Saturday, August 14, 2010

Kurangkan Berleter Dan Memberi Alasan, Banyakkan Merancang Dan Kajian


Antara eleman yang disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qardhawi berkaitan sebab gerakan Islam itu lemah dan mandom ialah kerana para pendokongnya terlalu berleter dan memberikan alasan tanpa merancang sesuatu bagi menyelesaikan masalah, bahkan tidak melakukan kajian dalam menilai kelemahan bagi memperbaiki di masa kelak.

Terlalu ramai bahkan hampir kesemua manusia reti dan pandai bermuhasabah. Namun muhasabah yang kosong. Bagaikan tin kosong yang mengeluarkan bunyi yang kuat dan bising. Namun dalam ramai-ramai kalangan tersebut berapa sahaja yang turut menyatakan perancangan dan kajian yang dilakukan hasil muhasabah yang diberikan. Sedikit dan tidak seimbang.

Islam merupakan agama yang bergerak atas dasar realiti bukan fantasi. Konteks realiti ialah mengetahui akan kelemahan yang ada dan meletakkan perancangan sesuai dengan segala kemudahan yang wujud. Sebab itu, ramai yang tenggelam dengan angan-angan hasil pemikiran yang melayang ke awang-awangan.

Kita lebih suka mengeluarkan idea yang bombastik kerana mampu menarik perhatian yang mendengar dan menyebabkan mereka terpegun ekoran dek bombastik yang menakjubkan. Namun itu bukan yang diajarkan di dalam agama. Agama menitik beratkan dan menilai sesuatu kepada yang realistik dan hakikat yang terkandung.

Lihat sejarah, bagaimana peristiwa Isra dan mikraj yang menyaksikan taklifan solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu sahaja. Dari satu sudut, ia mengajar kepada kita bagaimana memikirkan keadaan yang realiti dan kemampuan umum disekeliling.

Kita lihat juga bagaiman konteks penurunan Al-Quran yang berperingkat dalam mencetuskan realiti yang ada yang melibatkan hukum terutama ke atas adab masyarakat jahiliyah yang sudah beratus-ratus tahun dipegang. Mereka yang hanya meleter disebabkan tergesa-gesa mahukan kesempurnaan di awal detik secara tidak langsung mengakibatkan kemundaran dan kerosakan di masa depan kelak.

Bahkan mereka ini mempunyai ilmu menganalisa isu dan perkembangan yang cetek. Mereka tidak dapat mengikuti sesuatu perkembangan dengan baik dan teratur. Masakan tidak, mereka seolah-olah mahu dilahirkan dalam keadaan yang tersedia remaja tanpa melalui proses perkembangan bermula dengan peringkat bayi.

Justeru, Islam amat menitik beratkan perancangan dan kajian dalam mencapai matlamat dan misi, bukan sekadar meleter dan memberikan sejuta alasan.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails