Friday, October 22, 2010

PMRAM Memandang Serius Isu Islamic Fashion Festival

KAHERAH, 22 Oktober – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini menyatakan kekesalan terhadap isu panas yang melanda umat Islam sedunia hari ini, khususnya di Malaysia.

Isu berkenaan Islamic Fashion Festival yang dijalankan di Monte Carlo pada 9 Ogos mengundang kemarahan umum umat Islam di Malaysia apabila festival jelas bercanggah dengan landasan syara’.

PMRAM turut menyokong tindakan bantahan yang dilaksanakan oleh beberapa NGO Islam di Malaysia bagi menyatakan kekesalan isu tersebut dan meminta agar festival seperti itu tidak lagi dilaksanakan di Malaysia.

Semalam (21 Oktober, Khamis), MANHAL PMRAM telah pun mengeluarkan kajian yang berkaitan Islamic Fashion Festival yang jelas ia cukup mengundang kemarahan umat Islam apabila ia seakan-akan menghina Nabi Muhammad SAW apabila kalimah Muhamad yang diterbalikkan dan terdapat di pakaian yang dipakai oleh seorang model wanita yang tidak menutupi aurat.

Bahkan festival tersebut turut melanggar landasan syara’ apabila terdapat percampuran lelaki dan wanita tanpa batasan serta terdapat beberapa model yang tidak menutupi aurat.

Naib Presiden I, merangkap Ketua Lajnah Badan Dan Dakwah, Saudara Adlan Mokhtaruddin berkata program-program sebegini amat dikesali kerana ia menyumbang ke arah keruntuhan moral akhlak di kalangan masyarakat yang kian parah sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Bahkan beliau juga menyatakan bahawa sebelum ini konsert yang mengundang penuh kontroversi dan kemarahan umat Islam dengan membawa artis luar negara yang popular dengan simbolik gay juga merupakan tanda kerosakan akhlak yang semakin parah.

Justeru, isu-isu sebegini PMRAM memandang serius terhadap apa yang berlaku dan mengharapkan pihak kerajaan Malaysia serius menangani isu ini dengan baik bagi sama-sama menjaga maruah umat Islam serta memastikan segala program yang boleh mengundang kerosakan akhlak di kalangan masyarakat tidak lagi dijalankan.

Mohd Faizuddin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
PMRAM 2010

Sumber asli : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails