Friday, June 25, 2010

Skop Maqasid Syariah Yang Perlu Diketahui


Dalam mendalami ilmu kefahaman maqasid syariah, keutamaan di dalam memahami 5 elemen yang telah saya sebutkan pada posting yang lepas amat penting sekali. Bahkan ia menjadi pengukur sebenar akan maslahat yang dicari-cari.. kadang kala ramai yang beralasan dengan maslahat akan tetapi ia hanya sekadar maslahat yang kecil sedangkan apa yang mesti dilakukan ialah maslahat yang besar. Itulah kekeliruan yang berlaku.

Bagi mereka yang memahami akan maqasid syariah, akal dan otak mereka pasti akan sentiasa berfikir di dalam memastikan setiap perkara dan urusan mereka mendatangkan maslahat dan menolak mudharat.

Hal ini demikian kerana hukum yang dikenakan mempunyai illat yang munasabah yang menepati objektif iaitu maslahat ke atas manusia itu sendiri. Cuma yang menjadikan manusia itu tamak haloba ialah mereka hanya memikirkan maslahat dalam jangka masa yang pendek dan segara tanpa melihat kepada maslahat di masa hadapan. Ingat, maslahat yang diberikan kadang-kadang segera dan kadang -kadang adalah kemudian. Apa point yang penting kesemuanya adalah untuk mendatangkan maslahat.

Ibnu Qayyim ada menyatakan bahawa hukum syariat yang diturunkan ialah semata-mata untuk maslahat manusia di dunia dan di akhirat.

Hal ini demikian, tuhan tidak berhajat kepada maslahat yang hasil daripada hukum tersebut. Akan tetapi maslahat itu ditetapkan oleh tuhan kepada hamba-Nya.

Namun bagaimana mahu memastikan sesuatu maslahat itu berdasarkan nas dan ia tidak bertentangan dengan nas? Ini yang menjadi persoalan utama di dalam menilai hukum atau nas yang ditetapkan di dalam mencapai maslahat yang diperkatakan.

Dr Yusof Al-Qardhawi menyatakan di dalam kitabnya bahawa garis panduan antara nas dan maslahat ialah :

- Apabila bertembung di antara maslahat yang zan (sangkaan) dengan nas yang zan (sangkaan pada pemahaman dalil) maka perlu didahukukan akan nas zan.

* sangkaan di atas bermakna masih boleh difahami secara takwilan dan ditafsir dengan kaedah-kedah yang dibolehkan.

* sekiranya disebut qathi / kepastiaan, maka hukum atau kefahaman adalah sebagaimana yang ditetapkan tanpa ada sebarang perubahan samada secara takwilan atau penafsiran yang lain.

- Apabila bertembung di antara maslahat yang pasti dengan nas yang zan khususnya zan / sangkaan pada pemahaman dalil, maka perlu ditafsirkan nas tersebut seiring dengan maslahat tersebut.

- Nas yang qathi (tidak ada penafsiran lain) pasti sekali-kali tidak akan bertembung dengan maslahat yang pasti, hal ini demikian kerana nas atau hukum adalah untuk maslahat manusia itu sendiri.

- Mana-mana maslahat yang bertentangan dengan nas yang ada adalah tidak benar, dan mesti didahulukan nas.

Sebagai contoh :

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya mesti menghentikan perlaksanaan hudud.

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya perkara tersebut menghalalkan arak.

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya menolak akan kewajipan berzakat.

- tidak dikira sebagai maslahat akan sesuatu yang dilakukan sekiranya menghalang poligami dan sistem mirath di antara lelaki dan wanita itu adalah zalim kerana ia bertentangan dengan nas qathi yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis.

Justeru, di dalam mengambil kira sesuatu keputusan yang dilakukan di dalam memastikan maslahat itu mesti lengkap padanya 3 ciri iaitu :

- maslahat tersebut tidak bertentangan dengan nas / syarak.
- maslahat tersebut adalah suatu qathi / kepastiaan bukannya sangkaan atau ragu-ragu.
- maslahat tersebut berbentuk umum yang melibatkan semua pihak mendapat hasil maslahat itu.

Saya kira sekadar ini skop yang asas di dalam menilai maslahat bagi kefahaman maqasid syariah. Beberapa peruntukan etika dan displin mesti dijaga. Dan kepentingan maqasid syariah ini sebagaimana yang telah saya nyatakan ia menjadi kunci utama di dalam menganalisa sesuatu perancangan atau isu semasa bagi menjamin maslahat tersebut.

P/S : ramai mahasiswa Islam kita yang hanya semata-mata apabila melakukan sesuatu urusan adalah untuk maslahat khusus iaitu bagi dirinya sahaja, dalam masa yang sama akan menyebabkan mudharat kepada umum. Ini adalah tidak tidak berdasarkan etika dan displin yang telah ditetapkan... sama-sama berfikir...

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails