Wednesday, June 30, 2010

Muzakarah Berkelompok : Mencerminkan Kefahaman Mahasiswa Islam




Teringat satu kisah yang pernah diceritakan oleh Saudara Hairul Nizam, mantan Presiden PMRAM 2006 dan 2007 mengenai kisah muzakarah berkelompok. Beliau yang ketika itu di Tanta sangat ditekankan oleh fasilitator beliau bahawa kepentingan muzakarah berkelompok sehinggakan apabila terdapat salah seorang ahli muzakarah berkelompok yang ponteng akan dianggap 'mati', kerana bagi mereka hanya 'mati' keuzuran bagi tidak mengikuti muzakarah berkelompok.

Apa yang saya fikirkan berkaitan kisah tersebut ialah, kehebatan fikrah dan pemikiran abang dan kakak lama adalah berpunca daripada muzakarah berkelompok. Penekanan ke atas mesti menghadiri muzakarah berkelompok mencerminkan kefahaman mereka dibentuk dan diasah melalui muzakarah berkelompok.

Tidak dinafikan bahawa muzakarah berkelompok bukanlah tempat bertalaqqi seperti bertalaqqi bersama syeikh, namun ia bagaikan medium memproses ilmu dan segala bentuk kefahaman yang ada agar menjadi kefahaman yang jelas dan tepat.

Perlu ketahui, bahawa menuntut ilmu sama ada bertalaqqi atau menambahkan thaqafah melalui pembacaan dan kajian adalah sebagai memperoleh bahan mentah yang bernilai. Namun untuk membentuk dan memproses bahan mentah tersebut menjadi barangan tidak dapat tidak adalah melalui ' 'kilang' muzakarah berkelompok.

Kepentingan muzakarah berkelompok dapat dilihat bagaimana permulaan Islam juga dalam mengembangkan pengaruh dan membentuk kekuatan bermula dari muzakarah berkelompok yang dilakukan oleh rasulullah SAW di dar Arqam. Bahkan ia menjadi suatu ketetapan walaupun Islam sudah berkembang dan mempunyai negara pentadbiran tersendiri, muzakarah berkelompok tidak sekali-kali dinafikan.

Isu sebelum ini bahawa krisis mahasiswa dan tribulasi di dalam menimbang maslahat dan mudharat merupakan kesan utama hasil daripada muzakarah berkelompok yang mandom dan kepontengan mahasiswa Islam dalam menghadiri muzakarah berkelompok. Rata-rata maklum akan muhasabah yang diberikan dahulu berkenaan muzakarah berkelompok, justeru inilah hasilnya. Mahasiswa Islam mengalami krisis kurang jelas kefahaman berbanding mahasiswa Islam yang dahulu.

Penekenan yang diletakkan oleh PMRAM bahawa Hari Jumaat sebagai Hari muzakarah berkelompok mesti diutamakan dan jangan sibuk mencari helah menukar kepada kativiti sampingan yang boleh dilakukan pada lain hari.

Muzakarah berkelompok sepatutnya menjadi medium di dalam kita mengasah dan mencerna segala macam ilmu yang ada bagi mencapai kefahaman yang jelas. Ya, ramai yang ada ilmu bahkan menggelarkan diri sebagai ulama, tapi sanggup 'terjun ke lubang najis dengan beralasankan mahu mencuci najis' tersebut. Hal ini jelas bahawa ilmu yang ada pada mereka masih mentah.



Sebelum ini beberapa siri telah saya kupas secara asas berkenaan beberapa fiqh yang menjadi ilmu senjata semasa, ia juga mesti dimainkan di dalam muzakarah berkelompok dan penekanan kepekaan isu semasa yang berlaku.

Kadang-kadang sedih apabila berborak dengan beberapa sahabat yang pandai dan cemerlang di dalam pengajian dan pendidikan, apabila bila dibincangkan isu semasa yang heboh diperbincangkan di Malaysia, mereka masih tidak tahu bahkan isu tersebut sudah pun 2, 3 hari yang lalu. Ya, tidak peka terhadap isu semasa menyebabkan tribulasi di dalam penimbangan maslahat berlaku.

Segala-galanya itu merupakan isi yang terdapat di dalam muzakarah berkelompok yang tidak ada di luar.

Justeru, selepas tamat peperiksaan di Mesir ini, jangan lupa sentiasa mengikuti muzakarah berkelompok dalam memproses ilmu bahan mentah yang ada pada kita selama ini. Mulakan di dalam muzakarah berkelompok dalam membincangkan dan menyelesaikan krisis mahasiswa dan tribukasi di dalam menimbang maslahat agar Mahasiswa Islam yang kita harapkan akan terlaksana.

P/S : Mahasiswa Islam jangan terlalu sibuk dengan kepada syaklu (bentuk luaran) ilmu tanpa mementingkan jauhar (intipati) ilmu yang dipelajari. Utamakan yang mesti di dalam sebarang tindakan kita.

tambahan : BP Adlan akan mengumumkan kemudian bila tarikh pembukaan kembali muzakarah berkelompok..

Saturday, June 26, 2010

Fiqh Tawaqqu' : Perancangan Strategi Menjaga Maqasid Syariah


Kesinambungan daripada fiqhul khamsah diteruskan lagi dengan beberapa ilmu senjata semasa, di antara yang terawal untuk difahami ialah fiqh tawaqqu'. Mungkin ramai yang masih tidak mengenali fiqh tawaqqu' bahkan tidak pernah tahu akan kewujudan fiqh tawaqqu' ini. Walaubagaimana pun fiqh tawaqqu' ini merupakan istilah moden yang diberikan oleh para ulama dan pemikir namun intipati ilmu dan kefahaman di dalamnya sudah diterokai dan dicerna sejak sekian lama.

Fiqh tawaqqu' merupakan suatu ilmu di dalam merancang suatu jangkaan bagi masa depan, di dalam meraikan penjagaan maqasid syariah atas tunjang utama iaitu dharuriyat khamsah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Iaitu fiqh tawaqqu' merupakan suatu ilmu khusus merancang bagi para alim dan pemikir dengan beberapa kaedah tertentu.

Dr Wahbah Az-Zuhaily menyatakan bahawa fiqh tawaqqu' merupakan penelitian di dalam mengeluarkan hukum daripada usul syariat bagi menjaga maslahat, menolak mudharat, dan menetapkan kaedah yang yang tepat yang dipraktikkan bagi kaedah sad zarai' . Dan keistimewaan di dalam fiqh tawaqqu' merangkumi ilmu fiqh iftiradi .

* Fiqh iftiradi ialah meletakkan suatu hukum bagi perancangan masa hadapan dengan jangkaan semata-mata tanpa ada panduan ke atas hukum yang sama yang berlaku semasa. Imam Abu Hanifah menyifatkan bahawa fiqh iftiradi sebagai persediaan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka.

Dr Muhamad Kamal Imam, pengajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah menyifatkan fiqh tawaqqu' merupakan ilmu perancangan di dalam menggambarkan sesuatu situasi yang bakal berlaku di masa hadapan, dan menggunakan kaedah feqah bersesuaian usul dan maqasid syariah sebagai suatu persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Contoh situasi yang dinyatakan di dalam Al-Quran berdasarkan fiqh tawaqqu' ialah larangan mencela sembahan kaum musyrik kerana melihat kepada maslahat yang lebih utama dijaga kelak, iaitu mencegah celaan kepada Allah disebabkan celaan kepada sembahan mereka.

Begitu juga dengan larangan menjual senjata kepada mereka yang memusuhi Islam kerana bagi menjaga keselamatan dan keamanan orang Islam daripada serangan musuh tersebut apabila memiliki senjata.

Selain itu, seperti bank susu yang dibahaskan oleh para ulama semasa , yang mengharamkan bagi menjaga beberapa maslahat yang besar di antaranya percampuran nasab yang tidak terkawal.

Kesemua hukum tersebut adalah bagi sekiranya ia berlaku, iaitu di masa hadapan kerana menjaga maslahat berdasarkan hukum semasa atau jangkaan semata-mata berdasarkan kaedah yang sesuai dan tepat.

Maka inilah ilmu perancangan dan penyusunan strategi yang diajarkan oleh Islam bagi mejaga maslahat dan menolak dharurat berdasarkan maqasid syariah yang dituntut.

Justeru, Islam bukan sekadar terhenti atau kuno dengan zaman atau situasi yang terdahulu tanpa memikirkan suatu jangkaan di masa hadapan dan juga Islam tidak sewenang-wenangnya memberikan ruang merancang tanpa etika di dalam merujuk penjagaan maqasid syariah.

Ilmu-ilmu ini tidak mungkin dimiliki oleh mereka yang semata-mata menadah telinga dan hafal ilmu tanpa mencernakan ilmu dan apa jua yang dipelajari dalam bentuk memikir dan praktikal.

Jelas kita lihat hari ini, berapa banyak hukum kontemporari yang terhasil hasil jangkaan ulama di masa silam seperti bayi tabung uji, percampuran nasab melalui susuan, zakat ke atas matawang zaman ini dan sebagainya.

Maka, fiqh tawaqqu' merupakan ilmu yang penting dan penguasaan ilmu ini ialah : -

- fiqhul khamsah
- maqasid syariah

- pemahaman konsep sad zarai'

- fiqh maalat : penelitian ke atas kesan dan hasil daripada hukum bagi sesuatu cabang hukum syariat

P/S : setelah diteliti dan perbincangan bersama-sama sahabat-sahabat BP yang lain, baru sedar bahawa terlalu banyak permata atau ilmu senjata semasa yang sudah ditinggalkan oleh mahasiswa Islam zaman sekarang.

Friday, June 25, 2010

Skop Maqasid Syariah Yang Perlu Diketahui


Dalam mendalami ilmu kefahaman maqasid syariah, keutamaan di dalam memahami 5 elemen yang telah saya sebutkan pada posting yang lepas amat penting sekali. Bahkan ia menjadi pengukur sebenar akan maslahat yang dicari-cari.. kadang kala ramai yang beralasan dengan maslahat akan tetapi ia hanya sekadar maslahat yang kecil sedangkan apa yang mesti dilakukan ialah maslahat yang besar. Itulah kekeliruan yang berlaku.

Bagi mereka yang memahami akan maqasid syariah, akal dan otak mereka pasti akan sentiasa berfikir di dalam memastikan setiap perkara dan urusan mereka mendatangkan maslahat dan menolak mudharat.

Hal ini demikian kerana hukum yang dikenakan mempunyai illat yang munasabah yang menepati objektif iaitu maslahat ke atas manusia itu sendiri. Cuma yang menjadikan manusia itu tamak haloba ialah mereka hanya memikirkan maslahat dalam jangka masa yang pendek dan segara tanpa melihat kepada maslahat di masa hadapan. Ingat, maslahat yang diberikan kadang-kadang segera dan kadang -kadang adalah kemudian. Apa point yang penting kesemuanya adalah untuk mendatangkan maslahat.

Ibnu Qayyim ada menyatakan bahawa hukum syariat yang diturunkan ialah semata-mata untuk maslahat manusia di dunia dan di akhirat.

Hal ini demikian, tuhan tidak berhajat kepada maslahat yang hasil daripada hukum tersebut. Akan tetapi maslahat itu ditetapkan oleh tuhan kepada hamba-Nya.

Namun bagaimana mahu memastikan sesuatu maslahat itu berdasarkan nas dan ia tidak bertentangan dengan nas? Ini yang menjadi persoalan utama di dalam menilai hukum atau nas yang ditetapkan di dalam mencapai maslahat yang diperkatakan.

Dr Yusof Al-Qardhawi menyatakan di dalam kitabnya bahawa garis panduan antara nas dan maslahat ialah :

- Apabila bertembung di antara maslahat yang zan (sangkaan) dengan nas yang zan (sangkaan pada pemahaman dalil) maka perlu didahukukan akan nas zan.

* sangkaan di atas bermakna masih boleh difahami secara takwilan dan ditafsir dengan kaedah-kedah yang dibolehkan.

* sekiranya disebut qathi / kepastiaan, maka hukum atau kefahaman adalah sebagaimana yang ditetapkan tanpa ada sebarang perubahan samada secara takwilan atau penafsiran yang lain.

- Apabila bertembung di antara maslahat yang pasti dengan nas yang zan khususnya zan / sangkaan pada pemahaman dalil, maka perlu ditafsirkan nas tersebut seiring dengan maslahat tersebut.

- Nas yang qathi (tidak ada penafsiran lain) pasti sekali-kali tidak akan bertembung dengan maslahat yang pasti, hal ini demikian kerana nas atau hukum adalah untuk maslahat manusia itu sendiri.

- Mana-mana maslahat yang bertentangan dengan nas yang ada adalah tidak benar, dan mesti didahulukan nas.

Sebagai contoh :

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya mesti menghentikan perlaksanaan hudud.

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya perkara tersebut menghalalkan arak.

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya menolak akan kewajipan berzakat.

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya menghalang poligami dan sistem mirath di antara lelaki dan wanita itu adalah zalim kerana ia bertentangan dengan nas qathi yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis.

Justeru, di dalam mengambil kira sesuatu keputusan yang dilakukan di dalam memastikan maslahat itu mesti lengkap padanya 3 ciri iaitu :

- maslahat tersebut tidak bertentangan dengan nas / syarak.
- maslahat tersebut adalah suatu qathi / kepastiaan bukannya sangkaan atau ragu-ragu.
- maslahat tersebut berbentuk umum yang melibatkan semua pihak mendapat hasil maslahat itu.

Saya kira sekadar ini skop yang asas di dalam menilai maslahat bagi kefahaman maqasid syariah. Beberapa peruntukan etika dan displin mesti dijaga. Dan kepentingan maqasid syariah ini sebagaimana yang telah saya nyatakan ia menjadi kunci utama di dalam menganalisa sesuatu perancangan atau isu semasa bagi menjamin maslahat tersebut.

P/S : ramai mahasiswa Islam kita yang hanya semata-mata apabila melakukan sesuatu urusan adalah untuk maslahat khusus iaitu bagi dirinya sahaja, dalam masa yang sama akan menyebabkan mudharat kepada umum. Ini adalah tidak tidak berdasarkan etika dan displin yang telah ditetapkan... sama-sama berfikir...

Saturday, June 19, 2010

Maqasid Syariah : Kunci Utama Di Dalam Menganalisa


Dalam posting yang lepas telah saya nyatakan beberapa kenyataan yang mengarut mengenai isu semasa oleh pihak tertentu yang tidak kuasai kefahaman maqasid syariah dengan tepat. Hasilnya kenyataan yang mengarut tersebut akan menyesatkan masyarakat yang umum.

Kepentingan maqasid syariah tidak dapat diungkapkan lagi apabila ia merupakan kunci utama bagi seorang yang alim dan para penganalisa di dalam mencorakkan ilmu asas yang ada bagi penjagaan maqasid syariah tersebut. Hal ini demikian, ada 2 pihak yang rosak ekoran kefahaman yang tidak tepat ke atas maqasid syariah iaitu :

- mereka yang hanya berpegang kepada zahir nas semata-mata tanpa melihat dan menganalisa mengapa sesuatu hukum itu diperuntukan.

- mereka yang hanya menganalisa berdasarkan had kemampuan akal mereka berfikir tanpa menghubungkaitkan dengan nas yang telah ditentukan dan disusun.

Hasilnya, keputusan yang dilakukan akan melanggar etika dan displin di dalam agama Islam itu sendiri.

Apa yang perlu diketahui, bahawa maqasid syariah ialah satu ilmu di dalam kita memahami penguasaan objektif dan sebab sesuatu hukum itu diperuntukkan dan begitu juga mengkaji rahsia-rahsia di dalam sesuatu ketentuan hukum berdasarkan hikmah dan munasabah perkara tersebut. Bahkan ia selari dengan kesepakatan para ulama bahawa tiada satu hukum pun yang diturunkan oleh Allah adalah sia-sia.

Justeru, setiap perkara ada maqasidnya iaitu objektif dan sebab. Cuma mungkin objektif dan sebab berikut samada jelas atau tidak, menyeluruh atau terperinci bergantung kepada hukum itu dalam konteks ibadah atau muamalat.

Sekiranya ia dalam konteks ibadah maka objektif itu adalah tidak dijelaskan secara terperinci bahkan tidak dapat dikecapi oleh akal secara mutlak. Hal ini demikian kerana konteks ibadah ialah ujian kepatuhan seorang hamba kepada Tuhan tanpa memikirkan apa objektif di sebalik itu secara terperinci.

Manakala dalam konteks muamalat, objektif bagi setiap hukum itu dapat dikecapi dan dinilai berdasarkan sebab dan objektif yang munasabah. Hal ini demikian ialah konteks muamalat ialah maslahat secara zahir dan jelas yang diperuntukkan ke atas hamba bagi kesenangan hidupnya.

Justeru, samada dalam konteks ibadah mahupun muamalat kedua-duanya mempunyai objektif dan sebab cuma samada secara terperinci atau secara rambang sahaja. Hal ini demikian sekiranya kesemua hukum itu boleh dikecapi secara mutlak oleh akal, maka hukum adalah berdasarkan akal semata-mata tanpa perlu merujuk kepada nas dalil yang diturunkan. Manakala sekiranya dalam konteks ibadah tidak ada objektif atau sebab ia akan menyebabkan sesuatu hukum itu sebagai sia-sia kerana tiada objektif. Justeru, konteks ibadah juga mempunyai objektif dan sebab cuma ia difahami secara rambang sahaja.

Sebab itu, kefahaman ke atas maqasid syariah mengajar manusia itu melihat kepada sebab dan objektif sesuatu hukum itu samada berdasarkan nas yang jelas atau melalui analisa dan perbandingan di antara cabang-cabang hukum di dalam mengenal pasti sebab ketetntuan sesuatu hukum tersebut. Tidak menafikan nas dan juga tidak menafikan sebab dan objektif sesuatu hukum itu ditentukan.

Secara umumnya ramai yang mengetahui dan bijak menuturkan maqasid syariah dari sudut dharuriyat khamsah sahaja. Namun itu bukanlah penguasaan sepenuhnya ke atas kefahaman maqasdi syariah. Hal ini demikian kerana maqasid syariah itu membincangkan sudut pembahagian maslahat itu sendiri iaitu :

- peringkat maslahat : dharuriyat, hajiyat dan tahsiniyat .

- status maslahat : yang harus, yang tidak harus dan yang berkecuali (tiada nas atau hukum ke atasnya samada harus atau tidak).

- konteks maslahat : samada umum atau cabang / khas

-ketentuan maslahat : yang asal atau hasil daripada maslahat asal.

- kepastian sesuatu maslahat : yakin, sangkaan atau ragu.

Kesemua ini adalah elemen atau pembahagian kefahaman di dalam maqasid syariah yang perlu dikuasai bagi memahami sesuatu situasi yang dianalisa sebelum membuat sebarang kenyataan. Sebab itu mereka yang hanya memahami dharuriyat khamsah masih belum menguasai maqasid syariah secara tidak kerana dharuriyat khamsah hanya sebahagian di dalam pembahagian peringkat maslahat sahaja. Sedangkan elemen yang lain masih dalam perbincanganya.

Justeru apabila penguasaan kita di dalam memahami maslahat ia terkandung sekali pemahaman ke atas mudharat walaupun saya tidak meletakkan nama mudharat di dalam pembahagian tadi. Sebab itu samada kita melakukan sesuatu perkara maslahat itu adalah bertujuan mendatangkan maslahat. Begitu juga sesuatu mudharat yang ditolak adalah untuk mendatangkan maslahat juga. Namun pengasingan antara maslahat dan mudharat adalah untuk lebih peka ketika sesuatu analisa itu dilakukan.

Fiqhul khamsah yang telah saya nyatakan secara asas sebelum ini adalah sebagai senjata atau teknik kita melakukan sesuatu perancangan berdasarkan maslahat dan mudharat. Namun bagi menganalisa maslahat dan mudharat itu sendiri, memerlukan kepada kefahaman maqasid syariah.

Dan untuk kali ini ini adalah sekadar pengenalan bagi kefahamana maqasid syariah mengenai apa yang dibincangkan. Selepas ini kita akan uraikan satu persatu elemen-elemen tersebut berdasarkan cara yang tepat.....

P/S : semoga segala perjalanan berjalan lancar.. amin ya Rabb...

Friday, June 18, 2010

Kenyataan Mengarut : Bukti Tidak Kuasai Maqasid Syariah


Banyak isu yang berlaku yang melibatkan perbincangan para ulama di dalam bertegas meletakkan pendirian bagi menjaga maslahat umum sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Selain itu, terdapat juga beberapa pihak yang mungkin mahu popular apabila sibuk menyatakan pandangan mereka yang boleh merosakkan kefahaman masyarakat umum.

Apa yang mahu saya perkatakan ialah kenyataan-kenyataan mengarut tersebut ekoran kelemahan mereka tidak menguasai maqasid syariah dengan tepat. Hanya sekali pandang, maka terus melontarkan pandangan berkenaan hukum. Pelik sedangkan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai maqasid tertentu.

Maka, Dr Yusof Al-Qardhawi mengatakan bahawa maqasid di dalam syariat Islam itu dapat dilihat melalui 2 perkara :

- merujuk dan mengkaji ke atas nas yang diturunkan mengapa hukum tersebut diturunkan.
- mengkaji cabang-cabang hukum dan menganalisa perbandingan cabang-cabang hukum tersebut di dalam mengeluarkan ketentuan sebab hukum diletakkan.

Justeru, di dalam apa jua isu yang berkaitan agama, hukum dan maslahat dunia ia perlu dilihat berdasarkan kefahaman maqasid syariah. Sebab itu, saya telah nyatakan di dalam posting sebelum ini, ramai yang mengaku faham apa itu maqasid syariah sedangkan mereka semata-mata hafal dharuriyat kahmsah tanpa penguasaan yang tepat.

Kita lihat, isu kalimah Allah para ulama berselisih pendapat di dalam penggunaannya. Namun apa perlu diketahui hukum adalah disepakati cuma apa yg diperselisihkan oleh para ulama ialah persetujuan menggunakan kalimah tersebut berdasarkan kefahaman konsep sad zarai' masing-masing. Lebih jelas lagi begini, mereka sepakat hukum penggunaan bagi kalimah Allah ke atas muslim ialah harus, namun berlaku perselishan ulama terhadap penggunaan tersebut ke atas non muslim kerana memikirkan penyelewengan yang bakal berlaku. Jelas bukan ...

Mengenai isu lesen judi sempena bola sepak dunia. Para ulama semua sepakat hukum tidak boleh, haram. Apabila hukum dah haram, maka tidak timbul permasalahan setuju atau tidak. Hal ini demikian kerana bila dah haram, maka tidak perlu diizinkan. Berbeza dengan hukum harus, maka setuju atau tidak bergantung kepada perbincangan berdasarkan penjagaan ke atas maqasid syariah.

Namun, pelik ada juga pihak yang cuba untuk mengharuskan lesen judi berdasarkan kaedah-kaedah yang tidak tepat seperti katanya konsep tadarruj sebagaimana pengharaman arak dan kaedah menggunakan dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat.

Saya rasa ramai pihak dah jelaskan begitu juga MANHAL PMRAM. Apa yang saya ingin katakan ialah bagaimana boleh keluarnya kenyataan mengarut daripada pihak terbabit? Ini disebabkan mereka tidak mahir di dalam urusan agama lebih-lebih lagi melibatkan kefahaman maqasid syariah.

Saya jawab sedikit berkenaan konsep tadarruj ke atas judi yang disamakan dengan arak. Saya jawab berdasarkan Fiqh Iqtisadi, bahawa qiyas atau persamaan yang dikatakan adalah tidak sama, kerana arak adalah tradisi gaya kehidupan yang menjadi adat, bukan pernigaan, akan tetapi judi berkonsepkan melibatkan untung atau rugi seakan-akan perniagaan. Justeru lihat di dalam perniagaan mana-mana yang melibatkan untung rugi atau unsur perniagaan, maka sekiranya ia haram maka terus diharamkan tanpa berperingkat. Lihat riba, maka tanpa berperingkat-peringkat haram terus adalah haram walaupun ketika itu masyarakat jahiliyah mengatakan riba adalah sebagaimana jual beli yang menjadi adat mereka.

Bagi kaedah menggunakan dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat ialah, pihak tersebut perlu memahami kaedah ini ialah apabila tiada jalan yang membawa ke arah maslahat. Maka sekiranya masih ada ruang ke arah maslahat, maka secara total mesti menolak dharurat samada besar atau kecil. Kerana kaedah mengatakan bahawa apabila bertembung maslahat dengan dharurat maka mesti tolak dharurat. Justeru, yang utama ialah menolak dharurat secara total. Bukannya memilih mana yang kecil atau besar. Isu judi juga bukan boleh dikategorikan sebagai maslahat di dalam dharuriyat khamsah yang mesti dijaga, yang mana tidak lakukan lesen judi tidak mendatangkan sebarang dharurat ke atas dharuriyat khamsah.

Ini adalah contoh isu semasa yang berlaku. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana ramai pihak yang telah menjelaskan kembali dan membidas kenyataan yang mengarut tersebut. Cuma apa yang ingin diketengahkan ialah inilah gambaran contoh apabila tidak menguasai maqasid syariah, hasilnya akan mengeluarkan kenyataan yang mengarut.

Dan akhirnya betapa penting kefahaman ke atas maqasid syariah kerana kesemua hukum dan syariat yang ditetapkan oleh Allah kesemuanya ada maqasid samada kita tahu tidak, kerana tidak ada suatu hukum yang diturunkan itu adalah sia-sia. Inilah yang disepakati oleh semua para ulama.

P/S : Kepada pihak yang tidak menguasai kefahaman maqasid syariah dengan jelas, diharapkan lebih baik diam daripada mengeluarkan kenyataan yang mengarut dan mungkin menyesatkan masyarakat umum... Serahkan sesuatu urusan itu kepada ahlinya...

tambahan : yang terbaru saya tahu, ada pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan yang mengarut berkaitan isu pengebom berani mati. Jelas pihak tersebut tidak memahami perbincangan ulama secara jelas dan maqasid syariah secara secara tepat.

Mahasiswa Islam Mesti Peka Isu Semasa, Kuasai Maqasid Syariah




Semalam ketika membaca salah satu surat khabar Malaysia, terasa agak kagum dengan perwatakan dan sikap yang ditunjukkan oleh 4 mahasiswa UKM yang dikenakan tindakan oleh pihak universiti atas tatatertib AUKU. Atas keberanian dan keyakinan mereka dengan status mahasiswa mereka, mereka berani bangkit membawa isu ini bersama-sama ke mahkamah bagi menyatakan ketidak setujuan mereka ke atas tindakan tatatertib yang dikenakan kepada mereka, bahkan membawa agar AUKU dibincangkan kerana sudah tidak relevan.

4 mahasiswa Islam tersebut - syabas diucapkan..

Saya kira, patutlah sebelum ini ramai yang mengkritik mahasiswa Islam di Mesir kerana tidak sama dengan mahasiswa Islam di Malaysia dari pelbagai sudut. Mungkin saya agak setuju berdasarkan situasai sekarang.

Sebelum ini saya sudah membicarakan panjang lebar berkenaan mahasiswa Islam, namun tidak pasti apakah hasilnya kelak. Nantikan selepas exam ini. Tunggu dan lihat bagaimana reaksi mahasiswa Islam selepas ini, adakah masih tidur dan selesa dengan keadaan mereka sekarang...

Sering berbincang dengan saudara Presiden, Shahrizan Hazime berkenaan mahasiswa Islam di Mesir dan maslahat. Pelik, di Mesir ilmu terlalu luas diperbincangkan namun peratusan yang dipraktikkan hanya beberapa peratus sahaja. Lebih-lebih lagi, mahasiswa Islam kini sudah meninggalkan ilmu senjata asas semasa seperti yang saya telah katakan sebelum ini antaranya fiqhul khamsah, maqasid syariah, siayasah politik dan sebagainya. Bahkan ilmu-ilmu ini sudah kurang mahasiswa Islam berbincang mengenainya. Sedangkan ilmu senjata asas semasa inilah yang sangat diperlukan apabila pulang berhadapan dengan situasi di Malaysia sekarang.

Ya, situasi di Mesir sangat selesa.. kita tidak berhadapan dengan gejala sosial yang terlalu teruk, tiada non-muslim dan tiada golongan selain golongan mahasiswa bahkan peratusan besar di sini adalah mengaji agama berbeza dengan di Malaysia. Kita di sini masih lagi 'berbalah' isu yang sudah selesai dan furu' seperti isu wahabi, isu thiqah yang diukur berdasarkan ke atas pemakaian, isu sah atau tidak solat apabila ada darah nyamuk dan sebagainya.

Saya tanya berapa ramai yang berbincang mengenai isu keterbukaan Islam kepada non-muslim di dalam sebaran dakwah, bagaimana islamisasi ke atas sektor-sektor yang besar di Malaysia, konsep tahaluf dan perpaduan di kalangan masyarakat yang pelbagai.

Saya teringat suatu kata-kata seorang akademik dari Malaysia katanya di dalam membawa suasana politik kita mesti bijak, bahkan rasulullah SAW sangat bijak di dalam politik. Politik adalah untuk mendapat kuasa di dalam menjayakan penyebaran Islam. Lihat bagaimana Erdogan ketika orang tanya kenapa di pejabat kerajaan Turki masih terdapat gambar Kamal At-Tartuk sedang Kamal At-Tartuk merupakan pengkhianat Islam yang menghancurkan khilfah suatu ketika dahulu. Kata beliau, pengaruh Kamal masih ada dan kita perlukan sistem berperingkat di dalam menjaga maslahat. Ya, pemikiran yang menjaga maqasid syariah.. Keadaan semasa perlu diambil nilai demi maslahat sekarang dalam masa yang sama merancang bagi maslahat yang besar di masa hadapan. Begitu juga Islam melarang mengutuk atau cela sembahan orang kafir dan meruntuhkan rumah ibadah mereka. Kesemua ini maslahat yang terdapat di dalam maqasid syariah.

Ramai yang berlagak memahami maqasid syariah sedangkan mereka hanya tahu menyebut dharuriyat khamsah sahaja. Adakah maqasid syariah sekadar itu? Banyak lagi kaedah dan ilmu di dalam maqasid syariah yang tidak ramai memahami dan tahu.. Bagaimana pelaksanaan mengkiut maqasid syariah dengan isu semasa sekarang perlu dibincangkan...

Mungkin ada masa saya akan menulis secara asas sebagaimana penulisan fiqhul khamsah... Namun, apa yang penting bagi mahasiswa Islam kuasai fiqhul khamsah terlebih dahulu sebagai permulaan asas.

P/S : Kelemahan penguasaan maqasid syariah menjadikan mahasiswa Islam tidak peka isu semasa dan tidak mahir mengkaji mengenai isu semasa yang berlaku. Mahasiswa Islam boleh mempelajari penguasaan ke atas isu semasa daripada BP Farkhan. Beliau seorang yang mahir dan sentiasa menganalisa isu semasa yang berlaku..

tambahan : ada yang minta dikaji fiqh tawaqqu', mungkin selepas selesai maqasid syariah saya akan tulis kerana hendak memahami fiqh tawaqqu' di antaranya mesti memahami maqasid syariah.. doa-doakan...

Wednesday, June 16, 2010

Fiqh Iqtisadi : Mahasiswa Islam Masih Kurang Cakna


Ilmu kewangan Islam atau kita panggil sebagai Fiqh Iqtisadi jarang dikuasai oleh mahasiswa Islam itu sendiri menyebabkan pengurusan kewangan di sesebuah negara menjadi agak susah untuk dipraktikkan bersistemkan Islam secara total. Hal ini dapat dilihat apabila Panel Syariah di peringkat negara kita masih kurang bahkan masih susah mencapai kata sepakat di dalam membawa sistem yang lebih baik disebabkan tidak ramai yang betul-betul kemahiran dalam bidang tersebut.

Asas bagi Fiqh Iqtisadi ialah penguasaan ke atas bidang muamalat. Namun penguasaan bidang muamalat tanpa diglobalkan kepada isu, permasalahan dan kontrak yang baru, menyebabkan pemahaman di dalam menjalankan sesuatu sistem ekonomi di zaman sekarang semakin payah.

Apa point utama yang penting ialah, kajian secara rawak menunjukkan tidak ramai mahasiswa Islam kita yang meminati dan mempelajari bab kewangan Islam. Lihat berapa ramai yang agak menggeleng kepala apabila berhadapan dengan tajuk perbahasan mengenai kewangan dan ekonomi seperti insuran, kontrak belian dengan harga bertempoh, bon , saham dan sebagainya. Bahkan penguasaan asas di dalam bab muamalat juga masih ramai yang tidak mampu menguasai dengan baik.

Situasi begini adalah kurang enak untuk didengari kerana di dalam era sekarang, khususnya negara kita pembangunan bank dan pengembangan sistem kewangan semakin baik ke arah sistem kewangan dan ekonomi Islam, namun bilangan pakar-pakar masih tidak memadai. Kita lihat dan bilang sendiri, mahasiswa Islam dari Mesir sahaja masih boleh dibilang mereka yang terlibat di dalam panel syariah ini. Bahkan pakar-pakar ekonomi Islam masih tidak menonjolkan mahasiswa Islam dari Mesir. Ini akan menyebabkan kebimbangan di masa hadapan di dalam memastikan penjagaan ekonomi secara bersistemkan Islam.

Di dalam Fiqh Iqtisadi beberapa point perlu diberikan penekanan yang amat iaitu :
- penguasaan ke atas bab muamalat - ilmu asas dan turath -.
- mengenal pasti pembahagian jenis kontrak di dalam ekonomi.
- kaedah asas bagi muamalat.
- syarat ke atas kontrak : sah atau tidak.
- maqasid iqtisadi
- kajian ke atas perbahasan ulama mengenai masalah kewangan dan ekonomi kontemporari
- Konsep status amanah dan jaminan

Ke semua bahagiantersebut merupakan perkara utama dan pengenalan di dalam kita mengetahui dan meletakkan hukum-hukum yang berkaitan dengan kontrak kewangan terutama yang melibatkan masalah kontemporari.

Di samping itu, pengajian secara talaqqi mengenai Fiqh Iqtisadi masih kurang dan tidak diperbesarkan, mahasiswa Islam perlu mencari dan membuat alternatif di dalam menguasai Fiqh Iqtisadi kerana ilmu berkaitan ekonomi sangat penting di dalam mentadbir negara yang berkonsepkan Islam.

Lihat sahaja penyusunan para fuqaha mengenai fiqh, selepas bab ibadat, diletakkan bab muamalat menunjukkan ekonomi adalah amat penting. Justeru kelemahan penglibatan mahasiswa Islam di dalam menguasai Fiqh Iqtisadi ini akan menyebabkan sistem Islam kucar kacir dan sistem kewangan menjadi rosak.

Saidina Umar RA pernah memesan bahawa : Tidak harus (layak) bagi seseorang untuk berurus niaga di pasar kami (di Madinah) melainkan mereka yang memahami hukum hakam agama (khusus berkaitan ekonomi dan kewangan), sekiranya tidak ada pasti akan berlaku riba secara rela atau paksa.

Menunjukkan betapa pentingnya mesti ada pakar yang berkaitan ekonomi bagi menjamin pengaliran kewangan secara islamik. Sekiranya tiada, maka Saidina Umar RA mengatakan pasti akan berlaku riba. Mengapa riba ? sebab riba merupakan di antara dosa besar bahkan riba seolah-olah mencabar dan isytihar perang kepada Allah dan rasul-Nya.

Seorang ulama dan pakar ekonomi Islam ada menyebutkan bahawa selagimana wujudnya riba maka selagi itulah dunia akan mengalami masalah krisis ekonomi!

Justeru, untuk pengenalan awal, saya telah menerangkan beberapa point yang utama untuk dikuasai dan artikel yang lepas telah dibincangkan mengenai hukum kontrak 'Inah. Ternyata masih ramai lagi yang masih tidak mengetahui akan perkara itu. Maka. ingatlah bahawa mahasiswa Islam di Mesir masih telalu kurang mereka yang pakar di dalam hukum ekonomi Islam walaupun ramai yang reti mencari kewangan. Namun, permasalahan-permasalahan ekonomi di Malaysia memerlukan pakar-pakar yang mencukupi.

P/S : Sekarang ini, mahu mencari tenaga pengajar yang mahir bab ekonomi amat payah. Fikirkan bagi masa akan datang...

Tuesday, June 15, 2010

Hukum Bagi Kontrak 'inah (العينة)



Takrif 'inah (العينة) :

'inah (العينة) ialah kontrak jual beli yang melibatkan 2 pihak sahaja iaitu penjual menjual sebuah barangan dalam keadaan bayaran bertempoh (hutang) kepada pembeli kemudian penjual tadi membeli kembali barangan tersebut daripada pembeli asal dengan harga yang lebih murah dengan bayaran tunai.

Contoh situasi : Ali menjual sebuah kereta kepada Ahmad dengan bayaran bertempoh berharga RM 50 ribu. Kemudian Ali membeli kembali kereta tersebut daripada Ahmad dengan bayaran tunai berharga RM 30 ribu.

Hasilnya Ali menerima faedah daripada kontark 'inah (العينة) ini dengan memiliki kereta asalnya beserta tambahan RM 20 ribu hutangnya daripada Ahmad.

Justeru, mengenai kontrak 'inah (العينة) ini, para fuqaha' berselisih pendapat kepada 2 pendapat :

Pendapat 1 : Harus kontrak 'inah (العينة) ini, berdasarkan dalil- dalil tersebut.

Dalil yang pertama : Mafhum daripada firman Allah SWT :

" Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba " - Surah Al-Baqarah : 275

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan umum bagi hukum harus ke atas jual beli yang dijalankan. Maka selagimana tidak dinyatakan dalil / nas yang menunjukkan akan pengharaman sesuatu kontrak, maka hukumnya adalah harus. Dan kontrak 'inah (العينة) merupaKan salah satu jenis jual beli yang dinyatakan di dalam ayat tersebut.

Hujah ini dikritik, bahawa walaupun ayat Al-Quran yang dinyatakan itu umum akan tetapi terdapat dalil yang khusus ke atas kontrak 'inah (العينة) yang menyatakan bahawa ia adalah diharamkan. Justeru, kontrak 'inah (العينة) terkeluar daripada konteks ayat yang dinyatakan tadi.

Dalil yang kedua : Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa rasulullah SAW mengupah seorang lelaki ke Khaibar. Apabila pulang lelaki tadi membawa 1 bungkusan tamar daripada jenis yang elok dengan belian bayaran 2 bungkus tamar yang kurang elok. Lalu rasulullah SAW menegah perbuatan tersebut lalu baginda bersabda : "Jual 2 bungkus tamar yang kurang elok ini dengan harga tertentu. Kemudian hasil jualan tadi belilah akan bungkusan tamar yang elok tadi ". - (Sahih Muslim 1593) dan (Sunan An-Nasai 4553)

Berdasarkan hadis di atas bahawa rasulullah SAW menyuruh lelaki tersebut membeli bungkusan tamar yang elok tadi hasil daripada jualannya, iaitu suruhan tersebut berbentuk umum dan tidak diperincikan samada membeli bungkusan tamar yang elok daripada pihak pembeli 2 bungkusan tamar yang kurang elok atau pihak yang lain. Justeru, ia adalah sebagaimana kontrak 'inah (العينة), iaitu penjual membeli semula barangan yang dibeli daripada pembeli asal.

Hujah ini dikritik bahawa, hadis tersebut bukanlah menggambarkan secara umum akan suruhan membeli samada daripada pembeli asal atau pihak yang lain. Akan tetapi dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa bagaimana rasulullah SAW mengajar para sabahat bagaimana mengelak daripada berlaku riba, kerana kelakukan lelaki tadi dengan membeli 1 bungkusan tamar dengan bayaran 2 bungkusan tamar merupakan jual beli yang mengandungi unsur riba.

Kemudian, bahawa hadis ini walaupun menggambarkan secara umum, ia tidak memberikan faedah di dalam menetapkan hukum harus bagi kontrak 'inah (العينة) kerana terdapat dalil / nas yang mengharamkannya.

Dalil yang ketiga : berdasarkan kaedah menjual barangan secara bertempoh (hutang) dengan harga RM 10 kemudian membeli barangan tersebut kembali dengan harga tunai RM 20 atau dengan harga yang sama iaitu RM 10, maka ini sepakat para fuaqah akan hukumnya adalah harus. Justeru, begitu juga apabila kita menjual dengan harga bertempoh (hutang) seperti RM 20 kemudian membelinya kembali dengan harga tunai yang lebih rendah daripada harga asal seperti RM 10. Tiada beza di antara kedua-duanya.

Hujah ini dikritik, bahawa qiyas yang dikenakan ke atas 2 situasi tersebut adalah berbeza. Jelas sepakat para fuqaha bahawa membeli kembali barangan yang dijual dengan harga yang sama atau lebih tiggi kerana tiada wujud unsur riba. Akan tetapi kontrak 'inah (العينة) yang membeli kembali barangan yang dijual dengan harga yang lebih rendah, terdapat unsur yang meragukan yang membawa kepada unsur riba.

Pendapat 2 : Haram kontrak 'inah (العينة), berdasarkan dalil-dalil tersebut.

Dalil yang pertama : Riwayat daripada Aisyah RA bahawa : Seorang itu telah bertanya kepada Aisyah RA : sesungguhnya aku telah menjual hamba lelaki milik Zaid bin Arqam kepada 'Ato dengan harga 800 dinar secara bertangguh kemudian aku membelinya semula dengan harga 600 dinar secara tunai. Lalu Aisyah RA berkata : buruk sekali jual beli yang dilakukan. Khabarkan kepada Zaid bahawa jual beli yang dilakukannya tadi ('inah (العينة)) telah membatalkan pahala jihadnya bersama rasulullah SAW kecuali ia bertaubat. - (riwayat Darqutni dan Al-Baihaqi).

Berdasarkan hadis di atas bahawa Aisyah RA tidak akan mengatakan bahawa terbatal pahala jihad Zaid selepas mendengar jual beli yang dijalankan. Justeru, Aisyah tidak akan mengatakan begitu ia telah mengetahui akan haram dan keji jual beli berbentuk 'inah (العينة) melainkan berdasarkan nas / dalil daripada rasulullah SAW.

Dalil yang kedua : Nabi SAW bersabda :

إذا تبايعتم بالعينة وأخذتم أذناب البقر ورضيتم بالزرع وتركتم الجهاد سلط الله عليكم ذلا لا ينزعه حتى ترجعوا إلى دينكم

maksudnya : Apabila kamu berjual beli secara 'inah (العينة) dan kamu mula lebih reda dengan periagaan dan cucuk tanaman sehingga meninggalkan jihad, lalu Allah akan menimpakan ke atasmu kehinaan dan tidak akan mencabutnya daripadamu sehinggalah kamu kembali kepada (mengutamakan hukum) agamamu (berbanding helah riba dan kecintaan kepada harta). - riwayat Abu Daud.

Dalil yang ketiga : Sesungguhnya Allah mengharamkan riba dan dalil berkenaan riba itu haram jelas dan qat'ie. Adapan kontrak 'inah (العينة) itu merupakan bahawa wasilah atau helah kepada riba. Justeru setiap wasilah atau helah kepada perkara yang haram maka ia adalah haram. Konteks riba yang berlaku di dalam kontrak 'inah (العينة) ialah bahawa kedua-dua pihak yang meterai kontrak 'inah (العينة) bukanlah berkeinginan kepada barangan jualan akan tetapi kehendak sebenar ialah pada wang. Gambaran ialah penjual memberikan pinjaman kepada pembeli dan pembeli akan membayar hutang tersebut dengan penjual mendapat faedah (iaitu barangan yang dijual). Maka ia adalah diharamkan.

Dalil yang keempat : bahawa dalil daripada para sahabat yang mengatakan bahawa kontrak 'inah (العينة) ini adalah haram. Antaranya ialah Ibnu Abbas RA. Suatu ketika beliau ditanya oleh seorang berkenaan lelaki yang menjual sutera dengan harga 100 (dirham) kemudian membelinya semula dengan harga 50 (dirham). Lalu Ibnu Abbas RA berkata : ia adalah jual beli dirham dengan dirham dalam keadaan tidak sama kuantiti. Bahkan termasuk padanya faedah sutera tersebut.

Berdasarkan dalil di atas bahawa gambaran kontrak 'inah (العينة) ini digambarkan oleh Ibnu Abbas RA dengan gambaran jual beli yang mempunyai unsur riba.

Penutup : -

Berdasarkan perbincangan yang telah dinyatakan tadi,maka hasil yang diberikan oleh para fuqaha bahawa pendapat yang rajih bagi kontrak 'inah (العينة) adalah haram. Dan pendapat ialah yang diguna pakai oleh Kesatuan Fiqh Antarabangsa, Majlis Syariah Majlis Perakaunan dan Kewangan Islam (AAOIFI) serta hampir keseluruhan Majlis Penasihat Syariah bank-bank Islam melainkan Malaysia dan Brunei.

Bagi konteks kontrak 'inah (العينة) di peringkat bank Malaysia, Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia mengambil pendapat yang mengharuskan kontrak 'inah (العينة) berdasarkan dalil-dalil pengharusan yang dinyatakan tadi. Bahkan kerana kontrak 'inah (العينة) ini sudah guna pakai di peringkat Malaysia dengan begitu meluas oleh perbankan Islam di Malaysia.

Saturday, June 12, 2010

Fiqh Nusus : Langkah Pertama Menguasai Fiqhul Khamsah




Dalam posting sebelum ini, saya dah bentangkan 4 elemen di dalam fiqhul khamsah iaitu :

1- fiqh muwazanat - pertimbangan di dalam menilai antara 2 maslahat, 2 mudharat atau di antara keduanya.

2- fiqh awlawiyat - penyusunan tertib bagi yang mana perlu didahulukan dan yang patut diakhirkan.

3- fiqh waqi' - perkiraan isu semasa di dalam menentukan suatu penyusuanan tertib.

4- fiqh taghyir - kajian suatu perubahan yang berlaku bagi menjaga kualiti perancangan.

Maka, tinggal satu elemen sahaja iaitu fiqh nusus yang merupakan elemen awal bagi memastikan seseorang menguasai fiqhul khamsah yang baik.

Fiqh nusus merupakan langkah pertama, sekiranya elemen ini tidak dikuasai dengan baik, maka elemen-elemen lain di dalam fiqhul khamsah akan berterabur dan tidak dapat dikuasai dengan sempurna.

Apa itu fiqh nusus?

Fiqh nusus merupakan pemahaman di dalam penguasaan ke atas nas-nas yang ada di dalam kita untuk mengetahui mana satu yang thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah) bagi menentukan perancangan seuatu maslahat dijalankan.

Justeru, thawabit (tetap) tidak dipertikaikan bahkan susunan telah diaturkan dengan tetap. Apa yang penting melaksanakan menurut peraturan yang tersedia ada.

Manakala yang menjadi perbincangan di dalam fiqhul khamsah dalam merancang sesuatu maslahat ialah ke atas mutaghaiyirat (berubah). Makna fiqh muwazanat, fiqh awlawiyat, fiqh waqi' dan fiqh taghyir adalah suatu kaedah yang diperuntukan bagi mengkaji dan mengukur bagaimana menjamin dan merancang sesuatu maslahat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak dan menolak mudharat sebagaimana yang disuruh oleh syarak.

Sebab itu di dalam kalangan manusia ada 3 jenis sahaja berdasarkan tahap pemahaman ke atas fiqh nusus ini :

1- golongan yang hanya melihat pada zahir nas sahaja. tiada ruang perbincangan di dalam peruntukan merancang sesuatu maslahat.

2- golongan yang tidak berpegang kepada etika nas, bahkan semua nas samada thawabit (tetap) atau mutaghaiyirat (berubah) adalah ditentukan melalui fighul khamsah dalam menyusun sesuatu maslahat.

3- golongan yang tepat di dalam melaksanakan sesuatu nas, iaitu menuruti perancangan percaturan yang telah disusun bagi thawabit (tetap), dan merancang menyusun maslahat ke atas mutaghaiyirat (berubah).

Golongan pertama dan kedua adalah golongan yang salah di dalam perkiraan melaksanakan sesuatu nas ekoran penguasaan fiqh nusus yang salah. Maka apa yang ditekankan di dalam fiqh nusus ialah :

- pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah)
- penekanan perlaksaan syariat dahulu diikuti maslahat.
- setiap syariat yang diperuntukkan adalah maslahat kepada manusia samada segera atau kemudian.
- apa yang diperuntukkan di dalam syariat adalah untuk kemudahan dan mengangkat kesusahan.

Kesemua ini merupakan garis panduan ke atas 4 elemen di dalam fiqhul khamsah. Sekiranya lemah di dalam menguasai perkara-perkara di dalam fiqh nusus akan menyebabkan seseorang tersebut tidak mahir di dalam mempraktikkan fiqhul khamsah dengan baik. Apa yang penting mahasiswa Islam mesti mampu membezakan di antara pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah). Hal ini demikian kekalutan yang berlaku adalah disebabkan kekeliruan di dalam mengenal pasti mana satu pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah). Dan akhirnya penyusunan sesuatu maslahat dilakukan sesuka hati walaupun ke atas perkara thawabit (tetap).

Cuma di dalam posting ini, penjelasan secara panjang lebar mengenai pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah) tidak akan dihuraikan di sini.

Apa yang penting lagi mengenai fiqhul khamsah ini ialah langkah pertama menguasai secara penuh akan fiqh nusus barulah layak memahami 4 elemen yang lain. Dan setiap elemen di dalam fiqhul khamsah mempunyai peranan yang tertentu yang khas namun terikat dengan elemen-elemen yang lain bagi menjamin kaedah yang terbaik dirancang.

Maka selain fiqhul khamsah ini, mahasiswa Islam perlu menguasai beberapa ilmu senjata semasa yang asas di dalam menjadikan diri jelas di dalam membawa amanah Allah yang syumul, iaitu :

- maqasid syariah
- qawaid fiqhiyah
- kajian ke atas nas samada qat'ie atau zanni dari sudut thubut atau dilalah.
- peka mengenai isu semasa dan uruf
- penguasaan sistem azimah dan rukhsoh
- fiqh khilaf dan iktilaf
- ilmu Siasah Syar'iyah


Kesemua ilmu senjata asas ini termasuk fiqhul khamsah merupakan permata yang semakin ditinggalkan pleh mahasiswa Islam. Sedangkan tanpa penguasaan ilmu ini mahasiswa Islam tidak mampu berhadapan dengan mempraktikkan ilmu agama secara global dan semasa dengan baik. Hasilnya bertembung sesama sendiri dan meyebabkan perpecahan.

Apa yang penting, mahasiswa Islam perlu menguasai kesemua ilmu ini walaupun secara asas sebelum pulang bagi menjamin kualiti yang hebat. Tanpa penguasaan ilmu tersebut, tidak layak untuk berbicara mengenai hak, maruah, maslahat, mudharat dan perancangan yang hebat.

P/S : edisi fiqhul khamsah dah abes... semoga sama-sama dapat manfaat. Kalau ada nak penerangan lanjut terus tanya Presiden, Saudara Shahrizan dan BP Adlan. :)

tambahan : ada yang mintak tulis pasal fiqh cinta pulak...huhu...Unit Bait Muslim lagi layak :p

Friday, June 11, 2010

Fiqh Taghyir Bukti Kehebatan Seorang Pemikir

Antara fiqhul khamsah yang penting juga ialah elemen fiqh taghyir iaitu pemahaman bagi penguasaan terhadap situasi yang berubah. Senang diertikan sebagai pemahaman dalam menguasai situasi bagi up to date. Fiqh taghyir menjamin seorang pemikir di dalam rancangan sentiasa segar dan menepati situasi semasa di dalam mendatangkan maslahat dan menjauhi mudharat.

Sebelum ini fiqh waqi memastikan seseorang pemikir atau perancangan mengambil kira situasi sekarang yang berlaku. Namun tanpa Fiqh taghyir akan menyebabkan seorang pemikir terkontang-kanting di dalam menilai perubahan semasa yang berlaku. Pertimbangan, penyusunan dan pemahaman situasi semasa adalah bergantung ke atas penguasaan seseorang pemikir di dalam mengkaji aspek-aspek perubahan yang berlaku iaitu penguasaan ke atas Fiqh taghyir.

Mengapa situasi sekarang begini dan apakah aspek penting perubahan yang berlaku daripada sebelum ini mesti diambil kira bagi menentukan maslahat dan mudharat. Justeru, perubahan zaman, tempat, individu, dan masyarakat memainkan peranan yang penting bagi menentukan sesuatu perancangan dilakukan. Maka, pemikir mesti mengkaji adakah sesuatu maslahat ketika dahulu yang dikatakan umum juga adalah masih berbentuk umum dengan situasi sekarang berdasarkan penilaian perubahan yang berlaku.

Fiqh taghyir menekankan beberapa unsur yang penting iaitu :

- menjaga dharuriyat khamsah.

iaitu berdasarkan maratib maslahat, yang tidak berubah adalah dharuriyat khamsah iaitu penjagaan ke atas agama, nyawa, harta, jiwa dan maruah. Walau apa pun perubahan yang berlaku, penjagaan ke atas lima perkara ini adalah paling penting dan tidak boleh dinafikan dengan alasan perubahan semasa.

- berdasarkan kaedah : Akhaf dhararain - melaksanakan mudharat yang paling kecil.

perubahan yang berlaku menyebabkan susunan maslahat dan mudharat akan turut berubah. Namun kaedah awal yang mesti digariskan ialah menolak secara total mudharat yang berlaku. Sekiranya tidak mungkin, pastikan hanya mudharat yang kecil sahaja dan sentiasa berusaha menolak mudharat secara total.

- menjaga ketetapan tadarruj : berperingkat

Situasi yang berubah memberikan ruangan yang berperingkat dan beransur-ansur. Ini perlu difahami dengan jelas bahawa berperingkat adalah faktor utama di dalam perubahan yang berlaku dan peringkatan tersebut adalah bagi membawa maslahat secara total dan mengetepikan mudharat. Justeru, tidak dinamakan berperingkat sekiranya perubahan yang berlaku langsung tidak ada pembinaan kekuatan bagi mendatangkan kemaslahatan di masa hadapan dan menjaga maslahat di masa sekarang.

Seorang pemikir atau pemimpin yang hebat akan menetapkan sesuatu keputusan yang up to date berdasarkan perubahan sekitar yang berlaku. Kehebatan ini tidak mungkin dapat diserlahkan tanpa penguasaan ke atas Fiqh taghyir ini. Justeru, apa yang perlu difahami ialah up to date bukanlah diukur dengan gempak atau dahsyatnya secara zahir namun up to date ialah keputusan atau perancangan yang dilakukan tepat dan sesuai dengan situasi pada masa tersebut. Bahkan tidak salah keputusan yang dilakukan kadang kala menggunakan keputusan yang lama kerana ia bergantung kepada situasi yang berlaku.

Justeru, situasi yang beralasankan menjaga maslahat perlu mengambil kira 3 unsur tadi di samping penguasaan ke atas kesemua fiqhul khamsah.

Ramai yang terkeliru di dalam mengatakan menjaga maslahat sedangkan perkara tersebut bukanlah sebagaimana yang didakwa. Antara contoh situasi yang seringkali saya ucapkan ialah kebimbangan dan kebaculan seseorang dengan alasan akan disekat kewangan dan dihalau tempat kediaman sehinggakan tiada suara atau tindakan di dalam mempertahankan maruah. Situasi begini tidak boleh dijadikan hujah kerana telah saya katakan tidak ada lagi satu rekod bahawa mereka yang berjuang di jalan Allah yang mati kebuluran disekat kewangan dan dihalau daripada tempat kediaman. Bahkan maruah dan hak adalah kewajipan yang mesti dipertahankan.

Lihat bagaimana peristiwa Bai'atul Riduan yang menyaksikan ketika itu rasulullah SAW bersama rombongan mahu ke Mekah dan diutuskan Saidina Uthman sebagai wakil bagi membincangkan perkara tersebut bersama pembesar Mekah. Lalu disebarkan berita palu bahawa Saidina Uthman dibunuh. Lantas rasulullah SAW menyuruh kaum muslimin bangkit untuk berperang. Hal ini demikian kerana berita palsu tersebut menandakan wakil utusan yang dibunuh bagi sesuatu kaum adalah hak kaum tersebut telah dicabuli. Sedangkan wakil bagi setiap utusan adalah dijaga hak keselamatannya.


Penekanan terhadap fikrah yang jelas yang dibawa oleh PMRAM adalah sangat tepat dan up to date berdasarkan situasi semasa. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku mencerminkan fikrah mahasiswa Islam semakin celaru dan kabur. Sebelum ini telah saya nyatakan beberapa situasi yang mempersoalkan keberanian mahasiswa, dan ternyata menunjukkan suara mahasiswa Islam masih tidak ada.

Apa yang penting dalam situasi perubahan secara berperingkat mestilah menjaga dua perkara utama iaitu :

- menjaga maslahat umum semasa
- membina kekuatan bagi mendatangkan maslahat di masa hadapan

Sekiranya salah satu daripada 2 perkara tersebut tiada maka tidak ada alasan bahawa itu adalah tadarruj dan maslahat semasa yang perlu dijaga. Sebab itu alasan lapuk membuang logo yang menjadi imej jati diri semata-mata untuk meraih material adalah tidak betul kerana apa rancangan membina kekuatan di dalam mendatangkan maslahat di masa hadapan?

Justeru, penguasaan Fiqh taghyir adalah sangat penting di dalam kita memahami sirah baginda SAW di dalam setiap strategi baginda SAW. Mengapa baginda membuang kalimah rasulullah di dalam surat yang dihantar? mengapa baginda tidak mengenakan hudud qazaf ke atas Abdullah bin Ubai bin Salul? mengapa baginda membakar masjid dhirar? dan banyak lagi perancangan yang jika tidak menguasai Fiqh taghyir dengan baik akan menyebabkan kita melakukan rancangan yang salah dengan 1001 alasan.

Hasilnya, fiqh taghyir mempunyai kaitan rapat dengan fiqh waqi' kerana menilai situasi semasa adalah berdasarkan perubahan yang berlaku. Maka benarlah kalam hikmah mengatakan : sesiapa yang tidak menguasai sejarah maka tidak akan mencipta sejarah. Justeru penggabungan idea pejuang senior dan pejuang junior adalah sangat penting di dalam mencetuskan keputusan yang terbaik.

P/S : saranan saya ialah Mahasiswa Islam mesti membaca/ berdiskusi / berbincang akan buku karangan Dr Yusof Al-Qardhawi yang bertajuk Siasah Syar'iyah. Kalau nak mintak Penasihat PMRAM, Ust Khairul Anuar atau Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan atau Naib Pres 1, BP Adlan diskusikan pun lagi bagus. Kerana mereka memang pakar. :)

Isu Gejala Sosial Di Malaysia Amat Membimbangkan


KAHERAH, 10 Jun - Menurut laporan yang disiarkan di dalam link Malaysiakini.com, statistik pengidap HIV/ AIDS di Malaysia yang terbaru, seramai 72 peratus adalah di kalangan melayu Islam. Hal ini sangat memalukan negara Malaysia yang berstatuskan negara Islam apabila statistik yang diberikan menunjukkan betapa rosaknya akhlak umat Islam di Malaysia pada hari ini. Bahkan isu pengidap HIV yang mempunyai kaitan dengan zina bagaikan menjadi santapan harian bagi pembaca surat khabar apabila boleh dikatakan setiap hari pasti adanya berita berkaitan jenayah zina.

Yang terbaru, pada 9 Jun, di Kulim sepasang kekasih ditangkah oleh pihak Jabatan agama di rumah kongsi ketika sedang melakukan kegiatan yang terkutuk tersebut. Apa yang lebih memalukan kedua-dua pasangan tersebut adalah melayu Islam, dan wanita tersebut masih sangat muda iaitu berumur 17 tahun. Malah menurut laporan wanita tersebut baru sahaja mengenali lelaki yang bersama dengannya itu selama 20 hari sahaja.

"Gejala sosial yang melanda di negara kita (Malaysia) sangat membimbangkan. Hal ini boleh dilihat apabila statistik laporan saban tahun semakin meningkat samada dari sudut pengidap HIV, jenayah zina, kes buang bayi, kes bersedudukan bukan mahram, minum arak, judi dan sebagainya. Apa yang lebih memalukan ialah apabila statistik yang diberikan menunjukkan kaum melayu Islam berada di tangga teratas." - ulas Naib Presiden 1, Saudara Adlan Mokhtaruddin.

3 hari yang lepas juga, kita dikejutkan dengan berita yang memalukan apabila 16 gadis di negeri Terengganu dilaporkan melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Selain itu, berita kes buang bayi semakin parah bahkan terdapat laporan akhbar bahawa ada adik beradik kepada penzina sanggup bersubahat di dalam menggugurkan kandungan dan di tanam hidup-hidup.

"Akhlak dan pemikiran umat Islam terutama remaja kian parah. Kes harian yang terpampang di dada akhbar menunjukkan betapa teruknya umat Islam yang hanya semata-mata berstatuskan Islam namun tiada penghayatan yang dilakukan." - tegas Saudara Adlan Mokhtaruddin.

"Kita selaku mahasiswa Islam di Mesir turut tidak terlepas pandang isu semasa yang berlaku di Malaysia bahkan kita turut menginsafi apa yang telah terjadi. Kita mohon semua pihak samada kerajaan, ibu bapa, pendidik, dan semua pihak agar memandang isu ini perkara yang serius. Dan kita sarankan kepada kerajaan agar memperbanyakkan kegiatan-kegiatan dakwah di dalam memulihkan kembali akhlah umat Islam yang telah barah ini." - saranan beliau ketika ditanya mengenai isu gejala sosial semasa.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAm, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman berkata bahawa isu gejala sosial yang berlaku di Malaysia merupakan satu cabaran besar bagi mahasiswa Islam apabila pulang ke tanah air nanti.

"Kita mengharapkan mahasiswa Islam semua peka dan sensitif ke atas setiap kes yang berlaku. Bahkan kita tidak mahu kes-kes yang sama turut berlaku di kalangan kita di Mesir ini. Mahasiswa Islam mesti tahu apa peranan dan tanggungjawab mereka di dalam menangani isu gejala sosial ini." - ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa Unit Hisbah dan Unit Biah Solehah di bawah kelolaan Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM sangat penting bagi mencegah gejala sosial yang berlaku di samping menjamin suasana yang baik di kalangan mahasiswa semua.

"Kita berasa dukacika terhadap isu gejala sosial yangb telah berlaku ini. Dan mahasiswa jangan hanya asyik dan leka dengan keselesaan di tempat mereka sekarang tanpa memikirkan masalah umat Islam yang kian parah ini." - tambah beliau lagi.

sumber : www.pmram.org

Wednesday, June 9, 2010

Berani : Itu Gaya Mahasiswa Islam




Isu mahasiswa mandom, bacul dan sebagainya mungkin tidak akan timbul sekiranya mahasiswa Islam tersebut berani. Berani di dalam memikul amanah agama. Namun keberanian itulah yang masih kita mencari. Keberanian Erdogan di dalam mengecam dan mencabar rejim zionis Israel. Keberanian Mahmoud Ahmadinejad di dalam mencabar perundangan diktator dunia di dalam menjana tenaga nuklear demi kepentingan Islam sejagat.

Kini keberanian sebegitu belum timbul di kalangan mahasiswa Islam kita. Rata-rata kita lihat masih menjaga rice cooker sendiri berbanding sanggup mempertaruhkan perjuangan kesatuan yang ada di bawah PMRAM.

Isu sahabat kita dituduh menyalahguna kuasa safarah, berapa ramai yang bangkit menegur dan membidas kembali kenyataan yang kurang sopan yang dikeluarkan oleh pihak pendakwa. Hanya satu atau 2 pihak sahaja. Yang lain, selepas didesak baru, kecok sekampung. Kesedaran masih kurang di kalangan mahasiswa Islam walaupun hebat di dalam memberikan fatwa dan hukum permasalahan.

Di sini biar saya nyatakan peristiwa yang berlaku bagi mempertikaikan keberanian mahasiswa Islam :

1- Johor difitnah seramai 90 % ahli mereka adalah pembangkang. Berapa ramai yang bersuara bersama Johor?
2- Pengerusi Tanta difitnah salah guna kuasa. Tidak ramai yang membidas kenyataan si pihak pendakwa.
3- Kelantan dan PMRAM diharamkan di dalam ARMA. Tidak seorang pun yang bangun mempersoalkan.
4- Hak PMRAM di ARMA. Berapa ramai yang bangkit menaikkan sensiviti tersebut?
5- Isu layanan kurang sopan dan diherdik. Berapa ramai yang berani menjadi saksi keterangan?
6- Borang aduan hak mahasiswa. Sehingga masih belum ada yang hantar.
7- Isu mahasiswa dihina kemiskinan. Tiada suara yang lantang membela.
8- Masalaha gejala sosial. Siapa yang berani menegur ?

dan banyak lagi.........

Tertarik dengan risalah mahasiswa Islam yang dikarangan oleh sahabat saya, BP Adlan mengenai dengan mahasiswa Islam dan semasa, di antara point penting yang perlu dipandang ialah mahasiswa Islam perlu bekerja dan bukan hanya cakap berapi sahaja. Inilah masalah kritikal yang berlaku apabila ramai di kalangan yang reti dan hebat berbicara bagaikan si penyair yang menawan hati si pendengar, namun apabila diminta membuat sedikit kerja, seakan-akan tiada atau mungkin tiada langsung. Dan di antara tiada yang melakukan kerja ialah sebab tidak berani. Mudah dan selamat bercakap, namun malas dan lari dari bekerja adalah kerana tidak berani.

Kisah Thalut memimpin tentera Islam sangat memberikan faedah dan pengajaran yang besar. Keberanian umat Islam ketika itu menjadi antara faktor utama kemenangan Islam. Walaupun terdapat segelintir yang hampir mengaku kalah kerana bilangan dan kelengkapan yang tidak seberapa berbandig degan pihak lawan, namun keberanian di dalam menegakkan kalimah Islam menyebabkan mereka tidak gentar dan lari bahkan terus ke hadapan bangkit menentang kezaliman.

Sebelum ini, saya meminta agar selepas exam ini, mahasiswa Islam mesti buktikan bahawa tiada lagi ungkapan bacul diperkatakan ke atas mahasiswa Islam. Dan untuk tidak menjadi mahasiswa yang bacul, ia mesti dibuktikan dengan keberanian di dalam jiwa masing-masing.

Mengapa perlu takut? sedangkan di Mesir bukan ada AUKU pun?

Mindset pemikiran mahasiswa Islam sudah dipenjarakan dengan ketakutan AUKU yang ada di Malaysia. Hal ini menyebabkan mereka takut di samping akidah yang goyah. Di Malaysia pun, mahasiswa Islam di sana sedang bangkit dan terus bangkit di dalam memperjuangkan kebebasana hak mahasiswa. Dan kini AUKU akan dibicarakan di dalam parlimen samada relevan atau tidak untuk diteruskan. Ini kehebatan mahasiswa Islam di Malaysia, mereka berhadapan dengan situasi sebenar namun tidak mengalah dengan ugutan sekatan kewangan, penjara dan sebagaimana. Selagimana hak dan maruah tersebut dicabar, mereka akan bangkit dan bangun.

Bagaimana pula dengan mahasiswa Islam di sini? Ilmu sudah banyak. Bahasa arab pun pandai. Sanad pun banyak. Cuma keberanian je tiada lagi. Satu warisan yang sangat penting bagi mereka yang berjuang di jalan Allah. Sekiranya ilmu banyak sekalipun, kalau tiada keberanian, nescaya ilmu tersebut akan dipesongkan bagi menjaga maslahat sendiri walaupun maslahat umum tergadai.

Dan akhirnya, Said Hawa ada menyebut 3 penyakit pejuang Islam iaitu takut, malas dan kedekut.

P/S : ohye, untuk Unit Panitia ARMA di bawah Lajnah Perancang Dan Panitia mengalu-alukan siapa yang mahu bekerja bagi menaikkan kembali sensitiviti ARMA HAK PMRAM yang dirampas. Cuma satu syarat iaitu berani. Kalau ada terus hubungi saya. :)
Related Posts with Thumbnails