Sunday, August 16, 2009
Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 3)
Unsur-Unsur Asas Dalam Tauhid
Akidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ke seluruh dunia mempunyai 2 konsep yang cukup mendalam dan besar maknanya iaitulah tiada tuhan melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. pesuruh Allah s.w.t.. Dalam bab sebelum ini telah diterangkan secara ringkas mengenai konsep ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t..’ Dalam bab ini pula akan diterangkan unsur-unsur asas yang terdapat dalam asas tauhid untuk menerangkan lagi kehendak makna yang sebenar dalam konsep ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t..’ Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran ada 3 unsur asas dalam kalimah tauhid tersebut. 3 unsur ini dimuatkan di dalam satu surah di dalam Al-Quran, iaitu surah Al-An’am :
1. Tidak ada tuhan melainkan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah tuhan bagi segala sesuatu. (Surah Al-Maidah : 164)
2. Tidak ada wali (pelindung) melainkan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Apakah aku akan menjadikan pelindung selain Allah s.w.t. yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makan”.
(Surah Al-Maidah : 14)
3. Tidak ada hukum yang wajib diikuti melainkan hukum Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Patutkah aku mencari hakim selain Allah s.w.t sedangkan Dia yang menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu secara terperinci. (Surah Al-Maidah : 114)
Unsur Pertama
Unsur pertama yang dinyatakan ialah tidak mengambil selain daripada Allah s.w.t. sebagai Tuhan. Unsur ini membawa maksud membatalkan atau menafikan segala benda yang didakwa sebagai tuhan kepada manusia samada yang baru atau lama bagi masyarakat di timur mahupun di barat. Menafikan segala-gala tuhan yang didakwa oleh manusia seperti pokok, batu, api, matahari, bulan, jin atau manusia.
Unsur ini membebaskan manusia daripada segala ikatan yang berteraskan ketuhanan sesama makhluk yang pada hakikatnya semua mahkluk di bumi dan di langit adalah hamba kepada Allah s.w.t.. Semuanya menyembah dan patuh kepada tuhan Yang Maha Esa.
Kalimah ‘La ila ha illallah’ dalam syahadataini membawa maksud yang sangat luas. Kalimah ini membebaskan manusia daripada tunduk patuh, menghinakan diri serta beribadat melainkan kepada penciptanya, Allah s.w.t.. Maka tidak harus manusia beribadat dan menyembah selain daripada-Nya. Oleh kerana itulah, Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan utusan yang terakhir menyeru seluruh manusia tanpa mengira perbezaan pangkat dan darjat seperti raja-raja, pendeta-pendeta dan golongan bangsawan daripada kaum Nasrani untuk mentauhidkan Allah s.w.t. sebagai tuhan Yang Esa tanpa ada yang lain selain-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai ahli kitab! Marilah (kita) menuju kepada satu kalimat (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah s.w.t. dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah s.w.t.. Jika mereka berpaling maka katakanlah (kepada mereka), “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang muslim.” (Surah Ali Imran : 64)
Maka dengan itu, kalimah bahawa Allah s.w.t. sahaja tuhan yang selayaknya untuk disembah adalah sebagai kalimah yang menghapuskan segala bentuk atau kekuasaan yang berkuasa di atas muka bumi ini selain daripada Allah s.w.t. Hal ini demikian, pada zaman dahulu, mereka yang mempunyai kekuatan, kekuasaan, pengaruh dan kekayaan mendakwa dirinya sebagai tuhan kerana memiliki segala kelengkapan dan hajat yang diingini oleh manusia sekalian. Manusia hidup bersistemkan sistem rimba. Yang mempunyai kelebihan akan memerintah manakala yang lemah dan mempunyai kekurangan akan diperintah. Maka kalimah ini didatangkan untuk melenyapkan segala bentuk dakwaan-dakwaan yang sesat ini.
Maka dengan itulah sejak zaman dahulu pembawa-pembawa risalah tauhid ini mendapat kecaman dan ancaman daripada pihak-pihak yang tidak mahu menerima akan kalimah tauhid ini. Sejarah telah membuktikan apabila Nabi Musa a.s. mendapat ancaman untuk dibunuh oleh Firaun yang merupakan pemerintah yang paling berkuasa di Mesir pada ketika itu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan seseorang yang beriman di antara keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya berkata : “apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia mengatakan “tuhanku adalah Allah”.
(Surah Ghafir : 28)
Dan kerana inilah, Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat diseksa, dimaki, diancam dan dihalau daripada tempat tinggal masing-masing.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, hanya kerana mereka berkata, “tuhan kami ialah Allah”. (Surah Al-Hajj : 40)
Unsur Kedua
Unsur kedua yang menjadi asas dalam kalimah tauhid ialah tidak mengambil selain Allah s.w.t. sebagai wali (pelindung). Iaitu tidak menjadikan selain daripada Allah s.w.t. sebagai tempat bergantung, tempat berharap dan tempat meminta pertolongan. Jadi, unsur yang kedua ini menafikan sebagai bentuk wali ataupun segala bentuk pertolongan selain daripada Allah s.w.t.
Tidaklah dinamakan tauhid sekiranya seseorang itu mendakwa Allah s.w.t. sebagai tuhannya namun dalam masa yang sama, pengharapannya, kecintaannya dan meminta pertolongan adalah sesama makhluk selain daripada Allah s.w.t.. Malah lebih teruk lagi jika ada yang sanggup memberikan pengharapannya dan kesetiaannya kepada musuh-musuh Islam.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, melainkan orang-orang yang beriman. (Surah Ali-Imran : 28)
Hakikat yang sebenar bagi tauhid ialah beriman kepada Allah s.w.t. sebagai tuhannya dengan mengikhlaskan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan menyerahkan segala pengharapan, kesetiaan dan mengambil Allah s.w.t. sebagai walinya serta kepada sesiapa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk berwalikan dengannya. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran :
Sesungguhnya penolongmu hanyalah Allah s.w.t., rasul-Nya dan orang yang beriman, yang melaksanakan solat, menunaikan zakat seraya tunduk (kepada Allah s.w.t). Dan barangsiapa yang menjadikan Allah s.w.t., rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya maka sungguh, pengikut (agama) Allah s.w.t. yang menang. (Surah Al-Maidah : 55-56)
Berdasarkan ayat di atas, jelas Al-Quran menegah dengan keras akan kaum Musyrikin yang pada ketika itu yang membahagikan hati-hati mereka di antara Allah s.w.t. dan seteru-seteru Allah s.w.t. yang dijadikan sebagai penyembahan. Kaum musyrikin pada zaman dahulu menyembah berhala-berhala yang mereka anggap sebagai tuhan dan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada tuhan kepada kaabah iaitu Allah s.w.t. Mereka juga menyerahkan kecintaan dan kepatuhan mereka kepada berhala-berhala yang mereka sembah sebagaimana mereka mencintai Allah s.w.t. dan patuh kepada-Nya dalam masa yang sama.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan di antara manusia ada yang menyembah selain Allah s.w.t. sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mereka mencintai Allah s.w.t.. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah s.w.t.. (Surah Al-Baqarah : 165)
Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menerima sifat syirik di dalam hati orang-orang yang beriman, maka tidak harus untuk diserahkan hatinya sebahagian untuk Allah s.w.t. dan sebahagian untuk toghut (syaitan dan segala benda yang menyeru ke arah kesesatan). Tidak harus meletakkan sebahagian pengharapannya kepada Allah s.w.t. dan sebahagian yang lain kepada makhluk.
Sesungguhnya pengharapan dan hati sepenuhnya hanyalah kepada Allah s.w.t., tiada yang lain selain-Nya, Dialah Pemilik sekalian makhluk, segala urusan terserah bagi-Nya. Inilah perbezaan di antara orang-orang yang beriman dan musyrik. Orang yang beriman menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t. semata-mata dan melakukan ibadat kerana Allah s.w.t. tanpa ada selain-Nya. Manakala orang musyrik pula membahagi-bahagikan di antara Allah s.w.t. dan selain Allah s.w.t..
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah s.w.t., tuhan seluruh alam. (Surah Al-An’am : 162)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Allah s.w.t. membuat perumpaan (iaitu) seorang lelaki (hamba sahaya) yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang dalam perselisihan, dan seorang hamba sahaya yang menjadi milik penuh dari seorang (sahaja). Adakah keduanya hamba sahaya itu sama keadaannya? Segala puji bagi Allah s.w.t. tetapi kebanyakkan mereka tidak mengetahui. (Surah Az-Zumar : 29)
Unsur Ketiga
Yang dimaksudkan dengan unsur yang ketiga ini ialah tidak mencari hukum yang selain daripada hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai undang-undang dalam kehidupan. Wajib bagi manusia sekalian untuk membuang atau menolak kepatuhan bagi segala hukum-hakam selain hukum Allah s.w.t., segala suruhan-suruhan selain suruhan Allah s.w.t., segala peraturan selain peraturan Allah s.w.t., segala undang-undang selain undang-undang Allah s.w.t. dan segala ikutan selain ikutan Allah s.w.t..
Sesiapa yang mengambil sesuatu selain daripada apa yang telah diturunkan dan ditetapkan oleh Allah s.w.t. samada dari segi peraturan, undang-undang mahupun ikutan maka secara automatik telah terbatal satu unsur asas daripada unsur-unsur asas di dalam akidah tauhid. Hal ini demikian kerana dia telah mencari sesuatu yang lain selain Allah s.w.t.. Dia telah mengambil hakim yang lain selain daripada Allah s.w.t. di dalam kehidupannya. Dia juga telah menolak hukum syariat yang didatangkan daripada Allah s.w.t..
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Yusuf : 40)
Unsur asas yang ketiga mempunyai kaitan secara langsung dengan Allah s.w.t. dari segi rububiyah dan uluhiyah. Maka sesiapa yang mengambil manusia yakni apa-apa sahaja selain daripada Allah s.w.t. sebagai hakim dalam mentaati suruhan dan larangan secara mutlak, menghalal dan mengharamkan mengikut kesukaannya, malah memberikan ketaatan kepada perkara yang tidak sepatutnya walaupun menghalalkan perkara yang haram seperti zina, arak, judi dan sebagainya, maka dia telah membuang hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.. Selain juga, mengharamkan perkara yang halal seperti talak, poligami dan sebagainya. Atau dari sudut menolak kewajipan-kewajipan seperti sistem khalifah, zakat, amal makruf dan nahi mungkar dan sebagainya.
Pada hakikatnya sebegini, mereka telah mengambil tuhan yang lain selain Allah s.w.t. sebagai hakim dalam menetapkan segala peraturan dan urusan hidup walaupun pada zahirnya, mereka tidak menyembahnya. Perkara sebegini ada disebutkan di dalam Al-Quran. Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah At-Taubah :
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. (Surah At-Taubah : 31)
Menjadi persoalan, bagaimanakah yang dimaksudkan dengan mereka (kaum Nasrani) mengambil para rahib mereka sebagai tuhan sedangkan mereka (kaum Nasrani) tidak pernah menyembah mereka (rahib) sebagaimana orang-orang musyrik menyembah berhala secara jelas?
Persoalan ini terjawab dengan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At-Tirmizi dan Ibn Jarir daripada kisah pengislaman ‘Adi bin Hatim At-Toey. Pada zaman jahiliyah beliau seorang yang menganut agama kristian sebagaimana kaum Nasrani yang lain. Suatu hari beliau datang ke Madinah. Maka beliau pun memberitahu hajat kedatangannya ke Madinah kepada orang ramai. Maka beliau pun menuju ke tempat untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.. Apabila menghadap Rasulullah s.a.w., maka Rasulullah s.a.w. mendapati terdapat di lehernya lambang salib yang diperbuat daripada perak. Baginda pun membacakan firman Allah s.w.t. :
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam…. (Surah At-Taubah : 31)
Maka berkatalah ‘Adi bahawa sesungguhnya mereka (orang-orang Nasrani) tidak menyembah rahib mereka. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa orang-orang Nasrani menjadikan rahib mereka sebagai tuhan? Lalu baginda s.a.w. menjawab kembali : benar (mereka tidak menyembahnya). Akan tetapi rahib-rahib mereka menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal. Mereka mengikutinya, maka hal ini adalah serupa dengan menyembahnya.
Berkata Ibnu Kathir : Huzaifah ibn Alyaman dan Ibn Abbas telah menafsirkan ayat tersebut sebagaimana berikut, iaitu mereka (orang-orang Nasrani) mengikuti para rahib mereka dalam mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram.
Telah berkata As-Sadya : Sekumpulan lelaki datang untuk meminta nasihat dan dalam masa yang sama mereka itu mencampakkan Al-Quran di belakang punggung mereka (membelakangi Al-Quran dalam melaksanakan sesuatu perkara) iaitu nasihat tersebut membelakangi Al-Quran. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat. :
Maksudnya : Mereka tidak disuruh menyembah melainkan Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia… (Surah At-Taubah : 31)
Setiap perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t., maka perkara tersebut adalah haram. Dan setiap perkara yang dihalalkan oleh Allah s.w.t., maka perkara tersebut adalah halal. Dan setiap perkara yang disyariatkan-Nya, maka wajib dituruti. Dan setiap perkara yang diperintahkan-Nya, maka wajib dilaksanakan. Tidak ada tuhan melainkan Allah s.w.t.. Maha Suci Allah s.w.t. daripada apa yang mereka sekutukan.
Maka, inilah makna yang terdapat di dalam kalimah syahadah yang pertama iaitu tiada tuhan melainkan Allah s.w.t.. Terdapat 3 konsep asas bagi merealisasikan kalimah syahadah yang pertama iaitu tiada tuhan melainkan Allah, tiada wali (pertolongan dan pengharapan) selain Allah dan tiada hakim selain Allah, sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran pada ayat-ayat yang jelas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
terima kasih kongsi ea
ReplyDelete