Sunday, January 10, 2010

akidah islam dan jenayah murtad (siri 4)




Makna ‘ Muhammad s.a.w. Pesuruh Allah’

Adapun kalimah yang kedua dalam syahadah ialah kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah s.w.t.. Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah. Utusan Ilahi yang menyeru ke arah mentauhidkan Tuhan Yang Esa. Menghapuskan kepercayaan tuhan yang pelbagai. Nabi Muhammad diutuskan di tengah-tengah masyarakat yang ketika itu penuh dengan pelbagai perkara yang karut.

Ada kaum yang bergelar kaum Majusi yang menyembah matahari dan api. Kaum musyrikin Mekah pula menyembah patung-patung berhala. Setiap kabilah memiliki sekurang-kurangnya satu berhala yang diletakkan di dalam kaabah dan sekitarnya. Kaabah pada ketika itu dikelilingi dengan ratusan dan ribuan patung-patung berhala kepunyaan setiap kabilah . Ada yang besar dan ada yang kecil. Kaum Yahudi dan Nasrani juga begitu. Masing-masing pada ketika itu mempunyai kepercayaan karut bahkan sesat lagi menyesatkan. Dan ketika itulah diutuskan Nabi Muhammad ke dunia ini.

Ketahuilah, jika hanya beriqrar dengan keesaan Allah s.w.t. dari segi uluhiyah dan rububiyah sahaja masih tidak mencukupi. Bahkan masih berhajat kepada kalimah yang kedua iaitu mengakui akan Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah s.w.t.. Pengakuan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah s.w.t. merupakan pelengkap bagi 2 kalimah syahadah. Tanpanya, kepercayaan manusia masih sesat.

Pada zaman dahulu, para ahli kitab mempercayai akan keesaan dan ketuhanan Allah namun mereka mengingkari akan kenabian Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan yang terakhir. Jelas, bahawa 2 kalimah syahadah ini saling melengkapi antara satu sama lain. Seseorang akan dikira memasuki Islam dengan memberikan penyaksian kepada kedua kalimah ini. Jika hanya memberikan penyaksian terhadap satu kalimah sahaja maka masih belum layak untuk bergelar muslim.

Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan manusia bukan sia-sia. Selepas Allah s.w.t. mencipta manusia, Allah mengatur untuk membangkitkan para rasul di kalangan manusia sendiri, tujuannya semata-mata untuk membimbing manusia ke arah yang diredhai-Nya dan sama sekali tidak akan membiarkan manusia dalam keadaan yang terbiar (hidup tanpa arah tuju yang benar), dan untuk menyampaikan hidayah-Nya dan mengancam mereka supaya menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t..

Penciptaan manusia bukanlah penciptaan sia-sia bahkan manusia diciptakan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini untuk memakmurkan dunia ini. Inilah hakikat sebenar bagi penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan memakmurkan bumi ini sebagai khalifah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Mereka Kami utus selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisa' : 165)

Kepentingan para rasul diutuskan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi ini ialah tidak lain dan tidak bukan untuk meletakkan nilai-nilai hidup yang sebenar dan mengatur sistem kemasyarakatan dalam kehidupan manusia. Mereka diutuskan untuk menyampaikan hidayah ke seluruh kaum dan masyarakat, menghakimi manusia dalam pertelingkahan, menyelesaikan permasalahan yang membawa kepada perselisihan, mengangkat dan mengiktiraf perkara yang hak (benar) sekaligus melenyapkan kebatilan, memberikan keadilan dan kebajikan yang saksama kepada segenap lapisan masyarakat tanpa ada perbezaan di antara mereka samada dari segi warna kulit, kaum dan iklim kerana yang dinilai di sisi Allah ialah ketaqwaan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.
(Surah Al-Hadid : 25)

Maka dengan itulah Allah s.w.t. menurunkan ke atas utusan-Nya (Nabi Muhammad s.a.w.) ‘Al-Kitab’ iaitu sebagai dalil-dalil dan hujah-hujah daripada Ilahi yang tidak ada kesamaran mahupun cacat cela sebagai penguat dan penyokong ke atas kebangkitan mereka selaku utusan Allah s.w.t..

Manakala penimbang yang disebut di dalam ayat di atas memberi makna nilaian dan timbangan daripada tuhan yang didatangkan oleh para utusan Allah s.w.t. dengan memartabatkan dan memuliakan manusia mengikut acuan sebagaimana acuan yang digariskan di dalam Al-Kitab. Seandainya tidak ada utusan Allah iaitu para rasul nescaya manusia sekalian akan berada di dalam kesesatan yang nyata dalam mencari erti kata hidup yang sebenar, mereka akan tersimpang dalam mencari hakikat sebenar ketuhanan dan jalan untuk mendapatkan keredhaan tuhan dan sebagainya.

Lihat sahaja pada zaman jahiliyah, ketika mana Nabi Muhammad masih belum dibangkitkan untuk menghapuskan unsur-unsur yang karut dan sesat. Manusia hidup dalam keadaan yang tidak teratur dan saling menindas serta menzalimi di antara satu dengan yang lain . Hal ini telah diterangkan sebagaimana di dalam ayat-ayat di atas.

Rasul yang terakhir ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda diutuskan untuk menyampaikan suruhan-Nya, larangan-Nya dan syariat-Nya. Maka dengan kedatangan Rasulullah s.a.w., dapat kita mengetahui apa yang diperintahkan dan ditegah oleh Allah s.w.t. ke atas kita dalam mengecapi keredhaan-Nya yang hakiki. Maka dengan itu juga, kita dapat mengetahui perjalanan dan susunan hidup kita di atas muka bumi ini, apakah jalan yang sepatutnya kita tempuhi.

Kita dapat mengetahui perkara-perkara yang halal dan haram ke atas kita. Kita juga mengetahui kewajipan dan kefardhuan yang perlu kita lakukan. Sekiranya Nabi Muhammad s.a.w. tidak diutuskan oleh Allah s.w.t. sebagai utusan-Nya, sudah tentu kita akan hidup dalam kesesatan yang nyata, kita tidak dapat mengetahui apakah penghujungnya kehidupan ini dan kita juga tidak dapat mencari hidayat Allah s.w.t.. Sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. (Surah Al-Maidah : 15-16)

Dengan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan-Nya, kita dapat mengetahui adanya kehidupan selepas kematian. Kehidupan selepas kehidupan di dunia iaitu kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat kelak. Dapat kita ketahui bahawa kehidupan kita di dunia ini merupakan persinggahan bagi mengutip bekalan untuk menuju kehidupan yang kekal abadi . Dengan itu, kita akan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan-amalan yang boleh dijadikan bekalan di akhirat kelak. Kita tidak menjadi seperti penganut agama lain yang tidak mempercayai kehidupan selepas kematian.

Malah kita dapat mengetahui bahawasanya setiap amalan yang dilakukan di atas muka bumi akan dihitung dan dihisab dengan seadil-adilnya tanpa ada kezaliman walau sebesar zarah. Segala amalan yang baik akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda dan segala amalan yang buruk akan dibalas setimpal dengannya.

Firman Allah s.w.t yang yang bermaksudnya : Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah Al-Zalzalah : 7-8)

Melalui kedatangan Rasulullah s.a.w., dapat kita ketahui adanya hari pertimbangan dan perhitungan, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Semuanya ini dapat kita ketahui dengan perutusan daripada Allah s.w.t.. Mana mungkin kita dapat ketahui semua ini tanpa perutusan dari-Nya.

Melalui kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., diperlihatkan kepada kita dasar-dasar dan prinsip-prinsip kebenaran, kaedah-kaedah dan unsur-unsur keadilan di dalam syariat yang benar lagi tidak menyesatkan. Syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t., Tuhan yang mempunyai pengetahuan meliputi seluas langit dan bumi. Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib lagi nyata. Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui? (Surah Al-Mulk : 14)

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang lepas, jelaslah bahawa kalimah ‘Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah s.w.t.’ adalah pelengkap bagi kalimah yang pertama iaitu ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t.’ di dalam syahadah. Fokusnya, hanya Allah s.w.t., tuhan yang wajib disembahkan, tiada tuhan melainkan Dia, dan tiada syariat atau jalan-jalan yang wajib diikuti melainkan syariat yang didatangkan oleh ustusan-Nya melalui wahyu-Nya ke atas utusan-Nya.

1 comment:

  1. wah3....dah makin maju sekarang ye. Laju je update blog. Buat peksa betul2.

    ReplyDelete



Related Posts with Thumbnails