Tuesday, June 15, 2010

Hukum Bagi Kontrak 'inah (العينة)



Takrif 'inah (العينة) :

'inah (العينة) ialah kontrak jual beli yang melibatkan 2 pihak sahaja iaitu penjual menjual sebuah barangan dalam keadaan bayaran bertempoh (hutang) kepada pembeli kemudian penjual tadi membeli kembali barangan tersebut daripada pembeli asal dengan harga yang lebih murah dengan bayaran tunai.

Contoh situasi : Ali menjual sebuah kereta kepada Ahmad dengan bayaran bertempoh berharga RM 50 ribu. Kemudian Ali membeli kembali kereta tersebut daripada Ahmad dengan bayaran tunai berharga RM 30 ribu.

Hasilnya Ali menerima faedah daripada kontark 'inah (العينة) ini dengan memiliki kereta asalnya beserta tambahan RM 20 ribu hutangnya daripada Ahmad.

Justeru, mengenai kontrak 'inah (العينة) ini, para fuqaha' berselisih pendapat kepada 2 pendapat :

Pendapat 1 : Harus kontrak 'inah (العينة) ini, berdasarkan dalil- dalil tersebut.

Dalil yang pertama : Mafhum daripada firman Allah SWT :

" Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba " - Surah Al-Baqarah : 275

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan umum bagi hukum harus ke atas jual beli yang dijalankan. Maka selagimana tidak dinyatakan dalil / nas yang menunjukkan akan pengharaman sesuatu kontrak, maka hukumnya adalah harus. Dan kontrak 'inah (العينة) merupaKan salah satu jenis jual beli yang dinyatakan di dalam ayat tersebut.

Hujah ini dikritik, bahawa walaupun ayat Al-Quran yang dinyatakan itu umum akan tetapi terdapat dalil yang khusus ke atas kontrak 'inah (العينة) yang menyatakan bahawa ia adalah diharamkan. Justeru, kontrak 'inah (العينة) terkeluar daripada konteks ayat yang dinyatakan tadi.

Dalil yang kedua : Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa rasulullah SAW mengupah seorang lelaki ke Khaibar. Apabila pulang lelaki tadi membawa 1 bungkusan tamar daripada jenis yang elok dengan belian bayaran 2 bungkus tamar yang kurang elok. Lalu rasulullah SAW menegah perbuatan tersebut lalu baginda bersabda : "Jual 2 bungkus tamar yang kurang elok ini dengan harga tertentu. Kemudian hasil jualan tadi belilah akan bungkusan tamar yang elok tadi ". - (Sahih Muslim 1593) dan (Sunan An-Nasai 4553)

Berdasarkan hadis di atas bahawa rasulullah SAW menyuruh lelaki tersebut membeli bungkusan tamar yang elok tadi hasil daripada jualannya, iaitu suruhan tersebut berbentuk umum dan tidak diperincikan samada membeli bungkusan tamar yang elok daripada pihak pembeli 2 bungkusan tamar yang kurang elok atau pihak yang lain. Justeru, ia adalah sebagaimana kontrak 'inah (العينة), iaitu penjual membeli semula barangan yang dibeli daripada pembeli asal.

Hujah ini dikritik bahawa, hadis tersebut bukanlah menggambarkan secara umum akan suruhan membeli samada daripada pembeli asal atau pihak yang lain. Akan tetapi dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa bagaimana rasulullah SAW mengajar para sabahat bagaimana mengelak daripada berlaku riba, kerana kelakukan lelaki tadi dengan membeli 1 bungkusan tamar dengan bayaran 2 bungkusan tamar merupakan jual beli yang mengandungi unsur riba.

Kemudian, bahawa hadis ini walaupun menggambarkan secara umum, ia tidak memberikan faedah di dalam menetapkan hukum harus bagi kontrak 'inah (العينة) kerana terdapat dalil / nas yang mengharamkannya.

Dalil yang ketiga : berdasarkan kaedah menjual barangan secara bertempoh (hutang) dengan harga RM 10 kemudian membeli barangan tersebut kembali dengan harga tunai RM 20 atau dengan harga yang sama iaitu RM 10, maka ini sepakat para fuaqah akan hukumnya adalah harus. Justeru, begitu juga apabila kita menjual dengan harga bertempoh (hutang) seperti RM 20 kemudian membelinya kembali dengan harga tunai yang lebih rendah daripada harga asal seperti RM 10. Tiada beza di antara kedua-duanya.

Hujah ini dikritik, bahawa qiyas yang dikenakan ke atas 2 situasi tersebut adalah berbeza. Jelas sepakat para fuqaha bahawa membeli kembali barangan yang dijual dengan harga yang sama atau lebih tiggi kerana tiada wujud unsur riba. Akan tetapi kontrak 'inah (العينة) yang membeli kembali barangan yang dijual dengan harga yang lebih rendah, terdapat unsur yang meragukan yang membawa kepada unsur riba.

Pendapat 2 : Haram kontrak 'inah (العينة), berdasarkan dalil-dalil tersebut.

Dalil yang pertama : Riwayat daripada Aisyah RA bahawa : Seorang itu telah bertanya kepada Aisyah RA : sesungguhnya aku telah menjual hamba lelaki milik Zaid bin Arqam kepada 'Ato dengan harga 800 dinar secara bertangguh kemudian aku membelinya semula dengan harga 600 dinar secara tunai. Lalu Aisyah RA berkata : buruk sekali jual beli yang dilakukan. Khabarkan kepada Zaid bahawa jual beli yang dilakukannya tadi ('inah (العينة)) telah membatalkan pahala jihadnya bersama rasulullah SAW kecuali ia bertaubat. - (riwayat Darqutni dan Al-Baihaqi).

Berdasarkan hadis di atas bahawa Aisyah RA tidak akan mengatakan bahawa terbatal pahala jihad Zaid selepas mendengar jual beli yang dijalankan. Justeru, Aisyah tidak akan mengatakan begitu ia telah mengetahui akan haram dan keji jual beli berbentuk 'inah (العينة) melainkan berdasarkan nas / dalil daripada rasulullah SAW.

Dalil yang kedua : Nabi SAW bersabda :

إذا تبايعتم بالعينة وأخذتم أذناب البقر ورضيتم بالزرع وتركتم الجهاد سلط الله عليكم ذلا لا ينزعه حتى ترجعوا إلى دينكم

maksudnya : Apabila kamu berjual beli secara 'inah (العينة) dan kamu mula lebih reda dengan periagaan dan cucuk tanaman sehingga meninggalkan jihad, lalu Allah akan menimpakan ke atasmu kehinaan dan tidak akan mencabutnya daripadamu sehinggalah kamu kembali kepada (mengutamakan hukum) agamamu (berbanding helah riba dan kecintaan kepada harta). - riwayat Abu Daud.

Dalil yang ketiga : Sesungguhnya Allah mengharamkan riba dan dalil berkenaan riba itu haram jelas dan qat'ie. Adapan kontrak 'inah (العينة) itu merupakan bahawa wasilah atau helah kepada riba. Justeru setiap wasilah atau helah kepada perkara yang haram maka ia adalah haram. Konteks riba yang berlaku di dalam kontrak 'inah (العينة) ialah bahawa kedua-dua pihak yang meterai kontrak 'inah (العينة) bukanlah berkeinginan kepada barangan jualan akan tetapi kehendak sebenar ialah pada wang. Gambaran ialah penjual memberikan pinjaman kepada pembeli dan pembeli akan membayar hutang tersebut dengan penjual mendapat faedah (iaitu barangan yang dijual). Maka ia adalah diharamkan.

Dalil yang keempat : bahawa dalil daripada para sahabat yang mengatakan bahawa kontrak 'inah (العينة) ini adalah haram. Antaranya ialah Ibnu Abbas RA. Suatu ketika beliau ditanya oleh seorang berkenaan lelaki yang menjual sutera dengan harga 100 (dirham) kemudian membelinya semula dengan harga 50 (dirham). Lalu Ibnu Abbas RA berkata : ia adalah jual beli dirham dengan dirham dalam keadaan tidak sama kuantiti. Bahkan termasuk padanya faedah sutera tersebut.

Berdasarkan dalil di atas bahawa gambaran kontrak 'inah (العينة) ini digambarkan oleh Ibnu Abbas RA dengan gambaran jual beli yang mempunyai unsur riba.

Penutup : -

Berdasarkan perbincangan yang telah dinyatakan tadi,maka hasil yang diberikan oleh para fuqaha bahawa pendapat yang rajih bagi kontrak 'inah (العينة) adalah haram. Dan pendapat ialah yang diguna pakai oleh Kesatuan Fiqh Antarabangsa, Majlis Syariah Majlis Perakaunan dan Kewangan Islam (AAOIFI) serta hampir keseluruhan Majlis Penasihat Syariah bank-bank Islam melainkan Malaysia dan Brunei.

Bagi konteks kontrak 'inah (العينة) di peringkat bank Malaysia, Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia mengambil pendapat yang mengharuskan kontrak 'inah (العينة) berdasarkan dalil-dalil pengharusan yang dinyatakan tadi. Bahkan kerana kontrak 'inah (العينة) ini sudah guna pakai di peringkat Malaysia dengan begitu meluas oleh perbankan Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails