. Malam tahun baru juga, ustaz yang jumpa saya keluar kan." Teruk2, dahla wat salah, xder rasa malu pulak 2.

apa2 pun syabas kepada Hisbah dan sesiapa yang sudi membantu. Saya kira untuk kian kali akan datang, Ops dan rush mesti kerap dilakukan lagi bagi membangkitkan kembali aura dan gelombang biah solehah.

begitu juga, saya seru kepada mereka yang masih baik, sama2 banteng tenaga dalam amal makruf dan nahi mungkar. Dan kepada mereka yang suka kepada sosial ini, jangan lakukan lagi, anda masih ada ruang untuk berubah....

Ops Valentine yang dilakukan oleh Dewan Pemuda bagi memastikan rancangan halus yahudi dibanteras

Monday, February 15, 2010

DPM Dumyat Merupakan Salah Satu Kubu Kuat PMRAM

13 & 14 Feb yang lalu, bersama-sama dengan sahabat BP yang lain, iaitu Labib sempat mengunjungi DPM angkat kami, Dumyat, nun jauh di seberang laut (di samping sempat berkunjung ke Bazaria Mansurah dan singgah sebentar di Pogram Q Zaq Ziq). Turut serta bersama kami, Bazli PMC bagi membantu menjayakan Road Show Syaqah PMRAM.

Perjalanan ke Dumyat merupakan salah satu agenda bagi Gerak Kerja RAKYAT. Bagi saya ini merupakan satu gerak kerja tambahan dalam memperkukuhkan ukhwah dan menjana kasih di antara PMRAM dan DPM Dumyat secara khusus.

Di antara agenda yang telah kami lakukan ialah :
1) terjah ke rumah2 pimpinan AJKT DPM Dumyat dan ahli - 13 Feb
2) Ramah Mesra bersama ahli DPM Dumyat - 14 Feb


Di antara ahli yang hadir, kebanyakkan mereka telah pulang ke Kaherah dan luar muhafazah yang lain. Bagaikan mini usrah..insyaallah pertemuan yang membuahkan hasil yang mantap.


Selaku BP angkat Dumyat, sempat menyampaikan beberapa amanat dan pesanan. Dalam kesempatan yang ada mengajak hadirin mengingati kembali kisah Thalut yang merupakan kelompok yang kecik namun mampu mengalahkan Jalut dan tenteranya walaupun sangat besar dan gah. Suatu pengiktibaran yang mesti diperhatikan..

BP Labib turut menegaskan konteks sebenar mahasiswa dan peranannya. 3 langkah persediaan yang ditekankan kukuhkan iman,hijrah dan jihad. Di antara cabaran masa kini bagi mahasiswa ialah individu, keluarga, sahabat dan masyarkat. Ingatlah bahawa mahasiswa merupakan agen perubah bagi membentuk biah islamiah....


Ramah bersama BP angkat, soalan, cadangan dan muhasabah dibukakan ruang yang seluas-luasnya...yang penting betulkan niat dan ikhlas..



beberapa rumah ahli yang berjaya diterjah...

di akhir Ramah Mesra beberapa penekanan yang sempat diberikan :
1) DPM Dumyat mesti perkukuhkan diri dalam menjadi salah satu kubu kuat PMRAM dalam menyokong dan mendokongi PMRAM dulu, kini dan selamanya.
2) para hadirin yang hadir serta ahli DPM Dumyat mesti bersiap sedia dalam menjayakan unit amal gerak gempur dalam membanteras maksiat dan membantu Hisbah PMRAM.

semoga diberikan masa dan kesempatan untuk menjenguk kembali DPM Dumyat...

jumpa lagi...

Kunjungan Ke Bazaria Mansurah 13 & 14 Feb

Timbalan Presiden 2009, juga bakal Presiden PMRAM 2010 sedang merasmikan Bazaria Mansurah. Beliau turut menekankan konsep pengurusan kewangan mengikut sistem Islam.

Berkata Saidina Umar RA : Tidak harus (layak), orang yang berada di pasar kami (di Madinah yang melakukan urusan jual beli) melainkan mereka yang faqeh (berkenaan hukum hakam berkenaan halal dan haram), sekiranya orang yang berada di dalam pasar tersebut orang yang bukan faqeh nescaya akan berlaku riba samada secara rela atau terpaksa.





Bergambar bersama usahawan2 Azhari. Semoga pernigaan mereka untung dan diberkati.

Gerai minuman 'Kita PMRAM'.. teruskan sokong dan dokong PMRAM...
"Kita PMRAM"

Di kaunter DJ, macam2 lagu ada, nasyid jiwang pun ada...

Tidak ketinggalan juga, ajk Dana Syaqah, Bazli mengedarkan Tabung Dana Syaqah..

Friday, February 12, 2010

isu umat Islam (2)





Hak Ke Atas Saudara Seislam

1) Firman Allah SWT :

Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah Al-Hujurat : 10)

2) Firman Allah SWT :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. (Surah At-Taubah : 71)
3) Hadis Nabi SAW :

من لا يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

" Sesiapa yang tidak mengambil peduli akan urusan kaum muslimin yang lain, maka dia bukan daripada kalingan mereka.

4) Daripada Abu Umamah bin Sahl bin Hanif, daripada ayahnya,daripada Nabi SAW, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

من أذل عنده مؤمن فلم ينصره وهو قادر على أن ينصره أذل الله على رؤوس الخلائق يوم القيامة

" sesiapa yang mendapati akan seorang mukmin dihina (ditindas) di sisinya, akan tetapi dia tidak membantunya sedangkan orang tersebut mampu untuk membantu mukmin tersebut, maka Allah akan membalasnya dengan menghina orang tersebut di khalayak manusia di akhirat kelak."

• Allah SWT menjelaskan di dalam firman-Nya bahawa umat Islam itu mempunyai ikatan berdasarkan akidah tauhid selain daripada iktan kekeluargaan. Bahkan ikatan ini lebih utama yang mesti dijaga.

• Justeru, semua muslim berperanan di dalam menjaga dan menjadi penolong bagi muslim yang lain di dalam membantu segala aspek perkara sehingga ditegaskan di dalam di dalam ayat yang lain bahawa umat Islam tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai walinya atau pemimpinnya dengan meninggalkan sesama Islam yang ada, berdasarkan firman Allah SWT :

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. (Surah Ali Imran : 28).

• Di dalam permasalahan jihad, jelas bahawa fardhu ain bagi setiap umat Islam berjihad bagi mereka yang berada di dalam negara yang diserang, manakala fardhu kifayah bagi mereka yang berada di luar. Walau apa pun, masih dalam lingkungan kewajipan Cuma yang berbeza adakah wajib cuma atau memadai dengan sebahagian sahaja. Jelas, mempertahankan dan membela Islam adalah wajib.

• Nabi SAW memberi amaran ke atas mana-mana umat Islam yang tidak mahu mengambil cakna ke atas umat Islam yang lain. Hal ini demikian kasih sayang di antara sesama umat Islam akan jauh ekoran tidak mengetahui berita semasa apatah lagi bagaimana mahu membela dan membantu sekiranya saudaranya itu ditindas apabila berita tidak diketahui.

• Berdasarkan hadis yang terakhir, ancaman yang diberikan ke atas mereka yang mampu menghulurkanbantuan ke atas saudara seislamnya yang ditindas namun tidak menghulurkan bantuan, maka akan mendapat penghinaan di akhirat kelak. Justeru, apa-apa sekali pun umat Islam wajib membantu saudara seislamnya berdasarkan kemampuan yang ada. Paling tidak, mengambil peduli akan keadaan saudaranya tersebut.

Thursday, February 11, 2010

Niat Itu Penentu



Majlis Road Show Syaqah PMRAM baru2 ini di Rumah Kedah Hayyu Sabik mendapat perhatian ramai daripada pihak luar ekoran suatu muhasabah yang dilontarkan. Banyak pihak yang bertanyakan kepada saya mengenai situasi tersebut. Bagaimana keadaan malam itu? Dengar kata hangat? Inilah persoalan2 yang dilontarkan. Mungkin sebagai satu jawapan untuk pertanyaan yang diajukan, saya akan nyatakan atas dasar peribadi dan saya berharap semua pihak tidak mengambil situasi pada malam itu sebagai peluang untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Secara peribadi, saya langsung tidak terasa bahkan saya suka cara yang sedemikian, kerana hal ini seolah-olah luahan ikhlas daripada seorang ahli kepada pimpinannya atas tanggungjawab bersama. Mungkin ini jenis saya, iaitu lebih baik berterus terang dalam keadaan yang sopan atau diam sahaja. Saya merasakan Road Show yang dijalankan sebagai medan bagi PMRAM mendekatkan diri bersama ahli terutama bagi mereka yang jarang turun ke pogram-pogram yang dianjurkan...

Apa2 pun, kita selaku mahasiswa Islam yang mempelajari ilmu agama di medan keluaran ulama2 dunia, beberapa adab dan etika perlu dijaga :

1- Perbetulkan niat kerana Allah SWT semata2 dan bukan untuk menjatuhkan maruah orang.
2- Nasihat yang membina.
3- Jaga lafaz dan istilah supaya tidak menzahirkan secara terang agar tidak menyinggung perasaan. Gunakan istilah dan lafaz yang tidak membuatkan pihak lain terasa tersinggung.

Niat itu penentu:

1) Riwayat Saidina Umar RA, Nabi SAW bersaba : sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat. maka barangsiapa yang berniat hijrah kerana Allah dan rasul maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul. justuru, barangsiapa yang berniat hijrah kerana mahupun kesenangan dunia atau kerana wanita yang ingin diketahuinya maka hijrahnya berdasarkan apa yang diniatkannya.

2) Seorang sahabat bertanya kepada rasulullah SAW berkenaan seorang lelaki yang berperang dijalan Allah adakah ia dikira fi sabilillah? llau jawab baginda SAW : orang berjuang yang dikira fi sabilillah adalah dikira apabila ia keluar berperang dengan niat semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana riak mahupun menunjukkan keperwiraannya.


3) Dalam satu hadis nabi SAW yang lain, Nabi SAW menerangkan bahawa seseorang yang keluar bagi mendapatkan rezeki untuk ahli keluarganya maka dikira fi sabilillah, begitu juga yang keluar bagi mendapatkan rezeki untuk kedua orang tuanya dan bagi rezeki dirinya daripada ia meminta-minta, maka dikira sebagai fi sabilillah. akan tetapi sekiranya keluar untuk bermegah-megah maka ia tidak dikira sebagai fi sabilillah.


Justeru, pesanan saya dalam apa jua yang kita lakukan, jaga adab dan etika serta paling penting jagalah niat...

Sabda Nabi SAW juga : niat seorang mukmin itu lebih baik daripada amalannya...

Friday, February 5, 2010

Sama-sama Kita Jayakan Misi Syaqah PMRAM


insyaallah bermula 4 Feb dan bebarapa tarikh lain yang akan disusun, Road Syaqah PMRAM beserta Hisbah akan dibuat pada seluruh peringkat BKAN dan DPM. kesinambunagn road show ini selepas rehat selama beberapa tempoh bagi memberikan laluan kepada peperiksaan kini bermula dengan destinasi yang seterusnya iaitu BKAN Perak.

sebelum ini, sebanyak 3 destinasi telah dijalankan iaitu di DPM Shoubra, BKAN Terengganu dan BKAN Johor. alhamdulillah hasil 3 destinasi sebelum ini agak memberangsangkan. mengikut laporan yang diterima Road Show Dana Syaqah ini bermanfaat dalam menjelaskan isu Syaqah PMRAM secara terang. dengan tayangan dokumentari selama 13 minit, beberapa isu dan sejarah yang berkaitan diperjelaskan satu per satu..

kini hanya menanti masa bagi kita terus menjelajah untuk menghidupkan kembali memperingati kempen Dana Syaqah PMRAM.

saya amat suka menekankan beberapa aspek setiap kali road show ini dijalankan, antara :

1) sekiranya PMRAM memiliki sebuah syaqah secara mutlak, maka perbelanjaan tahunan PMRAM bagi menampung sewa pejabat akan dapat diselamatkan iaitu hampir LE 30 ribu.
2) justeru LE 30 ribu tersebut dapat digunakan mengikut keadaan sesuatu samada dari sudut dakwah/ tarbiyah, pendidika/ thaqafah dan kebajikan / kemasyarakatan.
3) isu syaqah merupakan sebagai tanda ingtan kita terhadap arma dan perjuangan abang-abang lama dalam mempertahankan hak. kita bukan merayu atau menuntut dengan cara bersedekah ke atas arma, namun ia adalah hak PMRAM. justeru hak PMRAM tersebut layak diperjuangkan sebagaimana hak umat Islam ke atas Masjid Aqsa.
4) PMRAM meminta ahli khususnya membantu segenap aspek yang termampu samada dari sudut wang, tenaga dan idea.

ayuh..sama2 kita jayakan. tidak kira yang berada di Mesir mahupun di luar Mesir, sama2 kita jayakan Misi Syaqah PMRAM ini...

bagi mengetahui berita2 mengenai Syaqah PMRAM layari :
www.pmram.org atau
www.dana-apartmen.blogspot.com

Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 6)



Pelaksanaan Undang-Undang Selain Undang-Undang Allah s.w.t.

Sesiapa yang tidak mengendahkan ayat-ayat Allah s.w.t. yang jelas mengenai kehakiman dan undang-undang yang perlu dilaksanakan, malah menutup telinganya daripada mendengar ayat-ayat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. ke atasnya dengan mencipta undang-undang sendiri (menurut hawa nafsunya), mencari nilai kehidupan, perjalanan kehidupan, ikutan dan sistem kehidupan selain daripada jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w., malah meredhai dengan sistem-sistem yang dicipta oleh falsafah barat dan timur, atau mereka yang bergelar ulama’ dan hakim di sisi mereka, maka sebenarnya mereka telah melawan dan menentang Allah s.w.t..

Bahkan mereka telah menjadikan Allah s.w.t. dan rasul-Nya sebagai musuh mereka. Mereka telah tersasar daripada jalan agama sebagaimana tersasarnya anak panah ketika memanah. Jadi, tidak peliklah jika golongan yang tidak mengambil hukum-hakam Allah s.w.t. sebagai undang-undang kehidupan, mereka akan memerintah dalam keadaan yang zalim, fasik dan kufur. Perkara sebegini telah pun dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya :

Maksudnya : Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maidah : 44)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Maidah : 45)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. (Surah Al-Maidah : 47)

Ketiga ayat-ayat tadi merupakan ayat yang berturutan di dalam surah yang sama. Ini menunjukkan penggunaan lafaz di dalam ketiga-tiga ayat tersebut mempunyai makna yang hampir serupa. Malah hal ini jelaskan lagi oleh Allah s.w.t. di dalam ayat yang lain.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah : 254)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

(Surah An-Nur : 55)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang-orang kafir. (Surah Al-Ankabut : 47)

Oleh yang demikian, fasik merupakan perkara yang berlainan dengan iman. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini mengenai perbezaan perwatakan dan perihal di antara orang mukmin dan orang fasik di dalam melaksanakan undang-undang Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman. (Surah Al-Hujurat : 11)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka tidak sama. (Surah As-Sajadah : 18)

Malah jika ditinjau kembali mengenai kisah Iblis ketika mana enggan melaksanakan suruhan Allah s.w.t. untuk sujud kepada Adam a.s., Allah telah menggelar Iblis sebagai makhluk yang sombong lagi takabbur dan terdiri daripada golongan yang ingkar (disebabkan iblis enggan mematuhi suruhan Allah untuk sujud kepada Adam a.s..)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dia (iblis) enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (Surah Al-Baqarah : 34)

Di dalam ayat yang lain pula, firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dia (iblis) adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya.

(Surah Al-Kahfi : 50)

Telah jelas melalui ayat-ayat di atas, sesiapa yang tidak berhukumkan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t., maka dirinya tergolong di antara golongan-golongan yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas samada golongan yang ingkar (kufur), zalim, fasik, atau ketiga-tiganya.

Ditanya, jika seseorang tersebut enggan menjalankan hukum Allah s.w.t. dan tergolong di dalam golongan yang kufur, maka adakah kufur tersebut merupakan kufur akbar yang telah menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama Allah s.w.t. atau hanya kufur asghar yang hanya menjurumuskan dirinya ke lembah dosa tanpa menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama Allah s.w.t.?

Ini adalah khilaf atau perselisihan yang berlaku mengikut perihal individu dan pendirian seseorang tersebut. Jika seseorang tidak melaksanakan hukum Allah dan dalam masa yang sama dia masih beriktikad (mempercayai) hukum tersebut merupakan hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t., maka dirinya telah melakukan maksiat berdosa kepada Allah s.w.t. kerana tidak mengikut suruhan Allah s.w.t. semata-mata mengikut hawa nafsunya. Individu yang sebegini hendaklah bertaubat dan meminta ampun daripada Allah s.w.t.. Jika berlaku perihal begini maka sesungguhnya individu tersebut tergolong di dalam golongan kufur asghar yang tidak menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama.

Akan tetapi jika seseorang yang tidak melaksanakan hukum Allah s.w.t. kerana meringan-ringankan dan mempermainkan hukum Allah s.w.t., maka sesungguhnya dia telah melakukan kufur akbar yang telah menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama. Begitu juga bagi seseorang yang menganggap bahawa hukum Allah s.w.t. seperti hudud merupakan hukum yang kolot, kuno dan mundur, dalam masa yang sama menganggap bahawa undang-undang rekaan manusia lebih maju dan mengikut peredaran zaman serta memberikan kebaikan kepada masyarakat dan membela hidup mereka.

Terdapat penyelewengan yang besar telah dilakukan oleh sesetengah individu dalam menafsir 3 ayat sebelum ini dengan mengatakan bahawa 3 ayat tersebut diturunkan khusus kepada golongan ahli kitab daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani sahaja. Golongan tersebut telah melakukan kezaliman dan penyelewengan dalam pentafsiran kerana 3 ayat yang diturunkan tersebut diturunkan dengan lafaz yang umum yakni meliputi seluruh individu tidak kira dari kalangan ahli kitab mahupun orang-orang Islam. Dalilnya pada lafaz ‘اولئك ‘ . maka lafaz tersebut merupakan lafaz yang umum dan bukannya lafaz yang khusus.

Begitulah yang telah diterangkan oleh para ulama Islam bagi menyangkal penyelewengan tersebut. Dan sememangnya lafaz tersebut ditujukan kepada ahli kitab pada permulaannya kerana mereka telah meletakkan kitab Allah s.w.t. di belakang punggung mereka yakni tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t. yang terdapat di dalam kitab. Kemudian lafaz tersebut ditujukan kepada kaum muslimin yang menjadikan kitab Allah s.w.t. sebagai mainan hawa nafsu dan mengambil benda lain daripada kitab Allah sebagai perundangan dan perlembangan dalam kehidupan mereka.

Maka apakah faedahnya jika disebut atau diceritakan ayat-ayat tersebut hanya mengenai perbuatan ahli kitab sekiranya ayat-ayat tersebut tidak menjadi ancaman dan peringatan bagi kaum muslimin yang melakukan perbuatan tercela serupa dengan perbuatan ahli kitab yang mengambil undang-undang selain daripada hukum atau syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t..

Sekiranya kaum muslimin melakukan perbuatan yang dilakukan oleh ahli kitab, maka mereka tersebut juga digelar atau disifatkan sebagaimana ahli kitab tersebut. Mereka akan tergolong di kalangan yang sama. Mereka akan merasai azab seksaan daripada Allah s.w.t. atas perbuatan tercela yang mereka lakukan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah ia. (Surah Toha : 81)

Sekiranya hukum-hukum dan syariat yang terdapat di dalam kitab yang dibawakan oleh rasul-Nya tidak wajib untuk diikuti, maka apakah faedah Allah s.w.t. menurunkan kitab dan mengutuskan rasul kepada sekalian manusia sekiranya adalah hak bagi manusia samada untuk menolak atau mengikuti isi kandungan kitab tersebut dan mengingkari para rasul? Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman :

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu. (Surah An-Nisa' : 105)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. (Surah An-Nisa' : 64)

Seterusnya Allah s.w.t. berfirman kepada rasul-Nya sebagaimana yang tercatat di dalam Al-Quran, firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian [421] terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. (Surah Al-Maidah : 48)

Firman Allah s.w.t. di dalam ayat yang seterusnya :

Maksudnya : Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?

(Surah Al-Maidah : 49-50 )

Berdasarkan penjelasan kepada ayat-ayat di atas, maka dapat diketahui bahawa hanya ada 2 sahaja hukum (perundangan dan kehakiman dalam kehidupan), tidak ada yang ketiga mahupun yang keempat. Hanya 2 sahaja, samada berhukum dengan hukum Islam atau hukum jahiliyah yakni toghut.

Maka tidak dapat lari dalam kehidupan manusia, sekiranya manusia memilih untuk melaksanakan hukum Allah s.w.t., maka secara dasarnya manusia telah menolak dan membuang hukum toghut, begitulah juga sebaliknya. Maka, pilihlah di antara keduanya. Samada mereka memilih hukum Islam iaitu hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. atau manusia memilih hukum selain daripada hukum Allah s.w.t iaitu berhukum dengan hukum toghut. Tidak ada selain daripadanya. Tidak ada yang berada di tengah-tengah.

Adapun bagi kaum yang beriman, maka tidak ada pilihan lain yang mereka akan memilih selain berada pada jalan yang mengambil hukum Allah s.w.t. untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka. Mereka bersama dengan Islam. Mereka akan bangun menentang kejahilan dan toghut. Sesungguhnya syiar mereka ialah apabila mereka diseru kepada (perkara yang menuju keredhaan dan kecintaan) Allah s.w.t. dan rasul-Nya maka mereka akan mengatakan : "kami dengar dan kami patuh".

Bagi kaum yang kufur pula adalah sebaliknya. Mereka mengambil hukum toghut sebagai panduan hidup mereka. Mereka hidup dalam kegelapan kejahilan dan kesesatan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-Baqarah : 257)

2 Perkara Penting

Pertama : Hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. merupakan kewajipan untuk setiap orang Islam berhukum dengannya tanpa ada pengecualian walaupun seorang. Itulah perundangan syarak dalam segenap aspek kehidupan samada dalam konteks suruhan, larangan, penghalalan, pengharaman dan semua bentuk taklifan ke atas setiap makhluk.

Ada juga sesetengah pihak yang terkeliru dengan hukum syarak begini dengan beranggapan bahawa perundangan dengan hukum syarak pada hari ini adalah rekaan dan ciptaan manusia iaitu mereka yang terkeliru dan mendakwa bahawa perundangan yang terdapat di dalam hukum syarak ini bukanlah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. malah ia adalah hasil nukilan para ulama' fiqh dan usul fiqh.

Dakwaan dan keraguan ini merupakan satu masalah yang telah berlaku pada zaman dahulu dan ia telah diperbahaskan dan perbincangkan dengan panjang lebar oleh para ahli usul fiqh di dalam tajuk ‘al-hukm’ dalam muqaddimah ilmu usul fiqh dan tajuk ‘al-hakim’, siapakah dia?

Kesemua mereka (tanpa ada pengecualian) bersepakat mengatakan bahawa al-hakim ialah Allah s.w.t. Yang Maha Esa iaitu Pemilik hukum syarak, malah kenyataan ini turut disokong oleh para ulama sehinggakan golongan Muktazilah juga tidak membantah akan perkara tersebut malah mereka sendiri bersepakat sebagaimana Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam kitab Al-Mustasfa yang merupakan salah satu kitab usul fiqh yang masyhur.

Dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah kuat menyokong pendapat ini, malah ia dinyatakan dengan jelas dan terang tanpa ada keraguan walau sedikit. Dan dalam perenggan sebelum ini, telah dijelaskan sebahagiannya melalui firman Allah s.w.t..

Kedua : Sistem perundangan yang diturunkan oleh Allah s.w.t. merupakan satu sistem perundangan yang sempurna yang meliputi setiap zaman dan tempat. Malah hukum Allah s.w.t. sesuai untuk sepanjang zaman sehingga hari kiamat. Tidak ada hukum Allah s.w.t. yang kolot dengan kehidupan manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran.

Hakikatnya, di sana ada ruang yang khas untuk manusia, khususnya bagi orang yang pandai dengan ilmu agama untuk berfikir berkenaan dengan nas-nas agama dalam mengeluarkan dan mensabitkan hukum-hukum yang tidak terdapat pada zaman mereka. Satu ruang yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada para ulama' dalam mengadaptasikan hukum Allah s.w.t. mengikut tuntutan dan keadaan yang berlaku di sekitar zaman mereka yang belum pernah berlaku di zaman sebelum mereka.

Allah s.w.t. memberikan manusia ruangan untuk berfikir dengan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. menurut panduan syarak. Di sana ada satu ruang yang sangat luas yang sengaja ditinggal oleh syarak bukan kerana terlupa tetapi mempunyai tujuan-tujuan yang tertentu. Malah merupakan rahmat bagi manusia. Maka dalam ruang lingkup inilah akal orang Islam akan berfungsi, berusaha menyelesaikan sesuatu masalah atau hukum mengikut saluran nas-nas yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t..




Related Posts with Thumbnails