Saturday, September 11, 2010

Syawal : Kita Kembali Kepada Fitrah (Islam)


Kedatangan Syawal yang disambut bagai bak keperwiraan selepas melalui ujian selama sebulan, ia adalah kemenangan bagi mereka yang betul-betul telah menyempurnakan apa yang telah ditarbiyah sepanjang Ramadhan. Bulan Syawal diisyhtiharkan sebagai bulan kemenangan selepas umat Islam menahan lapar dan dahaga selama sebulan bahkan terpaksa menahan beberapa fitrah asli bagi menyahut seruan tarbiyah tersebut.

Namun kegembiraan ke atas anugerah Syawal yang diberikan oleh Allah bukanlah untuk bergembira sehingga melupakan apa yang telah diperolehi dalam Ramadhan yang lepas. Bukanlah bermakna selepas Ramadhan segala amalan kita menjadi cikai dan ceroi. Akan tetapi sepatutnya amalan adalah lebih kualiti dan mantap ekoran kesan melalui Ramadhan yang lepas. Sebab itu disebut bahawa " jadilah hamba tuhan (Allah), bukannya hamba Ramadhan " iaitu beramal dan beribadatlah semata-mata kerana Allah bukan kerana dek kedatangan Ramadhan. Ramadhan akan datang dan pergi, Allah sentiasa kekal dan hidup!

Bahkan Syawal juga merupakan manusia kembali kepada fitrah yang asli. Segala-gala fitrah bermula di alam kelahiran lagi. Bukan semata-mata fitrah makan dan minum di waktu pagi sahaja. Ramai yang hanya menganggap apabila datang Syawal maka manusia amnya kembali kepada fitrah yang asli yang ditafsirkan kepada makan dan minum. Akan tetapi apa yang dikehendaki daripada fitrah yang asli tersebut ialah sebagaimana yang diungkapkan oleh Nabi SAW mengenai kelahiran manusia iaitu fitrah kembali kembali kepada Islam sepenuhnya.

" Setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam fitrah iaitu Islam .... "

Sebab itu Syawal menjadi medan kualiti ibadat kita sepanjang Ramadhan, adakah kita mampu mengekalkan kualiti ibadat kita sebagaimana di bulan Ramadhan samada tadarus, bangun malam, menahan syahwat, solat jemaah dan sebagainya. Medan ujian samada kita akan mandom mahupun terus cemerlang. Bagaikan seseorang yang graduate dari sebuah universiti yang agung, adakah ilmu dan input yang diperolehi sepanjang pengajian di universiti tersebut mampu diaplikasikan di medan bersama masyarakat atau sekadar hebat di universiti sahaja akan tetapi mandom apabila bersama dengan masyarakat.

Justeru, imbau kembali apa yang diperolehi sepanjang ramadhan antara ialah :

1) Penurunan Al-Quran : yang menjelaskan kepada kita akan pemantapan fikrah yang jelas berikutan objektif utama penurunannya adalah untuk memberikan hidayah kepada manusia dan menjelas antara mana yang hak dan batil. Maka fikrah mesti jelas bahawa mana yang hak dan batil.

2) Kisah peperangan Badar Al-Kubra : yang menjelaskan kehebatan keyakinan terhadap janji Allah. Akidah yang mantap mendorong kejayaan yang dijanjikan oleh Allah. Lihat bagaimana tentera Islam yang sedikit bilangan ditambah lagi dengan kelengkapan yang amat kurang jika dibandingkan dengan tentera kafir, namun kemenangan tetap milik Islam. Bahkan ia turut mengajar erti jati diri dan mempertahankan hak. Peperangan Badar merupakan peperangan yang pertama, dan diizinkan ekoran umat Islam dizalimi dan hak mereka dicabuli ketika di Mekah.

3) Konsep berpuasa : menjelaskan erti tunduk dan patuh dalam sebarang urusan bagi sesuatu pentarbiyahan walaupun ia agak tidak menyenangkan kehendak semula jadi kita. Namun dalam puasa mengajar erti keikhlasan yang tinggi ekoran puasa hanya orang yang berpuasa sahaja tahu adakah ia sebenar-benarnya puasa atau tidak walaupun di mata masyarakat ia bagaikan puasa. Sebab itulah Allah menjanjikan bahawa bagi amalan puasa, ganjaranya Allah akan membalas secara direct.

4) Kisah pembukaan Kota Mekah : yang menerangkan kepada kita akan peri pentingnya sesuatu perancangan yang rapi beserta beberapa awasan yang mesti diperhalusi. Pembukaan Kota Mekah pada 8 Hijrah merupakan satu tarikh bahawa segala syirik dan karut sepatutnya sudah dihapuskan ekoran patung-patung yang berada di sekeliling Kaabah dihancurkan ketika dalam bulan Ramadhan. Kemenangan yang mutlak adalah hak milik Islam.

5) Laillatul Qadar : mengajar manusia konsep berusaha dan bertindak awal bagi memperolehi sesuatu kejayaan yang besar. Sepeti yang diceritakan sebelum ini, bagi memperolehi Lailatul Qadar, bukanlah bermula pada malam-malam yang dijangkakan sahaja, bahkan bermula seawal kedatangan Ramadhan.

6) Ganjaran pahala yang berlipat ganda : menyeru akan aktivis Islam akan lebih bersungguh melakukan kerja-kerja Islam. Hal ini demikian yakin akan setiap pekerjaan yang baik digandakan pahala. Sebab itu Ramadhan bukanlah untuk berehat daripada kerja-kerja Islam. Ramadhan adalah gedung memborong pahala.

dan sebagainya..

Justeru, dengan kedatangan Syawal jangan menyebabkan kita leka berseronok tanpa meneruskan usaha memantapkan lagi ibadah kita. Jadikan syawal apabila kita kembali kepada Islam (fitrah) kita akan lebih bekerja keras tidak kira samada dalam konteks dunia mahupun akhirat.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails