Friday, January 15, 2010

WAKTU LAPANG (part 1)



Di antara nikmat yang terbesar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia ialah nikmat mengecapi usia remaja dan menikmati waktu lapang. Sesungguhnya kedua-dua nikmat ini sangat berharga bagi manusia kerana di usia remaja manusia memiliki tenaga yang kuat dan kepintaran yang cerdas bahkan usia remaja merupakan tempoh yang kemuncak dalam usia. Begitu juga dengan waktu lapang, padanya mempunyai waktu yang luas bagi merancang dan merencana sesuatu di dalam kehidupan. Jika ia disia-siakan tanpa perjadualan yang baik, maka waktu lapang tersebut akan berlalu tanpa sebarang faedah sedangkan manusia mampu mendapat faedah yang cukup besar sekiranya mampu menguruskan waktu lapang dengan sebaik-baiknya.


Justeru, Islam menitik beratkan soal penjagaan dan pengurusan ke atas usia remaja dan waktu lapang. Islam memandang serius terhadap remaja di dalam memandu kehidupan mereka untuk melaksanakan segala amalan yang soleh dan menjaga diri dengan menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah lebih-lebih lagi yang mendorong ke lembah perkara haram.
Nabi Muhammad SAW ada memuji golongan remaja yang berjaya membina keperibadian yang baik serta menjaga diri daripada terjerebak mengikut hawa nafsu dan ajakan syaitan. Hal ini disebutkan di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :


7 golongan yang mendapat perlindungan di bawah naungan Allah SWt di Hari Kiamat kelak, sedangkan ketika itu tiada naungan yang lain melainkan naungan-Nya (iaitu) : imam / pemimpin yang adil, remaja yang membesar di dalam kehidupannya dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT, lelaki yang berzikir kepada Allah SWT di kala sepi lalu menitis air mata keinsafan, lelaki yang hatinya sentiasa terikat kepada masjid, dua orang yang bersahabat dan saling kasih semata-mata kerana Allah SWT, lelaki yang digoda wanita yang cantik dan berharta untuk melakukan zina lalu lelaki tadi menghindari godaan tersebut dengan mengatakan : sesungguhnya aku takut akan Allah SWT, lelaki yang bersedekah dengan ikhlas (tidak menunjuk-nunjuk), sehingga diumpakan (keikhlasannya tersebut), tangan kirinya tidak mengetahui akan apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.


Dan, waktu lapang di dalam kehidupan manusia merupakan satu ruang yang berguna untuk membangunkan keperibadian yang soleh berdasarkan asas-asas yang ditetapkan oleh Islam seperti membina akidah yang sahih, membentuk akhlak yang indah dan merencana hala tuju kehidupan yang sejahtera. Malah waktu lapang juga merupakan satu kesempatan bagi manusia untuk mengembangkan keupayaannya yang ada ke arah Islam dengan melakukan kerja-kerja Islam dan sebagai salah satu jalan menceburkan diri ke kancah masyarakat di dalam menyesuaikan diri bagi menyampaikan dakwah untuk membina masyarakat yang sejahtera.
Islam melarang keras umatnya daripada mensia-siakan waktu lapangnya dengan perkara yang tidak berfaedah dan haram seperti bermain judi, mengambil dadah, minum arak, pergaulan bebas dan sebagainya. Hal ini demikian perkara-perkara tersebut hanya mendatangkan mudarat ke atas diri manusia itu sendiri. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :


Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu Dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara Yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?


Maka bermula dari titik tolak yang telah disebutkan di atas, Islam menuntut umatnya agar belajar di dalam memastikan penggunaan masa usia remaja dan masa lapang dengan sebaik-baiknya. Islam yang merupakan agama yang syumul iaitu meliputi segala aspek sama ada dunia mahupun akhirat tidak sesekali mengasingkan sesuatu, malah mengiktiraf akan nikmat usia remaja dan masa lapang sebagai satu elemen yang penting di dalam kehidupan orang Islam supaya waktu yang tersebut akan membuahkan hasil yang besar tanpa disia-siakan dengan begitu sahaja.


Islam menyeru umatnya untuk menguruskan waktu lapang ke arah jalan yang mendatang faedah pada kehidupan di dunia dan bekalan akhirat dengan melaksanakan segala pekerjaan bagi dirinya mahupun masyarakat. Adapun amalan membazirkan masa atau memenuhi masa lapang dengan perkara yang mendatangkan kemudharatan hanya mendatang kerugian yang tidak sepatutnya manusia terlibat dengannya. Hal ini demikian waktu yang telah lalu tidak akan berpusing kembali dan menyesali perkara yang lepas merupakan mendatangkan faedah melainkan taubat dan memperbaiki di masa yang akan datang.


Justeru, Islam melarang dengan mengharamkan umatnya daripada membazirkan masa yang ada, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan dan etika bagi pengurusan sesuatu masa semata-mata demi kebaikan dan keuntungan diri umat Islam tersebut. Di antara perkara utama yang sepatutnya dilakukan ialah menyibukkan diri dengan beribadat kepada Allah SWT, mencari ilmu yang bermanfaat, menceburkan diri dengan sesuatu pekerjaan yang berfaedah, menyalurkan kepakaran dan kelebihan kepada masyarakat setempat dan luar. Maka mana-mana perkara yang boleh merosakkan agama dan akhlak seseorang ia adalah diharamkan di sisi Islam.


Oleh hal yang demikian, remaja sepatutnya mengambil kira apa yang perlu ia tahu mengenai kepentingan sesuatu masa bagi membolehkan ia menguruskan masa tersebut dengan segala perkara yang bermanfaat baginya dan masyarakat. Iaitu dengan melakukan perkara-perkara yang menuju keredhaan Allah SWT dan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hasilnya manusia yang menguruskan masanya sebagaimana yang diajarkan oleh Islam, mereka akan mendapat nikmat-nikmat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT di dalam syurga kelak atas balasan yang telah dilakukannya dahulu.
Firman Allah SWT :


(masing-masing dipersilakan menikmatinya Dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat Yang lazat dan baik kesudahannya, Dengan sebab (amal-amal soleh) Yang telah kamu kerjakan pada masa Yang lalu (di dunia)!" (Surah Al-Haqqah : 24)


Larangan daripada membazirkan masa dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya merupakan pandangan serius yang diletakkan oleh Islam. Hal ini demikian supaya manusia tidak akan menyesal di Hari Kiamat kelak atas apa yang telah ia usahakan semasa di dunia dahulu. Hal ini disebut di dalam Al-Quran berdasarkan firman Allah SWT :


"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana Aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta Aku telah menjadi dari orang-orang Yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! "Atau berkata: ` kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah Aku telah menjadi dari orang-orang Yang bertaqwa ! ' "Atau berkata semasa ia melihat azab: ` kalaulah Aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah Aku dari orang-orang Yang mengerjakan kebaikan!" (Surah Az-Zumar : 56 - 58)

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails