Saturday, October 30, 2010

KONVENSYEN PMRAM 2010



Dibawah Lajnah & Unit Perancang dan Panitia akan mengadakan Konvensyen PMRAM pada :


Hari : Rabu
Tarikh : 3 November 2010
Tempat : Dewan Solah Kamil, Hayyu sadis

Konvensyen ini diwajibkan kepada semua pimpinan Badan Kebajikan Anak negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM).


"Kemantapan Fikrah, Membina Syakhsiah"

"Kesatuan Ukhwah, Manifestasi Tarbiyah"

Sumber asli : hewipmram55.blogspot.com

Thursday, October 28, 2010

ETP : Ekonomi Tidak Hanya Wang Semata-Mata, Fokus Usaha Membasmi Kemiskinan

KAHERAH, 27 Oktober - Ketua Badan Ekonomi PMRAM, Saudara Al-Hidayat Khalid mengulas berkaitan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang bakal membuka ruang hiburan sosial dan kelab malam yang lebih banyak bagi meningkatkan tarikan terhadap pelancong luar negara adalah suatu perancangan yang tidak tepat.

Dalam memacu masa depan negara ke arah yang lebih maju dan moden, nilai etika akhlak tidak boleh dipisahkan daripada ekonomi atas alasan kemajuan semata-mata. Bahkan sektor ekonomi amat menekankan mengenai etika sosial dan akhlak dalam membangunkan modal insan serta kemajuan negara.

"Sebab itu kita lihat bagaimana sejarah kaum nabi-nabi terdahulu yang maju dari sudut ekonomi dan pembangunan namun dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan keruntuhan akhlak mereka yang sangat parah," ujar beliau ketika ditemui dalam Program Kutub Sittah Siri II di Nadi Riadhi, Hayyu Sabik.

Mengenai dengan rancangan menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan dengan memperbanyakkan kelab-kelab malam, beliau menyatakan bahawa ia merupakan perancangan yang tidak sepatutnya dilakukan demi meraih keuntungan wang semata-mata.

Bahkan sekiranya perancangan tersebut dilaksanakan ia akan memberikan impak negatif yang sangat besar ke atas masyarakat, dengan keruntuhan akhlak yang semakin parah.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menyifatkan bahawa ETP yang sepatutnya ingin dijalankan mestilah melihat kepada bentuk perancangan yang sentiasa berusaha untuk membasmi kemiskinan secara serius, selain memperbanyakkan projek-projek pelaburan.

"Kita risau, apabila kita hanya menumpukan satu skop sahaja iaitu hanya menarik pelaburan luar tanpa memperkasakan perancangan dalam membasmi kemiskinan di negara kita maka ia semestinya suatu perkara yang tidak seimbang, bahkan negara tetap tidak menjadi negara yang maju dan moden. Bimbang sekiranya ia tetap berlaku, hanya mereka golongan yang kaya akan bertambah kaya, namun secara tidak langsung akan menindas golongan yang sedia ada miskin dan kurang kemampuan," Jelas beliau lagi apabila merujuk kepada 75% golongan termiskin adalah daripada kalangan keluarga melayu dan peribumi, yang merupakan golongan majoriti di Malaysia.

Sambung beliau lagi bahawa selagimana golongan majoriti yang menjadi golongan termiskin di Malaysia, maka bagaimana perancangan yang dijalankan mampu memaju ekonomi negara dalam menjadikan Malaysia negara yang maju menjelang tahun 2020.

Tambahan beliau lagi, perancangan ekonomi yang dilakukan itu terlalu mengharapkan pelaburan dari sektor swasta semata apabila peratusan yang besar diletakkan iaitu sebanyak 92% daripada jumlah pelaburan yang diperlukan oleh Malaysia iaitu sebanyak 2.2 trilion.

Maka, ia merupakan perancangan kewangan yang rapuh memandangkan selama 12 tahun ini Malaysia begitu bergantung kepada "pump priming" dan pertumbuhan swasta adalah begitu kecil.

Justeru, perancangan ekonomi yang dilakukan dalam membawa Malaysia ke kelompok negara yang maju mestilah memastikan ia tidak hanya fokus wang semata-mata, bahkan etika akhlah dan sosial mesti diambil kira.

Selain itu, pastikan gerak kerja yang dijalankan fokus ke arah membasmi kemiskinan, bagi menjamin bukan hanya sebelah pihak sahaja yang akan merasai kemewahan.

sumber asli : pmram.org

Sunday, October 24, 2010

21 Oktober : Sejarah Hitam Buat HEWI PMRAM


Tarikh 21 Oktober 1993 merupakan sejarah hitam buat HEWI PMRAM dan seluruh mahasiswi pendokong PMRAM apabila, pejabat HEWI di ARMA terpaksa dikosongkan ekoran penafian hak yang dibuat atas alasan baik pulih ARMA.

Pengosongan Pejabat HEWI PMRAM di ARMA merupakan rentetan kesinambungan penafian ke atas PMRAM apabila diusir keluar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah 1992, Encik Haji Ahmad Ismail melalui surat yang bertarikhkan 16 Mac 1992.

Dalam surat yang dikeluarkan kepada PMRAM tersebut mengarah pihak PMRAM mengosongkan pejabat PMRAM dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat dikeluarkan (16 Mac 1992). Dan akhirnya apabila pihak PMRAM terus tetap tidak keluar daripada pejabat PMRAM, pintu pejabat PMRAM telah pun dipalang dan dikunci pada 28 April dan akhirnya PMRAM diusir keluar sekaligus menafikan hak PMRAM selama ini yang berada di ARMA.

Malah masih tidak cukup dengan pengosongan pejabat PMRAM, sekali lagi Pengarah Jabatan Penuntut Kaherah Mesir 1993, Encik Haji Ahmad Ismail mengeluarkan surat arahan kepada HEWI PMRAM untuk mengosongkan Pejabat HEWI PMRAM yang berada di tingkat 1 Asrama Puteri di ARMA sebelum jam 12 malam, 21 Oktober 1993.

Sejarah hitam demi sejarah hitam terus menyelubungi PMRAM di atas penafian hak keberadaan di ARMA. Bukti-bukti surat yang ditandatangani jelas menunjukkan bahawa ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ekoran bantahan yang dilakukan oleh PMRAM ke atas persatuan baru yang ingin ditubuhkan iaitu PPMM (Persatuan Pelajar Malaysia Mesir).

Maka, hari ini kita lihat bagaimana srikandi-srikandi khususnya HEWI terpaksa berdikari dalam menguruskan pejabat yang terletak di kawasan Mahkamah, Hayyu Sabik yang menelan belanja kos sewa mencecah LE 1000 per bulan. Bahkan semenjak tahun 2000, berapa kali Markaz HEWI terpaksa berpindah tempat. Di mana pejabat HEWI yang dirampas pada 21 Oktober dahulu?

Mahasiswa/wi mesti sedar dan celik sejarah ke atas hak mereka. Kesusahan dan kepahitan mahasiswi-mahasiswi terdahulu bersama HEWI PMRAM jangan dilupakan. Tarikh 21 Oktober menjadi sejarah hitam buat mahasiswi sekalian. Teruskan berjuang bersama PMRAM dan HEWI PMRAM dalam mengembalikan hak yang telah dinafikan.

Sumber Asli : pmram.org

Perancang Bagaikan Penulis Skrip


Bagi mereka yang mahu merancang atau menceburi bidang perancang, perkara untuk menjadikan minat untuk merancang ialah anggap diri bagaikan seorang penulis skrip. Penulis skrip yang sedang membina watak, menggariskan masa dalam babak dan menetapkan suasana bagi mengahsilkan sebuah filem yang paling best.

Rancangan yang ingin dilakukan pastinya mahukan yang terbaik. Bahkan tiada perancang yang mahukan perancangannya tidak menjadi mahupun tidak mencapai hadaf. Justeru, skrip bagi seorang perancang dalam filem yang ingin dilaksanakannya ialah mesti melihat daripada beberapa aspek.

Antaranya ialah watak, babak, masa perjalanan, melodi suasana dan penghabisannya.

Watak siapan yang ingin dicipta, siapa watak utama dan apakah tindakan yang mesti dilakukan oleh watak-watak tertentu, perkara ini mesti jelas dan diperincian satu per satu. Kadang kala dalam merancang, kita tidak mampu membezakan antara watak-watak yang mesti dimainkan. Contohnya apabila membicarakan apa yang mesti dilakukan oleh watak Sazali, maka perbincangan mestilah ke atas watak Sazali bukannya Ahmad.

Lagi, dalam suatu situasi perbincangan. Ahli mesyuarat menceritakan apa yang mesti dilakukan oleh Ahmad bagi mencapai kejayaan. Maka perancangan yang baik pastinya akan mengeluarkan idea Ahmad mesti rajin, Ahmad mesti pergi kuliah, Ahmad mesti kurangkan tido dan bla..bla..bla..

Sekiranya perbincangan yang agak 'merapu', apabila ditanyakan apa yang mesti Ahmadf lakukan bagi mencapai kejayaan maka idea yang dilontarkan ialah sepatutnya mak ayah Ahmad kene bagi wang saku lebih, pihak sekolah mesti mengadakan kelas tambahan yang lebih mantap, abang Ahmad mestilah sanggup mengajarkan Ahmadf pada hari minggu dan bla.. bla.. bla..

Lihat 2 situasi yang ketara dan berbeza. Perancangan ke atas watak Ahmad mestilah dibicarakan ke atas watak Ahmad bukannya watak yang lain. Kemudian barulah beralih kepada watak-watak yang lain. Ini bagi memastikan perancangan yang dilakukan teratur dan kemas.

Selain itu, dalam perancangan mesti ada babak. Dan setiap babak ada melodinya. Maknanya ia bagi memastikan perancangan yang dilakukan tidak menjadi " copy paste " sahaja. Ramai perancang yang tidak mengambil berat akan ini. Hasilnya semua benda ingin dilaksanakan dalam satu masa, kehabisan modal.

Contoh satu unit yang ingin bergerak, maka apabila semuanya ingin dilakukan dalam satu sesi seperti roadshow, wacana, gempur, pertandingan dan sebagainya maka apabila bertukar sesi maka samada ada unit tadi tidak mempunyai perancangan kerana semua sudah dilakukan atau hanya perancangan copy paste semata-mata.

Babak dalam skrip adalah penting kerana perancangan pastinya mempunyai masa dan matlamat jangkaan yang ingin dicapai. Sebab itu perancangan yang hanya mempunyai satu babak sahaja, maka ia perancangan yangb tidak matang bahkan tiada tarikan.

Jadi babak yang paling asas ialah pengenalan dahulu kemudian diikutin dengan bagaimana menarik perhatian dan sensitivti. Selepas itu pula, membina kekuatan atau pengaruh sebelum diletupkan pada babak klimaks sesebuah perancangan bagi mencapai dan menilai hasil di akhir perancangan.

Justeru, banyak lagi perkara yang mesti diperhatikan. Ini sekadar asas bagi asas. Apa yang penting selalu mainkan akal dan berfikir. Jadikan seronok merancang. Anggaplah merancang bagaikan sedang menulis skrip bagi menghasilkan filem box-office.

Menara Warisan 5 Billion : PMRAM Saran Pertimbangkan Semula

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyarankan kepada pihak Kerajaan Malaysia untuk menilai dan mengkaji semula dalam membuat pertimbangan semula berikutan perancangan untuk membina menara 100 tingkat sebagaimana yang diumum pada ucapan Bajet 2011.

Menara yang diberi nama Bangunan Warisan Merdeka tersebut bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia apabila ia dilaksanakan yang dijangka akan siap sepenuhnya menjelang 2020. Isu yang menjadi topik perbualan adalah berkaitan kos yang amat tinggi dibelanja iaitu sebanyak 5 billion.

PMRAM sama sekali tidak menolak akan perancangan dalam menarik tarikan pelancong bagi meluaskan lagi promosi negara Malaysia ke dunia luar di samping untuk mendapatkan pelabur asing dengan kadar yang tinggi. Namun, pertimbangan melaburkan kos 5 billion dengan keperluan asas yang sewajarnya itu yang perlu dinilai semula.

Memandang kepada realiti masyarakat Malaysia yang masih rata-rata kurang kemampuan terutama dari sudut kebajikan dan pendidikan, kos 5 billion lebih bermanfaat untuk disalurkan ke arah tersebut sekaligus meletakkan negara lebih stabil dari sudut kebajikan dan menuju ke arah kemajuan dengan institut pengajian yang semakin berkembang. Hal ini dapat direalisasikan dengan saluran yang tepat berdasarkan kehendak yang mesti didahulukan mengikut tuntutan keadaan.

Justeru, PMRAM menyarankan sekali lagi agar pihak Kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan kos penggunaan 5 billion tersebut dengan mengkaji tuntutan yang selayaknya didahulukan bertepatan dengan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
PMRAM 2010

Sumber asli : pmram.org

Friday, October 22, 2010

PMRAM Memandang Serius Isu Islamic Fashion Festival

KAHERAH, 22 Oktober – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini menyatakan kekesalan terhadap isu panas yang melanda umat Islam sedunia hari ini, khususnya di Malaysia.

Isu berkenaan Islamic Fashion Festival yang dijalankan di Monte Carlo pada 9 Ogos mengundang kemarahan umum umat Islam di Malaysia apabila festival jelas bercanggah dengan landasan syara’.

PMRAM turut menyokong tindakan bantahan yang dilaksanakan oleh beberapa NGO Islam di Malaysia bagi menyatakan kekesalan isu tersebut dan meminta agar festival seperti itu tidak lagi dilaksanakan di Malaysia.

Semalam (21 Oktober, Khamis), MANHAL PMRAM telah pun mengeluarkan kajian yang berkaitan Islamic Fashion Festival yang jelas ia cukup mengundang kemarahan umat Islam apabila ia seakan-akan menghina Nabi Muhammad SAW apabila kalimah Muhamad yang diterbalikkan dan terdapat di pakaian yang dipakai oleh seorang model wanita yang tidak menutupi aurat.

Bahkan festival tersebut turut melanggar landasan syara’ apabila terdapat percampuran lelaki dan wanita tanpa batasan serta terdapat beberapa model yang tidak menutupi aurat.

Naib Presiden I, merangkap Ketua Lajnah Badan Dan Dakwah, Saudara Adlan Mokhtaruddin berkata program-program sebegini amat dikesali kerana ia menyumbang ke arah keruntuhan moral akhlak di kalangan masyarakat yang kian parah sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Bahkan beliau juga menyatakan bahawa sebelum ini konsert yang mengundang penuh kontroversi dan kemarahan umat Islam dengan membawa artis luar negara yang popular dengan simbolik gay juga merupakan tanda kerosakan akhlak yang semakin parah.

Justeru, isu-isu sebegini PMRAM memandang serius terhadap apa yang berlaku dan mengharapkan pihak kerajaan Malaysia serius menangani isu ini dengan baik bagi sama-sama menjaga maruah umat Islam serta memastikan segala program yang boleh mengundang kerosakan akhlak di kalangan masyarakat tidak lagi dijalankan.

Mohd Faizuddin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
PMRAM 2010

Sumber asli : pmram.org

Isu Pemusatan Mahasiswa/wi Di Kaherah akan Diperbincangkan Dalam Konvensyen PMRAM

KAHERAH, 21 Oktober - Pengarah Program Konvensyen PMRAM, yang juga Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman meminta semua ajkt PMRAM Cawangan untuk bersiap sedia ke Konvensyen PMRAM. Konvensyen PMRAM yang bakal diadakan pada 3 NOvember tersebut melibatkan semua ajkt seluruh PMRAM cawangan, ikhwah mahupun akhwat.

Konvensyen PMRAM pada kali ini bakal membincangkan beberapa agenda utama untuk tindakan bersama di setiap peringkat antaranya etika PMRAM, 2 usul PMRAM dan isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah.

Konvensyen PMRAM yang bertemakan "Kita PMRAM" akan menyaksikan perbincangan serius di peringkat pimpinan mengenai isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah yang sebelum ini menjadi perbualan hangat mengenai tindakan yang akan diambil.

Sumber asli : pmram.org

"Kita akan menjadikan Konvensyen PMRAM untuk menyedarkan setiap pimpinan mengenai isu-isu besar yang berlaku yang melibatkan tindakan semua pihak. Bahkan kita tahu ekoran isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah telah memberikan impak yang besar di seluruh peringkat, dari sudut kondisi BKAN untuk menjaga ahli seramai 800 orang yang berpusat di Kaherah keseluruhannya dan dari sudut kondisi DPM yang merisaukan kesinambungan DPM bagi sesi seterusnya tanpa ada pelapis dari kalangan mahasiswa/wi baru," tegas Pengarah Konvensyen PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Justeru, beliau menyeru untuk semua pimpinan di setiap cawangan bersiap sedia dengan lebih awal dan membincangkan 2 agenda besar iaitu 2 usul PMRAM dan isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah bagi menjayakan Konvensyen PMRAM yang bakal berlangsung pada 3 November nanti.

Thursday, October 21, 2010

KEJORA 2010 : "Jadilah Mahasiswa Islam yang Sempurna" - Timbalan Presiden PMRAM

KAHERAH, 17 Oktober - Ucapan perasmian yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman ketikan merasmikan program KEJORA '10 yang bertemakan 'Ke Arah Generasi Al-Quran Yang Unik' bertempatkan di Nuzul menyeru semua mahasiswa baru ke arah mahasiswa Islam yang sebenar sebagaimana diseru oleh Islam.

Beliau menerangkan bahawa ciri mahasiswa Islam yang sebenar adalah mereka yang melengkapi 2 eleman yang utama iaitu memahami hukum hakam di dalam Islam dan memahami hak dan tuntutan yang diseru oleh Islam. Tanpa salah satu eleman ini, maka ia tidak menepati ciri mahasiswa Islam yang sebenar.

Beliau mengulas berdasarkan tafsiran ke atas kalimah 'tafaqquh' sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

"Apabila menyebut tafaqquh atau fiqh, bukan hanya semata-mata memahami hukum sahaja, akan tetapi ia juga meliputi akan apa yang diseru oleh Islam dalam konteks hak dan tuntutan. Bukan hanya pandai mengeluarkan hukum, namun tidak melakukan hak dan tuntutan yang dikenakan ke atas bahunya. Maka sekiranya begitu, ia tidak menepati kehendak ayat tersebut. Mereka yang memahami hukum Islam adalah mereka yang melakukan hak dan tuntutan dalam Islam. Maka itulah makna tafaqquh yang sebenar. Dan inilah ciri mahasiswa Islam yang sejati," ucapan beliau dalam majlis perasmian KEJORA '10 di Nuzul, Ismailliyah.

Beliau menyatakan begitu apabila melihat kepada beberapa mahasiswa yang terpaksa menghadapi halangan untuk pergi ke KOJERA '10. Beliau turut memuji mahasiswa yang sanggup menanggung risiko dalam bersama-sama untuk mengikuti KEJORA '10.

Bahkan beliau menegaskan bahawa PMRAM sentiasa memberikan kebajikan kepada mahasiswa tidak kira betapa besar musibah yang meimpa ke atas mahasiswa.

Ucapan perasmian tersebut disambut dengan laungan bergema " Kita PMRAM!" yang dilaungkan oleh semua mahasiswa.

Di akhir majlis perasmian, Pengarah KEJORA '10, Saudara Alhidayat memberikan cenderahati kepada perasmi sebagai tanda kenang-kenangan.

Sumber asli : pmram.org

Konvensyen PMRAM Bakal Tiba November Ini


KAHERAH, 17 Oktober - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) akan mengadakan Konsensyen PMRAM pada bulan November nanti.

Konvensyen PMRAM yang bakal menyaksikan himpunan seluruh AJKT Cawanagan itu bakal membincangkan beberapa perkara besar dalam memaju kesatuan PMRAM terus bergerak maju ke hadapan.

Menurut Timbalan Presiden PMRAM yang juga merangkap Pengarah Konvenseyen PMRAM pada kali ini, Saudara Muhamad Zuhaili berkata Konvensyen PMRAM yang diadakan adalah untuk mengemaskini perjalanan pentadbiran di seluruh peringkat agar lebih teratur dan bersistem.

Selain itu, konvensyen itu juga bakal menyaksikan perbincangan di kalangan pimpinan PMRAM pusat dan cawangan dalam mengatur strategi dan tindakan dalam isu yang dibawa.

Konvensyen yang bertemakan "Kita PMRAM" itu merupakan program sulung dalam menghimpunkan tenaga penggerak utama PMRAM iaitu ajkt di seluruh cawangan. Jumlah keseluruhan yang dilaporkan adalah sebanyak 310 antara akjt ikhwah dan akhwat.

"PMRAM kini sedang sibuk menyusun dan memastikan kekuatan PMRAM di seluruh tempat digerakkan secara menyuluruh dalam membawa imej kebajikan dan sebagai persatuan induk yang menjadi wadah perjuangan mahasiswa Islam di bumi Mesir ini. Kita mahu menjadikan Konvensyen PMRAM sebagai tempat perbincangan bersama dalam mengorak langkah mengukir kejayaan bersama di bawah kesatuan PMRAM," jelas Timbalan Presiden, Muhamad Zuhaili Saiman.

Justeru, setiap AJKT peringkat cawangan mesti bersiap sedia untuk menghadirkan diri ke Konsvensyen PMRAM tersebut dan memahami etika badan dan unit bagi persiapan awal ke konvensyen.

Tarikh, masa dan tempat akan dimaklumkan kemudian melalui Lajnah & Unit Perancang PMRAM kemudian.

Sumber asli : pmram.org

Wednesday, October 20, 2010

"Pastikan Ahli Merasai Bahawa PMRAM Ada Hak Di ARMA" - Timbalan Presiden PMRAM


DUMYAT, 18 Oktober - Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman mengulas isu berkenaan ARMA ketika ditanya dalam ramah mesra bersama Kepimpinan PMRAM sempena Jaulau Badan Pengurus ke Dumyat.

Beliau ketika ditanya mengenai tindakan yang telah dilakukan oleh pihak PMRAM beserta jangka masa dalam mendapatkan kembali hak di ARMA, menjelaskan bahawa tanggungjawab berkaitan ARMA ini adalah sepenuhnya di bawah Timbalan Presiden merangkap Ketua Lajnah Perancang Dan Panitia menerusi Unit Panitia ARMA.

Beliau menerangkan bahawa tindakan Unit Panitia ARMA adalah untuk memastikan ahli mengetahui fakta sejarah berkenaan ARMA, menjaga kebajikan ahli PMRAM di ARMA dan berusaha mengembalikan hak PMRAM yang telah dinafikan.

Namun begitu, beliau menjelaskan, melihat kepada sensitiviti ahli berkenaan hak PMRAM di ARMA semakin suram dan luntur, maka tanggungjawab utama ke atas Unit Panitia ARMA adalah untuk menaikkan semula sensitiviti ahli berkenaan isu ini.

Unit Panitia ARMA menerusi objektif utama yang diletakkan begitu optimis dalam memperkasakan penerangan berkaitan di atara ARMA dan PMRAM di samping memainkan sensitiviti ahli bagi memastikan ahli cakna ke atas ARMA.

"Usah ditanya bila PMRAM akan mendapatkan ARMA, atau berapa peratus keberjayaan PMRAM dalam mendapatkan haknya semula yang sudah hampir 20 tahun dinafikan. Apa yang penting sekarang, kita mesti memastikan ahli seluruhnya cakna isu ini ada merasai hak PMRAM di ARMA yang dinafikan selama hampir 20 tahun," jelas beliau kepada ahli-ahli PMRAM di PMRAM Cawangan Dumyat.

"Kita mahukan suasana mengenai sensitivit ahli berkaitan ARMA adalah sebagaimana pada tahun 1992 yang mana ahli sanggup bangun dan bersuara untuk bersama-sama dengan kepimpinan PMRAM dalam mempertahankan hak tersebut. Ekoran tanggungjawab yang besar inilah tugas panitia diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Presiden yang menunjukkan bahawa misi ini sangat besar dan penting buat ahli dan kepimpinan PMRAM, " ulas beliau dengan lebih panjang.

Menurut beliau, sehingga kini di bawah Unit Panitia ARMA, sebanyak 1400 buku kronologi ARMA telah pun diedarkan secara percuma kepada ahli di Kaherah dan seluruh DPM.

Sumber asli : pmram.org

"Pastikan Ahli Merasai Bahawa PMRAM Ada Hak Di ARMA" - Timbalan Presiden PMRAM

DUMYAT, 18 Oktober - Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman mengulas isu berkenaan ARMA ketika ditanya dalam ramah mesra bersama Kepimpinan PMRAM sempena Jaulau Badan Pengurus ke Dumyat.

Beliau ketika ditanya mengenai tindakan yang telah dilakukan oleh pihak PMRAM beserta jangka masa dalam mendapatkan kembali hak di ARMA, menjelaskan bahawa tanggungjawab berkaitan ARMA ini adalah sepenuhnya di bawah Timbalan Presiden merangkap Ketua Lajnah Perancang Dan Panitia menerusi Unit Panitia ARMA.

Beliau menerangkan bahawa tindakan Unit Panitia ARMA adalah untuk memastikan ahli mengetahui fakta sejarah berkenaan ARMA, menjaga kebajikan ahli PMRAM di ARMA dan berusaha mengembalikan hak PMRAM yang telah dinafikan.

Namun begitu, beliau menjelaskan, melihat kepada sensitiviti ahli berkenaan hak PMRAM di ARMA semakin suram dan luntur, maka tanggungjawab utama ke atas Unit Panitia ARMA adalah untuk menaikkan semula sensitiviti ahli berkenaan isu ini.

Unit Panitia ARMA menerusi objektif utama yang diletakkan begitu optimis dalam memperkasakan penerangan berkaitan di atara ARMA dan PMRAM di samping memainkan sensitiviti ahli bagi memastikan ahli cakna ke atas ARMA.

"Usah ditanya bila PMRAM akan mendapatkan ARMA, atau berapa peratus keberjayaan PMRAM dalam mendapatkan haknya semula yang sudah hampir 20 tahun dinafikan. Apa yang penting sekarang, kita mesti memastikan ahli seluruhnya cakna isu ini ada merasai hak PMRAM di ARMA yang dinafikan selama hampir 20 tahun," jelas beliau kepada ahli-ahli PMRAM di PMRAM Cawangan Dumyat.

"Kita mahukan suasana mengenai sensitivit ahli berkaitan ARMA adalah sebagaimana pada tahun 1992 yang mana ahli sanggup bangun dan bersuara untuk bersama-sama dengan kepimpinan PMRAM dalam mempertahankan hak tersebut. Ekoran tanggungjawab yang besar inilah tugas panitia diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Presiden yang menunjukkan bahawa misi ini sangat besar dan penting buat ahli dan kepimpinan PMRAM, " ulas beliau dengan lebih panjang.

Menurut beliau, sehingga kini di bawah Unit Panitia ARMA, sebanyak 1400 buku kronologi ARMA telah pun diedarkan secara percuma kepada ahli di Kaherah dan seluruh DPM.

Sumber asli : pmram.org

Friday, October 15, 2010

2 Eleman Mahasiswa Islam Sejati



Ramai yang mengaku akan dirinya mahasiswa Islam yang sejati, namun hanya indah khabar dari rupa. Laungan bangga menjadi mahasiswa Islam tidak seperti yang digezekkan di dalam Islam. Mungkin mahasiswa Islam yang mandom dan sebagainya, bukan mahasiswa Islam yang sejati.

Tertarik dengan apa yang cuba dibawa oleh SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia) berkenaan tahun 2010 tahun kebangkitan mahasiswa. Kita boleh lihat bagaimana skrip perjalanan dalam membuktikan bahawa tahun 2010 adalah kebangkitan bagi mahasiswa Islam. Kebangkitan dalam membuktikan kembali integriti mahasiswa yang matang dalam satu-satu isu dan hak yang perlu diperjelaskan. Lihat bagaimana 4 mahasiswa UKM yang berhadapan dengan isu ' berpolitik' dalam kampus. Lagi berkaitan isu ' bini puaka' yang dibawa oleh mereka. Bahkan isu-isu semasa yang bertentangan dengan syariat dan hak, mereka pasti tidak ketinggalan dalam mengisi barisan menyatakan pendirian yang tepat.

Itu antara skrip yang telah dijalankan di Malaysia...

Apa yang penting dalam memastikan kebangkitan mahasiswa, diri mahasiswa itu sendiri perlu ada mekanisme dalam menghasilkan impak yang digeruni iaitu dinamakan kuasa mahasiswa. Dan dalam skrip perjalan hidup ini, bagi menghasilkan watak yang bergelar mahasiswa Islam yang sejati tidak dapat tidak mesti melengkapi 2 eleman yang berkait rapat di antara satu sama lain. Ia adalah berdasarkan ke atas pemahaman ke atas " tafaqquh " atau " fiqh " itu sendiri.

Ekoran pemhaman yang kurang tepat, ramai mahasiswa yang mengerti akan hukum hakam namun terlalu kurang akan kelibatan dalam melonjakkan hukum hakam ke tempat yang sepatutnya. Seperti ramai yang tahu bahawa ' Kalimah Allah ' adalah di puncak, namun berapa ramai yang turut serta dalam meletakkan ' kalimah Allah' di tempatnya? itu yang dipersoalkan dan dikesalkan..

Justeru 2 eleman yang mesti dilengkapi ialah :

1) memahami hukum hakam dalam Islam
2) memahami akan hak dan tuntutan yang diseru oleh Islam

2 eleman yang mesti dilengkapi bagi mahasiswa Islam. Jangan hanya mengetahui itu haram, ini halal namun apabila hak dicabuli senyap membisu. Maruah dihina, membisu 1000 bahasa. Begitu juga jangan hanya bersuara lantang tanpa mengetahui apakah hukum dalam Islam. Bimbang akan yang diperjuangkan benda yang batil.

Mahasiswa Islam mesti mengetahui hukum dalam Islam biar jelas akan setiap tindakan yang dilakukan menepati syarita yang diperuntukkan.

Mahasiswa Islam mesti tahu akan hak dan tuntutan yang diseru agar hukum hakam yang dipelajari agar Islam tidak dicabuli dan dirobek.

Justeru, jatuh bangun integriti mahasiswa Islam bergantung kepada 2 eleman ini. Hilang salah satu maka jatuhla integriti mahasiswa Islam itu.


Wednesday, October 13, 2010

ARMA : Menanti Penerus Perjuangan 65 Sukarelawan Terdahulu




Antara sejarah kegemilangan PMRAM yang tercatat dan masih diperjuangkan ialah berkaitan perjuangan mahasiswa terdahulu hasil didikan PMRAM. Seramai 65 sukarelawan yang didaftarkan bagi membantu pihak kerajaan Mesir berperang dalam mempertahankan negara daripada dijajah pihak musuh.
Hal ini membuktikan bahawa intergriti mahasiswa terdahulu amat tinggi bahkan selain daripada 65 sukarelawan yang terbabit, mahasiswa yang lain memberikan sumbangan dalam konteks yang lain seperti menderma darah manakala mahasiswi pula mengerah tenaga dalam membantu menjahit pakaian tentera.

Sejarah emas yang tidak mungkin dilupakan bahkan mungkin antara sejarah kegemilangan dunia dalam kondisi sebuah persatuan mahasiswa tertua di dunia ini.

Namun kini, fakta sejarah dan hasil daripada jasa mahasiswa terdahulu kian dilupakan apabila terdapat beberapa pihak yang tidak beberapa selesa dengan kedudukan PMRAM sekarang. Pengubah serta penyelewangan fakta dalam masa yang sama beberapa tindakan dalam menjauhkan ahli-ahli PMRAM dengan ARMA rancak dijalankan sejak kian lama. Bahkan sejak zaman 90-an apabila beberapa tindakan secara drastik dilakukan seperti cadangan penubuhan persatuan yang lain untuk menafikan keberadaan PMRAM, penghalauan PMRAM atas alasan yang batil serta penafian PMRAM dalam hak keistimewaan ke atas anjung ARMA serta peranan 3 wakil Badan Pengurus PMRAM dalam mencorakkan apa jua dasar perlembagaan bagi ARMA.

Hasilnya, ahli PMRAM kini kian jauh dan semakin alpa mengenai hak mereka yang telah diperolehi hasil jasa mereka yang sanggup menggadaikan nyawa dalam peperangan 3 serangkai pada 1965. Bahkan Unit Panitia yang ditubuhkan khas oleh PMRAM pada 1932 pada ketika itu dalam mendapatkan sebuah penempatan bagi kebajikan mahasiswa Melayu juga dipinggarkan. Ia bagaikan sejarah yang hampir menjadi mitos khayalan apabila sensitiviti ke atas sejarah ini bagaikan air dicurahkan ke atas daun keladi. Tidak kesan yang wujud. Kosong.

PMRAM yang merupakan persatuan induk bahkan mungkin persatuan tertua di dunia masih lagi tidak mempunyai tempat operasi yang tetap malahan dinafikan hak dengan penyelewengan fakta, merupakan satu tragis hitam yang amat menyedihkan. Mana perginya aura perjuangan mahasiswa kini sebagaimana yang ditonjolkan 65 sukarelawan terdahulu. Berani kerana mempertahankan hak. Namun kini aura perjuangan penerus 65 sukarelawan terdahulu hampir lenyap bahkan mungkin sudah lenyap sama sekali. Roh mahasiswa yang sepatutnya ciri-ciri yang dipamerkan adalah belajar dan mencabar bagaikan kosong dan lesu.

Kini, pada tahun 2010, Unit Panitia ARMA begitu optimis dalam membangkitkan semula aura perjuangan dan roh tersebut dalam mengembalikan semula intergriti mahasiswa kini. Biar mahasiswa mampu menilai mana yang hak dan apa yang mesti diperjuangkan. Semoga dengan beberapa tindakan yang telah disusun dan dirancang mampu mengembalikan kegemilangan sejarah terdahulu.

Sumber asli : pmram.org

Friday, October 8, 2010

Lebih 900 Buku Kronologi Khas ARMA Diedarkan Secara Percuma



KAHERAH, 7 Oktober -
Unit Panitia ARMA di bawah Lajnah Perancang Dan Panitia PMRAM pada tahun ini terus meneruskan langkah dalam menyemarakkan kembali sensitiviti ahli PMRAM khususnya berkenaan hak PMRAM yang dinafikan di ARMA.

Bermula dengan pameran di KEKAL '10 (Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM), Unit Panitia ARMA terus memperkasakan gerak kerja penerangan berdasarkan tema yang dibawa iaitu " ARMA : Hak Kita & Jasa Mereka ".

Sepanjang tempoh gerak kerja yang dilakukan, Unit Panitia ARMA telah pun mengedarkan lebih 900 naskhah buku kronologi berkaitan sejarah Unit Panitia dan ARMA kepada seluruh mahasiswa/wi di Mesir.

Pengedaran buku secara percuma tersebut disifatkan sendiri oleh Pengarah Unit Panitia ARMA, Saudara Hanif Musa sebagai satu langkah yang permulaan yang serius dalam membawa kembali isu ARMA ini.

"Kajian yang telah dilakukan di peringkat Unit Panitia ARMA menunjukkan ahli-ahli PMRAM khususnya semakin kurang menjiwai isu ARMA ini.

Tidak menafikan bahawa mereka mengetahui akan sejarah yang berlaku, namun kecaknaan ke atas hak yang dirampas adalah berkurangan" tambah beliau.

Kini, Unit Panitia ARMA telah pun menjalankan pameran bergerak sebanyak 2 kali iaitu pada 2 Oktober di hadapan rumah BKAN Pulau Pinang dan 7 Oktober di perkarangan Rumah Kelantan Baru. Dan pameran bergerak ini digabung jalinkan bersama dengan Unit Dana Syaqah.

Menurut Timbalan Presiden, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman sebagai bukti pihak PMRAM optimis dalam mengajar kepada ahli akan sikap mempertahankan hak.

Beliau juga menambah bahawa lebih-lebih lagi, antara usul yang dibawa oleh PMRAM ialah mengembalikan intergriti mahasiswa yang di antaranya menekankan soal hak dan maruah.

Beliau mengharapkan akan segala tindakan yang telah disusun dan diatur oleh Unit Panitia ARMA akan dapat menaikkan sensitiviti mahasiswa/wi berkenaan hak PMRAM yang telah hilang sejak 18 tahun dahulu.


Sumber asli : pmram.org

Wednesday, October 6, 2010

Pameran Bergerak ARMA & Dana Syaqah Diteruskan Lagi

KAHERAH, 6 Oktober - Unit Panitia ARMA PMRAM bersama Unit Dana Syaqah sekali lagi meneruskan pameran bergerak bagi meneruskan penerangan berkaitan antara hak PMRAM di ARMA dan misi pembelian syaqah PMRAM.

Pameran bergerak ini akan berlangsung esok iaitu 7 Oktober pada Hari Khamis di perkarangan Rumah Kelantan Baru di Hayyu Sabik.

Pameran bergerak ini merupakan kali yang kedua selepas dilakukan pada 2 Oktober baru-baru ini di hadapan rumah BKAN Pulau Pinang.

Objektif utama bagi pameran bergerak ini ialah bagi memastikan semua mahasiswa/wi kesemuanya di setiap tempat mendapat penerangan secara terus mengenai ARMA dan dana syaqah.

"Melalui Unit Panitia ARMA, pada tahun ini kita optimis untuk memberikan penerangan secara langsung secara optimum bagi mengembalikan semula sensitivi ahli kita sebagaimana abang-abang kita dahulu," berkata Pengarah Unit Panitia ARMA, Saudara Hanif Musa.

Di samping itu, Pengarah Unit Dana Syaqah, Saudara Khairul Amri berkata menerusi gandingan bersama antara Unit Panitia ARMA dan Unit Dana Syaqah adalah bagi memperkasakan lagi gerak kerja bersama yang mana asal tujuan wujudnya dana syaqah ini ekoran daripada penghalauan PMRAM dari ARMA pada 1992.

"Justeru, ahli mesti sedar bahawa kedua-dua misi ini mesti dijayakan bersama-sama" tambah beliau.

Makluman lanjut bagi pameran bergerak ARMA & Dana Syaqah adalah seperti berikut :

Tarikh : 7 Oktober 2010
Hari : Khamis
Masa : 1) 9.30 pagi sehingga 12.30 tengahari untuk akhwat
2) 1.00 petang sehingga waktu asar untuk ikhwah

Semua mahasiswa/wi dijemput hadir bagi menjayakannya.

Sumber : pmram.org

lihat juga pada : dana-apartmen.blogspot.com

Sunday, October 3, 2010

ARMA & Dana Syaqah : PMRAM Optimis



KAHERAH, 2 Oktober - Pameran bergerak Unit Panitia ARMA bersama-sama dengan Unit Dana Syaqah yang berlangsung pada hari ini berjalan dengan lancar. Pameran yang diadakan di hadapan rumah BKAN Pulau Pinang tadi bermula seawal 9.30 pagi dengan sesi lawatan untuk pihak akhwat.

Pameran tadi diserikan juga dengan kehadiran daripada mahasiswi baru daripada beberapa BKAN terutama BKAN Pulau Pinang.

Sesi lawatan untuk akhwat berakhir pada jam 1 petang, kemudian pada jam 1.30 petang pula adalah sesi lawatan bagi ikhwah.

Pengunjung pameran bergerak diberikan pamplet penerangan berkaitan bersama-sama buku penerangan kronologi khas mengenai ARMA yang menceritakan sejarah penubuhan Unit Panitia seawal 1932 sehingga rentetan kronologi peristiwa dan tindakan yang telah dilakukan oleh pihak PMRAM dalam mendapatkan kembali hak beroperasi di anjung ARMA.

Pameran bergerak yang mengganbungkan antara Unit Panitia ARMA dan Unit Dana Syaqah ini merupakan siri yang pertama dalam menyebarkan penerangan dan informasi yang berkaitan serta bagi menghidupkan kembali sensitiviti ahli dalam cakna isu ARMA dan Dana Syaqah.

"Pada tahun ini, pihak PMRAM melalui Unit Panitia ARMA khususnya begitu optimis dalam berusaha menaikkan sensitiviti ahli terhadap ARMA. Dan pameran bergerak ini adalah langkah permulaannya" ujar Timbalan Presiden yang ditemui di tapak pameran bergerak petang tadi.

sumber asli : pmram.org

Saturday, October 2, 2010

Sape Nak Jadi Tok Haji ?? Sila Daftar .....


Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sekali lagi akan menganjurkan Pakej Haji PMRAM. Pakej yang dianjurkan oleh pihak Badan Sambutan Dan Rehlah PMRAM 2010 tersebut telah pun dibuka untuk pendaftaran. Bagi yang ingin mendaftarkan diri, antara dokumen yang diperlukan ialah:

1) Visa sah sehingga 1 Mas 2011
2) Surat sokongan Haji dari pihak KBMK (dalam Bahasa Arab)
3) Penyata pengesahan pengajian (Tasdiq kuliah)
4) Ta'syir audah daripada Mujamma' Tahrir
5) 8 keping gambar berukuran paspot (latar belakang putih)
6) Sijil pengesahan kesihatan (Syahadah Thot'im) beserta resit

Antara pakej yang termasuk dalam Pakej Haji PMRAM ialah:

1) Visa Haji
2) Tiket kapal laut (pergi-balik) kelas pertama
3) Rusum Bank Faisal
4) Bayaran Muassasah Saudi untuk khemah di 'Arafah
5) Pengangkutan (Kaherah-Port Safaga-Kaherah)
6) Pengangkutan ziarah Mekah/Madinah
7) Penginapan Mekah/Madinah

Bagi siswi, pastikan mempunyai dan membawa mahram yang sah dan pihak PMRAM sangat mengalu-alukan penyertaan seluruh mahasiswa dan mahasiswi bagi menyahut seruan Haji bagi tahun 1431H. Sebarang pertanyaan, bolehlah terus menghubungi Ketua Badan Sambutan Dan Rehlah PMRAM 2010, Saudara Ahmad Huzaifah bin Fauzi di talian +20116312426 atau emel ustazhuzaifah@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it . Tarikh akhir pendaftaran adalah pada 18 Oktober 2010.

Sumber asal : pmram.org

Friday, October 1, 2010

Nilai Optimum Dalam Kerja



Antara kejayaan umat Islam dalam sesuatu perkara ialah dengan mengoptimumkan tenaga kerja mereka dengan sebaiknya. Optimum dalam kerja adalah galakan serta tuntutan yang jelas terdapat dalam penerangan Al-Quran dan hadis.

Lihat bagaimana Nabi SAW menyatakan bahawa Allah menyukai seseorang yang melakukan kerjanya itu dengan bersungguh iaitu optimum.

Optimum yang dimaksudkan adalah luas bahkan lebih daripada bersungguh. Ia mencangkupi perancangan yang baik, bijak strategi dan cakna kerja. Tidak memadai dengan bersungguh semata-mata, kerana tanpa yang layan kerja pasti akan terbengkalai.

Justeru, point penting yang bagaimana untuk kita lihat akan nilai optimum dalam kerja adalah 2 eleman iaitu :

- Itqan
- Ihsan


Itqan ialah kesungguhan yang dicurahkan dengan sepenuh tenaga dengan sebaiknya. Apabila menyebut itqan maka kerja yang dilaksanakan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebelum ini saya ada nyatakan tentang tuntutan Islam ke atas umatnya dalam melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya. Mengerah otak, membanting tenaga serta bijak percaturan juga adalah komponen dalam melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya. Inilah kehendak itqan yang kita maksudkan.

Kadang-kadang kita tidak menafikan umat Islam sudah melakukan tugas. Namun adakah ia melakukan dengan sebaik-baiknya? Adakah dengan kesungguhan sepenuhnya ?

Yang menjadikan masalah ialah umat Islam masih tidak melaksanakan dengan sepenuhnya. Tidak mengambik kira nilai optimum dalam kerja. Apa yang ada dalam mindset mereka hanya apabila ditanyakan mengenai kerja, mereka hanya mahu mengatakan aku sudah lakukan. Tidak ada perancangan atau kehendak dalam mindset mereka aku mahu melakukan dengan lebih baik bahkan sebaik-baiknya.

Hasilnya, tiada perancangan yang baik, hilang fokus bahkan tidak dapat memastikan kejayaan yang dikecapi dikekalkan di masa kelak.

Dalam satu khutbah Dr Yusof Al-Qardhawi di Qatar, beliau ada mengatakan bahawa kaum arab sekarang hidup dengan mudah dan mewah. Mudah saja untuk pergi ke mana-mana tempat di dunia ini dengan kekayaan yang ada. Kereta boleh dibeli bahkan ditukar-tukar dengan sewenang-wenangnya ekoran kekayaan yang melimpah ruah. Namun Dr Yusof Al-Qardhawi mempersoalkan kepada kaum arab siapa yang mencipta kapal terbang yang mereka naiki untuk melancong seluruh dunia? Siapa yang mencipta kereta yang mereka bermegah-megah memilikinya ? Mana ciptaan kaum arab?? nothing...

Maksudnya tidak mengoptimumkan kerja dengan kemudahan kekayaan yang ada.........

Ihsan adalah eleman ke-2 dalam memastikan nilai optimumkan dalam kerjaya berjaya. Ihsan membentuk pemikiran dan mindset umat Islam untuk sentiasa melakukan kerja bahkan dengan sebaiknya.

Ia adalah mendidik umat Islam yakin dan percaya bahawa kerja yang mereka lakukan adalah bermanfaat dan memanfaat manusia, hasilnya ia adalah ibadah dan mendapat pahala dan ganjaran. Tidak kiralah kondisi yang dilaksanakan. Bahkan Allah SWT telah memesan kepada hamba-hambaNya supaya memusatkan segala kerja kepada Allah, samada dalam kondisi perkara fardhu, sunat mahupun urusan dunia yang dibolehkan.

Firman Allah SWT :

" Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya ibadahku, solatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam."

Justeru, Ihsan merupakan eleman dalam yang begitu penting dalam memastikan umat Islam tidak putus asa dan hampa dalam sesuatu kerja yang dilaksanakan.

Mereka akan yakin dengan pasti bahawa mesyuarat mereka, kerja-kerja persiapan mereka, hantar makluman iklan, menjaga protokol majlis dan sebagainya yang mereka niatkan kerana Allah, ganjaran tersedia menanti bagi mereka di akhirat kelak.

Dan inilah 2 eleman yang penting iaitu itqan dan ihsan dalam memastikan nilai optimum dalam kerja kita.


Related Posts with Thumbnails