Sunday, August 22, 2010

Ramadhan : Intipati Puasa Yang Dituntut


Bila berbicara tentang berpuasa, mesti disedari bahawa intipati puasa itu yang dikehendaki. Antara penyebab kepincangan bagi sesuatu gerakan Islam ialah terlalu menumpukan rupa bentuk luaran bagi gerak kerja dan melalaikan intipati kerja yang dikehendaki. Begitu juga dengan perintah berpuasa ketika di bulan Ramadhan dan selainnya.

Ayat Al-Quran yang mensyariatkan berpuasa secara jelas telah menerangkan akan intipati yang dikehendaki daripada berpuasa tersebut iaitu ketaqwaan.

Firman Allah : Wahai orang yang beriman. Diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana juga telah diwajibkan ke atas golongan yang sebelum daripada kamu, semoga dengan berpuasa tersebut akan menjadikan kamu bertaqwa.

Begitu juga pesanan Nabi SAW di dalam hadisnya telah mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang keji serta melakukan perbuatan yang keji maka Allah tidak berhajat kepadanya akan orang tersebut meninggalkan makan dan minum (iaitu berpuasa).

Bahkan Nabi SAW ada menjelaskan bahawa berapa ramai yang berpuasa (tidak makan dan tidak minum) namun baginya hanya letih dan dahaga sahaja, tanpa sebarang pahala yang dikecapi. Hal ini menjelaskan bahawa puasa yang dilakukan tadi tidak menepati intipati yang dikehendaki, akhirnya puasa yang dilakukan walaupun rupa luaran dipandang baik oleh manusia sekelilingnya hanyalah sia-sia sahaja.

Di samping itu juga, ibadah yang dilakukan sempena Ramadhan dan puasa seperti solat terawih dan tadarus Al-Quran juga mempunyai intipati yang dikehendaki berdasarkan apa yang telah diletakkan oleh Islam. Antara masalah lagi yang berlegar di masyarakat Islam ialah berlumba-lumba menghabiskan Al-Quran dengan sekadar habis semata-mata tanpa mementingkan kuantiti kesedaran hasil daripada kefahaman pembacaan yang dilakukan.

Dr Yusof Qardhawi sendiri ada menegur bahawa sifat melebih-lebihkan kuantiti ini menjadi trend tanpa mementingkan kuantiti. Berapa ramai yang dipersoalkan bertanya mengenai berapa banyak tafsir ayat yang dibacakan berbanding terlalu syok sendiri mengejar juzuk bagi menjolok gelaran juara khatam Al-Quran.

Berlumba mengkhatamkan Al-Quran tidak salah. Dasarnya tidak salah. Namun teknikal yang dilakukan itulah yang dipersoalkan. Justeru, intipati Al-Quran itu ialah sebagai pedoman kepada manusia dan menjadi petunjuk bagi membezakan mana satu yang hak dan yang batil. sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran.

Namun sekiranya membaca tanpa memahami dengan baik, bagaimana intipati yang dikehendaki daripada membaca Al-Quran tersebut akan diperolehi??

Pun begitu bagi solat terawih. Para sahabat dan golongan yang terdahulu apabila membaca Al-Quran di dalam solat terawih memahami akan isi kandungan yang dibacakan, lantas akan menyentuh jiwa mereka ke arah pengharapan kepada Allah. Namun, masyarakat yang ramai kini, tidak memahami akan Al-Quran ekoran dek lemah ilmu dan penguasaan bahasa arab, lantas dijadikan samada pertengahan solat atau seusai solat dibentangkan tazkirah merupakan jalan yang terbaik dalam menyampaikan tazkirah peringatan daripada apa yang dikehendaki daripada Al-Quran.

Usah mempertikaikan adakah tazkirah tersebut dilakukan di zaman Nabi atau tidak, akan tetapi persoalkan adakah kita solat kita memahami apa yang dibaca oleh imam sebagaimana para sahabat memahami? Isu dasar iaitu pemahaman ke atas isi kandungan Al-Quran itu yang mesti dipersoalkan.

Justeru, tingkatkan kualiti puasa dan ibadah kita di bulan Ramadhan dengan memastikan intipati yang telah diletakkan dilakukan dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails