Tuesday, September 14, 2010

Dimensi Baru Pendidikan - Mymetro


KINI institusi di negara maju berlumba-lumba melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang akademik malah mempunyai keperibadian unggul.

Senario itu dilihat sebagai satu proses pembudayaan sosial baru yang kini cuba dipraktikkan kebanyakan institusi pengajian.

Ia bagi membendung keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda yang semakin membimbangkan.

Bagaikan memberi dimensi baru kepada proses pendidikan yang selama ini hanya mementingkan pencapaian akademik dan melupakan kepentingan pembangunan akhlak.

"Frasa ini membuktikan kebanyakan institusi sudah bosan melihat gejala keruntuhan akhlak di kalangan pelajar serta generasi muda.

"Mereka mahukan pembaharuan dan kesedaran itu sudah tentu masih belum terlambat untuk mengubah senario yang berlaku kini.

"Pencapaian akademik yang baik belum tentu menjamin seseorang itu daripada tidak terbabit dengan gejala buruk. Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan mereka tidak terbabit lebih jauh sekali gus membunuh masa depan," kata Presiden merangkap ketua Pegawai Eksekutif Liga Pembangunan Kebangsaan Amerika Syarikat, Marc Morial.

Kebanyakan laporan krisis disediakan menerusi kaji selidik Pusat Buruh dan Pemasaran Pelajaran di Northeastern University Boston, Massachusetts dan Alternative Schools Network di Chicago, Illinois.

Gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar terutama pada peringkat pertengahan atau kolej bukan sesuatu yang baru.

Malah semakin teruk kerana masyarakat seolah-olah menerima tanpa mahu mengambil tindakan membendungnya daripada terus merebak.

Sebahagian besar krisis dicetuskan masyarakat miskin dan terpinggir disebabkan terpaksa bersesak di sekolah awam.

Morial berkata sikap prejudis dan lepas tangan masyarakat menyebabkan warga pendidik perlu bertindak melakukan sesuatu meskipun tanggungjawab itu perlu dilakukan bersama.

"Sikap inilah yang 'membunuh' kebanyakan mereka. Tidak mahu keadaan berlanjutan, tanggungjawab ini perlu dipikul sekolah.

"Ia sangat menyedihkan kerana masyarakat tidak mahu sama memikul tanggungjawab itu sedangkan mereka juga bakal menjadi peneraju dalam institusi itu. Mereka lebih rela membiarkan daripada membantu," katanya kesal.

Peningkatan pelbagai gejala sosial di kalangan generasi muda negara maju bukan lagi dilihat masalah utama yang memerlukan pemantauan rapi.

Sudah banyak kegiatan atau program diperkenalkan namun masih tidak berjaya mengekang penularan kejatuhan moral sedia ada.

Malah kini kebanyakan masyarakat lebih bimbang dan menumpukan perhatian kepada masalah lain seperti bencana alam, krisis ekonomi dan kepincangan dunia berbanding mengambil tahu perihal keperluan pembangunan diri.

Menurut Morial budaya masyarakat lebih cenderung bersikap mementingkan diri sendiri tanpa melunaskan sepenuhnya tanggungjawab terhadap institusi pengajian begitu ketara dan membimbangkan.

"Mereka bagaikan sudah putus asa dan tidak mahu lagi ambil peduli. Sikap ini sangat berbahaya kerana menganggap pelajar ini mampu berdikari dan berfikir sedangkan ia sebaliknya.

"Kini tanggungjawab institusi menangani kepincangan itu, sudah tentu membebankan kerana tenaga pengajar terpaksa memberi lebih tumpuan lebih dalam pelbagai keperluan .

"Cabarannya juga hebat, ditakuti dengan pelbagai tekanan, mutu pendidikan pasti jatuh sekali gus memburukkan lagi keadaan dan menggagalkan usaha dibuat," katanya yang berharap kedua pihak saling bekerjasama bagi memastikan usaha itu berjaya.

Bagaimanapun Fellow Kanan Suruhanjaya Pendidikan AS, Rexford Brown melihat senario itu daripada pandangan berbeza dan menurutnya isu itu ditokok tambah selain meletakkan kesalahan pada sebelah pihak.

Beliau berpendapat tanggungjawab mengekang gejala itu menjadi hak semua dan pihak institusi pengajian tidak boleh mengeluh kerana ia menjadi salah satu bidang tugas.

"Menyelar satu pihak kerana dianggap lepas tangan cukup tidak adil dan melampau. Masalahnya, tanggungjawab itu hak semua yang harus dipikul bersama.

"Institusi pengajian tidak boleh merungut kerana itu memang salah satu bidang tugas dan cabaran yang perlu ditangani, bukannya tertumpu pada konsep mengajar semata- mata.

"Semua pihak di seluruh dunia menghadapi masalah serupa tapi mereka berganding tangan bersama- sama mencari mekanisme terbaik untuk mengatasinya. Jangan berbalah tapi carilah penyelesaiannya," katanya.

Brown juga merumuskan pendidikan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan cabaran sebenar adalah untuk mendidik pelajar berjaya dalam akademik dan kehidupan.

"Pendidikan bukan sekadar melahirkan ahli akademik tapi merangkumi semua terutama dalam membantu memantapkan pembangunan sosial sesebuah negara. Konsepnya luas.

"Usaha dilakukan institusi sudah berada pada landasan betul, perlu diperkukuhkan lagi dengan sokongan masyarakat. Kalau menolak, jangan putus asa.

"Pendidikan adalah elemen berterusan tanpa sempadan selain semua pihak bertanggungjawab menjaga kesinambungan dan kesuciannya daripada tercemar," katanya.

Sumber asli di : mymetro

P/S : kalau negara barat pun dah fikirkan mengenai keperibadian yang unggul ekoran masalah gejala sosial, takkan kita yang study agama hanya fokus semata-mata pelajaran sehingga tidak peduli masalah keruntuhan akhlak??? fikirkan....

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails