Friday, September 24, 2010

ARMA : Sejarah Yang Kita Lupakan




Sebelum kewujudan rumah-rumah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di Mesir, Asrama Rumah Melayu ( ARMA) merupakan tempat penyatuan mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di perlembahan Nil ini. Sejak Asrama Rumah Melayu (ARMA) siap dibina, di sana terdapatnya pejabat PMRAM dan HEWI yang beroperasi seperti yang kita lihat hari ini. PMRAM dapat melaksanakan program-program dengan baik menggunakan kemudahan hasil titik peluh sukarelawan seramai 65 orang dan ahli PMRAM ketika dahulu. Mungkinkah sejarah yang pernah dikecapi dahulu akan berulang kembali ?.

Faktor sebenar yang menyebabkan PMRAM diberi notis keluar dari pejabatnya di ARMA tidak diketahui secara pasti. Akan tetapi dipercayai berpunca daripada bantahan yang dilakukan oleh PMRAM terhadap satu pertubuhan baru yang bernama Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM). Bantahan ini dilakukan kerana memandangkan kesan-kesan negatif yang wujud apabila dua persatuan ditubuhkan . Sehingga sekarang PMRAM berpendirian tidak mengiktiraf persatuan berkenaan dan terus menjalankan usaha mewujudkan satu persatuan induk sahaja bagi seluruh mahasiswa Malaysia.

Sejak daripada peristiwa hitam tahun 1992 tersebut PMRAM di usir dari ARMA oleh pihak kedutaan Malaysia yang tidak menghormati perjanjian yang disepakati bersama. Sehingga ke hari ini PMRAM terpaksa menyewa dua buah rumah yang dijadikan pejabat sebagai tempat untuk beroperasi demi melaksanakan tanggungjawab terhadap ahli yang bernaung di bawahnya.

Kadang-kadang ada sesetengah pihak yang tidak tahu asal usul sejarah ini lalu mengubah fakta-fakta atau menokok -tambah sejarah berkaitan Asrama Rumah Melayu (ARMA). Mereka mengatakan diri mereka lebih arif atau ada tujuan sebaliknya?. Tetapi mungkinkah ia merupakan satu usaha untuk melenyapkan pengaruh PMRAM dari ARMA. Bukti dan dokumennya masih ada lagi tersimpan sebagai tatapan generasi akan datang.

Tidakkah kita bayangkan, bagaimana suatu hari nanti kita dapat memiliki semula anjung tempat di mana pejabat PMRAM di situ. Di samping itu PMRAM juga dapat menggunakan kemudahan yang sedia ada. Pastinya kekecewaan dan kedukaan dahulu terubat dengan kegembiraan yang dikecapi bersama. Justeru, kita mampu untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah dengan lebih berkesan. Pada tahun ini PMRAM di bawah Unit Perancang dan Panitia ingin meneruskan kesinambungan dengan menggerakkan Unit Panitia Arma yang telah ditubuhkan sejak tahun 1932 lagi. Walaupun pada asalnya unit ini ketika dahulu bertujuan memperoleh kutipan dana untuk mendapatkan sebuah bangunan ARMA ,akan tetapi kini unit ini berfungsi sebagai memperjuangkan hak PMRAM iaitu Anjung ARMA sebagai pejabat PMRAM dan menjaga kebajikan ahli yang menetap di situ.

Tema yang di bawa oleh Unit Panitia ARMA PMRAM pada tahun ini ialah “ARMA : Hak Kita, Jasa Mereka”. Tema ini bersesuaian sebagai mengenang jasa mereka yang bersusah payah membina bangunan ARMA bermula sejak sebelum mendapatkan tanah sehinggalah terbina bangunan yang tersergam indah. Namun pada hari ini itulah hak kita yang sama-sama kita perjuangkan.

Kita selaku ahli PMRAM pada hari ini janganlan sekadar berbangga dengan lakaran sejarah pengorbanan orang terdahulu sahaja. Kita lihat jasa pengorbanan yang mereka berikan, bukan sekadar menggadai harta benda malah nyawa juga sanggup dikorbankan demi mempertahankan kesucian agama kita.

Tetapi kita pada hari ini terlalu jauh dari sifat sedemikian di dalam diri kita. Jika dahulu apabila diminta tenaga untuk membantu PMRAM, beratus-ratus akan beratur dan bersedia untuk membantu. Namun sekarang jika diminta bantuan tenaLinkga dan sumbangan kewangan untuk melaksanakan program PMRAM, 1001 alasan dan rungutan yang bentangkan. Ada juga yang menerima kerana terpaksa dan sebagainya. Tidak dinafikan ada juga dikalangan sahabat-sahabat yang rela menjadikan dirinya pembantu PMRAM untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah. Tidak kira diposisi mana diletakkan tetapi itulah kemampuan yang mampu disalurkan.

Semoga apa yang diharapkan PMRAM kepada ahli supaya mengetahui maklumat dan informasi berkenaan sejarah ARMA yang betul dan tepat. Berdoalah agar dipermudahkan segala usaha kita selama ini. InsyAllah pastinya hak PMRAM di ARMA akan kembali digenggam suatu hari nanti!

sumber asli : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails