Monday, March 29, 2010

Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 9)


Hikmah Hukuman Bunuh Ke Atas Golongan Murtad


Islam telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad setelah enggan kembali bertaubat apabila dituntut daripadanya untuk bertaubat (kembali kepada Islam) mengikut tempoh yang dihadkan[1]. Hukuman berat yang telah dijatuhkan adalah bersesuaian dengan jenayah murtad itu sendiri. Hal ini demikian kerana penentangan masyarakat Islam terhadap jenayah murtad ialah perkara utama yang melibatkan masalah akidah dan iman[2].


Akidah merupakan pokok utama dalam diri individu dan masyarakat dan juga hakikat bagi sebuah kehidupan dalam menuju jalan yang diredhai Allah s.w.t.. Tanpa akidah Islam mahupun tidak mempercayai akan ketuhanan Yang Esa akan mendorong manusia ke jalan yang sesat dan menjurus ke lembah kegelapan.


Islam amat tegas dan melarang sama sekali umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan atau menceroboh akidah tersebut samada pencerobohan yang dilakukan melalui iktikad (kepercayaan), perkataan, perbuatan dan hati. Dapatlah diketahui bahawa jenayah murtad merupakan satu jenayah yang sangat tercela bahkan dikeji kerana menyebabkan manusia menjauhi jalan yang benar dan menceroboh akidah yang suci.


Jenayah murtad juga memberi kesan yang sangat bahaya ke atas umat dan masyarakat Islam. Dalam erti kata yang lain, jenayah murtad menceroboh 5 bentuk hak yang patut dilindungi dan dijaga sebagaimana yang suruh oleh Islam. 5 bentuk hak itu ialah agama, jiwa (maruah), keturunan, akal dan harta. Agama merupakan hak utama yang mesti dijaga dan dilindungi oleh umat Islam kerana para sahabat khususnya sanggup mengorbankan jiwa dan menggadaikan harta benda semata-mata untuk mempertahankan agama.


Agama Islam tidak pernah sama sekali memaksa sekalian manusia untuk memasuki ke dalamnya (menganuti Islam) atau menyuruh penganut agama lain untuk keluar daripada agamanya dan memasuki agama mana yang disukai. Bahkan tidak ada dalam sejarah Islam yang menceritakan pemerintah-pemerintah dan ulama’-ulama’ Islam memaksa rakyatnya untuk memasuki Islam. Hal ini demikian kerana iman yang terdapat pada diri individu tersebut diukur berdasarkan pilihannya dengan rela hati tanpa ada paksaan.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya ?

(Surah Yunus : 99)


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. (Surah Al-Baqarah : 256)


Dalam masa yang sama, Islam melarang keras ke atas umatnya dalam perkara yang menjadikan agama sebagai mainan seperti yang dilakukan oleh Yahudi pada zaman dahulu. Mereka menganuti Islam pada hari ini dan keluar daripada Islam keesokkan harinya. Mereka memasuki Islam demi kepentingan peribadi dan keluar daripada Islam kerana di dalam Islam terdapat sesuatu yang tidak mengikuti kehendak nafsu mereka. Perihal mereka ini telah diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran melalui firmanNya :


Maksudnya : Segolongan (lain) dari Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya): "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran). (Surah Ali-'Imran : 72)


Islam tidak mengenakan hukuman bunuh terhadap individu yang murtad secara sembunyi-sembunyi yang tidak diketahui oleh masyarakat umum[3]. Hukuman mereka ditangguhkan pada hari akhirat kelak apabila mereka mati dalam keadaan yang kafir. Segala amalan yang mereka kerjakan di dunia sewaktu dalam Islam akan terhapus. Bahkan mereka merupakan golongan yang sangat rugi kelak. (yakni tidak memasuki syurga dan dicampakkan ke dalam neraka untuk tempoh yang kekal).


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-Baqarah : 217)


Tidak dapat dinafikan bahawa hukuman bunuh dijatuhkan ke atas mereka yang murtad secara terang-terangan lebih-lebih lagi sekiranya mereka (orang murtad) menyebarkan anasir-anasir yang membawa kepada jenayah murtad demi menjaga hakikat, asas dan kesatuan (perpaduan) bagi sesebuah masyarakat tersebut. Tidak ada di dunia ini, mana-mana masyarakat yang membenarkan mana-mana pihak untuk menceroboh 3 hak yang asas dalam sesebuah masyarakat iaitu hakikat bermasyarakat (perpaduan), anutan (kepercayaan iaitu agama) dan ketaatan (kepada kepimpinan yang sedia ada). Maka tidak ada masyarakat dalam sesebuah negara yang akan menerima apa-apa jua pencerobohan ke atas 3 asas utama seperti yang telah dinyatakan tadi.


Oleh itu, pengkhianat bagi negara samada dengan meminta bantuan daripada musuh negara dengan menjalinkan hubungan baik dengan negara secara sulit dan juga membocorkan rahsia-rahsia negara dikira satu jenayah yang besar. Tidak ada seseorang yang mengharuskan penyerahan hak negara kepada pihak lain untuk ditukar pemerintahan mengikut citarasa dengan sewenang-wenangnya. Apatah lagi perkara-perkara yang melibatkan akidah.


Jenayah murtad bukanlah suatu perkara yang kecil yang hanya melibatkan penukaran agama semata-mata bahkan merupakan satu jenayah yang membawa kepada pencerobohon ke atas hak-hak sesebuah masyarakat dan negara. Hal ini kerana orang yang murtad sudah tentu menukarkan anutan kepercayaan kepada anutan yang lain. Kesetiannya kepada pemerintahan Islam juga secara automatik akan berubah kepada pemerintahan taghut. Begitu juga dengan negara, daripada negara Islam kepada negara yang kufur.


Orang yang murtad seolah-olah mencabut dirinya daripada masyarakat Islam yang merupakan sebahagian anggotanya sewaktu berada dalam Islam. Orang yang murtad akan menanam jiwa dan pemikirannya bukan kepada Islam tetapi musuh Islam. Inilah keadaan yang telah diterangkan dalam hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w..


Maka setiap jenayah yang dilakukan oleh mereka, kita tidak mampu untuk membelah hati mereka untuk mengetahui, dan kita juga tidaklah disuruh untuk mengendap di rumah-rumah mereka, dan kita juga tidaklah dapat menahan mereka melainkan apa yang mereka zahirkan secara terang samada melalui perbuatan, perkataan dan penulisan yang boleh membawa mereka ke arah kekufuran secara terang-terangan. Maka selain daripada itu, tidak ada ruang untuk mentakwil atau kemungkinan. Mana-mana syak yang berlaku di dalam perkara tersebut, maka ia ditafsir dan dihukum bagi kemaslahatan ke atas orang yang didakwa dengan jenayah murtad.


Memandang remeh terhadap hukuman yang dikenakan oleh golongan yang murtad lebih-lebih lagi golongan murtad yang menyeru umat Islam yang lain ke arah jenayah murtad, akan mendedahkan masyarakat kepada bencana dan bahaya yang sangat besar bahkan akan membuka pintu-pintu fitnah yang membawa kepada impak negatif yang tidak diketahuinya oleh sesiapa pun melainkan Allah s.w.t..


Bencana dan fitnah yang dibawa oleh golongan murtad ini tidak mengambil masa yang lama. Bahkan lebih cepat daripada sangkaan terutama apabila jenayah murtad ini berlaku di kalangan orang lemah dan awam. Kesan daripada mereka inilah terbentuk satu jemaah atau kelompok yang akan menentang masyarakat Islam yang sedia ada. Mereka akan mengambil tindakan yang radikal dengan meminta bantuan daripada pihak luar khususnya musuh Islam untuk menghadapi masyarakat Islam dalam menyempurnakan misi mereka (memurtadkan kesemua umat Islam).


Kesannya, masyarakat Islam akan menghadapi kekalutan dan kekecohan dalam bentuk penentangan secara zahir mahupun fikrah di dalam sudut sosial mahupun politik. Bahkan lebih parah lagi keadaan mungkin akan membawa kepada peperangan senjata seperti yang telah berlaku pada negara-negara Islam baru-baru ini.


Inilah realiti yang pernah berlaku di Afghanistan suatu ketika dahulu. Sebilangan pemuda Islam yang telah keluar daripada agama Islam (murtad) dan menganut kepercayaan komunis yang mereka terikut dan terpengaruh sewaktu berada di Rusia. Akhirnya mereka menyertai barisan atau parti komunis. Dalam waktu yang telalu singkat, mereka telah berjaya menerkam sistem pemerintahan yang dijalankan di tanah air mereka, Afghanistan yang pada ketika waktu itu menjalankan pemerintahan Islam.


Mereka menggunakan kuasa dan peluang yang telah berjaya dirampas dengan mengubah sistem pemerintahan Islam kepada sistem pemerintahan komunis. Keadaan ini tidak disambut baik oleh rakyat Afghanistan yang lain bahkan mereka bangun menentang dan terus menentang untuk menegakkan kembali hak Islam yang telah dinodai. Maka berlakulah penentangan yang besar dan hebat.


Rakyat Afghanistan yang berani dan berkemampuan telah keluar berjihad, bertarung sehingga ke titisan darah yang terakhir. Berjihad menghadapi kaum murtad dan komunis. Segala bentuk serangan telah dilancarkan dan saling berbalas daripada pihak mujahidin dan golongan murtad. Daripada sekecil-kecil serangan sehinggalah sebesar-besar serangan. Daripada serangan yang hanya melibatkan pistol sehingga serangan melalui kereta kebal, bom dan kapal terbang. Maka, berlaku peperangan dalaman di Afghanistan yang dahsyat.


Rakyat jelata yang lemah dan tidak berdosa menjadi korban peperangan. Peperangan ini berlanjutan sehingga bertahun-tahun. Angka korban meningkat sehingga ke ratusan ribu. Anak-anak yatim, janda-janda malah bintang ternakan dan hasil tanaman semuanya tidak terlepas daripada bencana peperangan ini.


Semuanya ini tidak lain dan tidak bukan adalah rentetan kelalaian dan terlepas pandang terhadap jenayah murtad dan sikap tidak endah terhadap hukuman yang sepatutnya dijatuhkan ke atas golongan murtad serta sikap berdiam diri dari awal lagi. Andai kata pencegahan segera diambil dengan memandang serius terhadap jenayah murtad ini dan menjalankan hukuman terhadap golongan murtad, maka peperangan yang mengorbankan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa dan kehancuran harta benda mungkin tidak akan berlaku.

[1] Had tempoh bagi orang murtad untuk kembali bertaubat adalah berbeza-beza kerana para ulama berselisih pendapat mengenai dengannya.

[2] Hal ini demikian jenayah murtad melibatkan perkara usul iaitu akidah.

[3] Yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang murtad dan tidak diketahui langsung oleh sesiapa pun dan tidak menyebarkan mahupun memberitahu akan kemurtadannya. Hal ini demikian manusia tidak dapat membaca hati manusia dan manusia melaksanakan hukuman berdasarkan apa yang mampu diketahui oleh perkara zahir. Perkara-perkara yang melibatkan perkara batin, itu terserah kepada Allah s.w.t yang Maha Mengetahui perkara yang sembunyi mahupun terang.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails