Wednesday, June 16, 2010

Fiqh Iqtisadi : Mahasiswa Islam Masih Kurang Cakna


Ilmu kewangan Islam atau kita panggil sebagai Fiqh Iqtisadi jarang dikuasai oleh mahasiswa Islam itu sendiri menyebabkan pengurusan kewangan di sesebuah negara menjadi agak susah untuk dipraktikkan bersistemkan Islam secara total. Hal ini dapat dilihat apabila Panel Syariah di peringkat negara kita masih kurang bahkan masih susah mencapai kata sepakat di dalam membawa sistem yang lebih baik disebabkan tidak ramai yang betul-betul kemahiran dalam bidang tersebut.

Asas bagi Fiqh Iqtisadi ialah penguasaan ke atas bidang muamalat. Namun penguasaan bidang muamalat tanpa diglobalkan kepada isu, permasalahan dan kontrak yang baru, menyebabkan pemahaman di dalam menjalankan sesuatu sistem ekonomi di zaman sekarang semakin payah.

Apa point utama yang penting ialah, kajian secara rawak menunjukkan tidak ramai mahasiswa Islam kita yang meminati dan mempelajari bab kewangan Islam. Lihat berapa ramai yang agak menggeleng kepala apabila berhadapan dengan tajuk perbahasan mengenai kewangan dan ekonomi seperti insuran, kontrak belian dengan harga bertempoh, bon , saham dan sebagainya. Bahkan penguasaan asas di dalam bab muamalat juga masih ramai yang tidak mampu menguasai dengan baik.

Situasi begini adalah kurang enak untuk didengari kerana di dalam era sekarang, khususnya negara kita pembangunan bank dan pengembangan sistem kewangan semakin baik ke arah sistem kewangan dan ekonomi Islam, namun bilangan pakar-pakar masih tidak memadai. Kita lihat dan bilang sendiri, mahasiswa Islam dari Mesir sahaja masih boleh dibilang mereka yang terlibat di dalam panel syariah ini. Bahkan pakar-pakar ekonomi Islam masih tidak menonjolkan mahasiswa Islam dari Mesir. Ini akan menyebabkan kebimbangan di masa hadapan di dalam memastikan penjagaan ekonomi secara bersistemkan Islam.

Di dalam Fiqh Iqtisadi beberapa point perlu diberikan penekanan yang amat iaitu :
- penguasaan ke atas bab muamalat - ilmu asas dan turath -.
- mengenal pasti pembahagian jenis kontrak di dalam ekonomi.
- kaedah asas bagi muamalat.
- syarat ke atas kontrak : sah atau tidak.
- maqasid iqtisadi
- kajian ke atas perbahasan ulama mengenai masalah kewangan dan ekonomi kontemporari
- Konsep status amanah dan jaminan

Ke semua bahagiantersebut merupakan perkara utama dan pengenalan di dalam kita mengetahui dan meletakkan hukum-hukum yang berkaitan dengan kontrak kewangan terutama yang melibatkan masalah kontemporari.

Di samping itu, pengajian secara talaqqi mengenai Fiqh Iqtisadi masih kurang dan tidak diperbesarkan, mahasiswa Islam perlu mencari dan membuat alternatif di dalam menguasai Fiqh Iqtisadi kerana ilmu berkaitan ekonomi sangat penting di dalam mentadbir negara yang berkonsepkan Islam.

Lihat sahaja penyusunan para fuqaha mengenai fiqh, selepas bab ibadat, diletakkan bab muamalat menunjukkan ekonomi adalah amat penting. Justeru kelemahan penglibatan mahasiswa Islam di dalam menguasai Fiqh Iqtisadi ini akan menyebabkan sistem Islam kucar kacir dan sistem kewangan menjadi rosak.

Saidina Umar RA pernah memesan bahawa : Tidak harus (layak) bagi seseorang untuk berurus niaga di pasar kami (di Madinah) melainkan mereka yang memahami hukum hakam agama (khusus berkaitan ekonomi dan kewangan), sekiranya tidak ada pasti akan berlaku riba secara rela atau paksa.

Menunjukkan betapa pentingnya mesti ada pakar yang berkaitan ekonomi bagi menjamin pengaliran kewangan secara islamik. Sekiranya tiada, maka Saidina Umar RA mengatakan pasti akan berlaku riba. Mengapa riba ? sebab riba merupakan di antara dosa besar bahkan riba seolah-olah mencabar dan isytihar perang kepada Allah dan rasul-Nya.

Seorang ulama dan pakar ekonomi Islam ada menyebutkan bahawa selagimana wujudnya riba maka selagi itulah dunia akan mengalami masalah krisis ekonomi!

Justeru, untuk pengenalan awal, saya telah menerangkan beberapa point yang utama untuk dikuasai dan artikel yang lepas telah dibincangkan mengenai hukum kontrak 'Inah. Ternyata masih ramai lagi yang masih tidak mengetahui akan perkara itu. Maka. ingatlah bahawa mahasiswa Islam di Mesir masih telalu kurang mereka yang pakar di dalam hukum ekonomi Islam walaupun ramai yang reti mencari kewangan. Namun, permasalahan-permasalahan ekonomi di Malaysia memerlukan pakar-pakar yang mencukupi.

P/S : Sekarang ini, mahu mencari tenaga pengajar yang mahir bab ekonomi amat payah. Fikirkan bagi masa akan datang...

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails