Sunday, July 4, 2010

Banyakkan Perbincangan Intipati (Jauhar), Bukan Sekadar Rupa Luaran (Syakal)




Kali ini saya ingin menyentuh sedikit suasana mahasiswa islam kini yang terlalu khusyuk dengan kesibukan dan keseronokan membincangkan perkara-perkara yang sekadar rupa luaran (syakal), dan terlupa dengan perkara yang lebih penting iaitu intipati (jauhar) bagi sesuatu perkara. Keadaan sebegini boleh dilihat berdasarkan program yang melibatkan pengajian kitab samada secara berkala atau khusus. Terlampau banyak yang menyibukkan diri dengan perkara rupa luaran sahaja sehingga apabila ditanya sejak bila sudah lama tidak membincang intipati sesuatu perkara. katanya sudah bertahun-tahun... Ini satu fenomena yang perlu diberikan perhatian yang serius..

Apa yang dimaksudkan dengan rupa luaran dan intipati?

Rupa luaran / syakal ialah kita hanya membincang perkara tersebut dari sudut zahir semata-mata tanpa melihat kepada objektif dan hakikat yang dikehendaki daripada isu yang dibincangkan.

Berapa ramai yang hanya menyibuk-nyibuk membincangkan Islam menyuruh pakai apa, Nabi SAW memakai jubah warna apa, mengejar semata-mata fadhilat puasa sehingga memberhentikan kerja-kerja Islam yang usul dan sebagainya....

Saya kira sudah ramai yang menghabiskan kitab berkenaan keperibadian Nabi SAW, namun berapa ramai yang mempelajari dan membincangkan sudut kepimpinan Nabi SAW beserta penyampaian baginda dalam konteks membina negara Islam dan kesatuan ummah?

Inilah intipati atau hakikat yang ditinggalkan atau kurang diperbincangkan oleh kita masa kini. Saya kira intipati inilah yang unsur utama dalam kita membentuk dan memantapkan fikrah Islam yang sebenarnya.

Justeru, kita boleh lihat berapa ramai yang sudah khatam Al-Quran namun menolak dan mempertikaikan hukum yang ada dalam Al-Quran? Di Malaysia sendiri, majlis khatam diserikan dengan konsep yang grand namun berapa ramai daripada mereka yang memahami penurunan Al-Quran yang dikehendaki oleh Islam yang bukan hanya sekadar menjadi bacaan jampi menghalau jin / iblis?

Ramai yang tahu akan hadis sebaik-baik manusia ialah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Namun adakah intipati yang dikehendaki hanya sekadar sudut bacaan atau tajwid semata-mata?

Begitu juga yang telah diterang oleh Nabi SAW dalam hadis baginda, bahawa berapa ramai yang berpuasa namun yang diperolehi hanya lapar dahaga dan penat sahaja. Hal ini kerana apa, mereka hanya memahami puasa dari sudut tahan makan dan minum sahaja tanpa mengerti intipati puasa tersebut dalam mendidik manusia ke arah ketaqwaan.

Solat begitu juga. Berapa ramai umat Islam yang kini solat? Dalam mereka yang solat berapa ramai yang khusyuk? Dalam kalangan mereka itu pula berapa ramai yang solat yang berjaya menahan diri daripada melakukan perkara yang dosa dan keji?

Justeru, intipati-intipati dalam isu atau agenda Islam perlu diketahui. Jangan hanya berkata-kata "kita mesti berjuang" tapi masih ada sikap yang melambatkan kejayaan Islam iaitu takut, malas dan bakhil.

Saya kira mahasiswa Islam kena bangkit dan sedar dalam memperbanyakkan membincangkan intipati bagi Islam itu, bukan hanya sekadar rupa luaran sahaja...

P/S : kepimpinan adalah barisan utama yang perlu dididik bagi mendidik ahli dalam mengenalkan intipati Islam itu sendiri...

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails