Monday, August 23, 2010

Ingat Mati : Bukan Sekadar Bertutur Akan Tetapi Gigih Bekerja


Selaku umat Islam yang kuat akidahnya, ada beberapa konsep yang telah diletakkan ke atas diri mereka iaitu takdir yang tetap dan konsep usaha yang diberikan oleh Allah SWT. Dalam diri manusia, semenjak kelahirannye ke muka bumi ini, telah diletakkan amanah yang asas dalam diri mereka iaitu amal makruf nahi mungkar. Iaitu melakukan kerja sebagaimana yang disuruh dalam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

Dalam masa yang sama manusia mesti ingat bahawa kematian adalah pengakhiran bagi sketsa kehidupan di alam fana ini, dan selepas kematian manusia akan dibawa ke muka pengadilan mahkamah agung Allah SWT.

Namun begitu, tanda mengingati mati bukan sekadar melafazkan kalimah "kita mesti ingat mati" tanpa melakukan kerja Islam dengan gigih dan tidak melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Ini konsep yang salah. Ada sebahagian yang menyeleweng yang mana apabila ingat mati menyebabkan kerja-kerja Islam dan amanah tidak ditunaikan dengan sebaiknya. Mesyuarat tidak datang, kerja-kerja amanah tidak dilaksanakan, banteras gejala sosial tidak dipedulikan dan sebagainya.

Dalam kitab yang bertajuk Kenapa Berlakunya Kejatuhan Khilafah, antara eleman yang menyebabkan kejatuhan khilafah Islam ialah salah faham terhadap tasawuf dan sufi yang menyebabkan umat Islam tidak bekerja dan tidak mempedulikan masyarakat sekeliling. Apa yang dipentingkan ialah hanya zikir dan menangis seorang diri, namun kerja Islam ditinggalkan!!

Begitulah penyakit fikrah yang bahaya sebagaimana yang diterangkan oleh Dr Yusof Al-Qardhawi di dalam kitab Jail An-Nasr Al-Mansyud, berkenaan gejolak bagi sesuatu gerakan Islam yang palimg utama ialah masalah fikrah. Tidak memahami konsep kerja Islam, tidak memahami penghayatan Islam dan peruntukan syariat.

Nabi SAW adalah manusia paling mengingati mati, namun baginda SAW setiap masa bekerja. Soal ibadah, tidak perlu dipertikaikan lagi. Soal urusan dunia lihat bagaimana Nabi SAW berjual beli, memerintah, berperang, bermesyuarat, dan sebagainya.

Nabi SAW pernah berpesan bahawa beribadahlah seolah-olah mati esok hari, bekerjalah seolah-olah hidup 1000 tahun lagi.

Seandainya esok kiamat, dan di tangan kamu ada biji / benih tamar, maka tanamlah ia. Begitulah pesan Nabi SAW yang menerangkan kepada umatnya untuk bekerja dan bekerja dengan gigih adalah tanda ingat mati.

Dalam PMRAM sendiri kita mengajar kepimpinan dan ahli mengenai konsep amanah di dalam bekerja. Buat kerja dapat pahala, tidak buat kerja, lalai dan malas maka dosa. Justeru, sekiranya orang yang ingat mati maka sudah pasti ia akan melakukan perkara-perkara yang mendapatkan pahala sebagai bekalan di akhirat kelak. Dan sudah pasti dia akan meletakkan amanah dengan sebaiknya agar tidak dipersoalkan di akhirat kelak.

Amat pelik sekali sekiranya orang yang memperingati mati tersebut hanya bertutur namun tidak melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Sedangkan Allah meletakkan amanah dan menganugerahkan usaha kepada manusia untuk bekerja dan melakukan kerja Islam.

Justeru, perbetulkan pemahaman kita dan selaraskan pemahaman kita berkaitan mati dengan usaha yang gigih dalam melakukan kerja-kerja Islam...

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails