Thursday, August 6, 2009

Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 2)

Tiada Tuhan Melainkan Allah s.w.t.

Akidah Islam seolah-olah satu tembok yang menjadi pemisah di antara hak dan batil. Dengan akidah Islam inilah kita dapat mengenali individu atau masyarakat tertentu samada Islam atau kafir. Akidah ini mendatangkan 2 konsep yang sangat ringkas namun memberi makna yang sangat luas dan mendalam. 2 konsep tersebut diadaptasikan dalam 2 kalimah yang disebut dalam bahasa Arab sebagai syahadataini.

Bermula dengan 2 kalimah inilah, individu yang memperakuinya akan ditaklifkan hukum-hukum sebagaimana seseorang yang bergelar muslim. Namun bagi mereka yang ingkar iaitu kafir, mereka tidak akan ditaklifkan hukum-hukum tersebut di dunia ini namun taklifan tadi tetap akan dipersoalkan di akhirat kelak . Syahadataini ini membawa maksud :

Tiada tuhan selain Allah s.w.t., Nabi Muhammad s.a.w merupakan pesuruh Allah s.w.t..

Akidah ini memimpin manusia untuk melihat (memerhati dan berfikir) alam semesta bagi mengenal siapa penciptanya. Mengajar manusia bahawa alam ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya (semulajadi) tanpa ada penciptanya. Mengajar sekalian manusia akan alam ini baginya pencipta. Bahkan mengingatkan manusia akan kehidupan di dunia dan kehidupan selepas kematian. Dengan erti kata yang lain, akidah ini memimpin manusia ke arah perspektif yang lebih meluas untuk melihat sambil berfikir mengenai makhluk dan Penciptanya, dunia dan akhirat, alam yang nyata dan alam yang ghaib.

Secara logik manusia sendiri tidak dapat menerima kenyataan bahawa diri mereka, gunung-ganang, pokok-pokok, batu-bata, dan alam ini terjadi atau tercipta dengan sendirinya. Catatan sejarah membuktikan sejak masa dahulu lagi manusia telah pun mencari-cari siapakah Pencipta bagi alam ini. Hal ini menyebabkan munculnya pemikir-pemikir iaitu orang bijak pandai Yunani yang mula berbicara secara meluas mengenai ketuhanan. Contohnya seperti Aristotle dan Pluto. Kedua-duanya merupakan pemikir atau ahli falsafah di Yunani pada waktu dahulu.

Mereka cuba mengemukakan pendapat mengenai penciptaan alam ini. Walaupun pada akhirnya sebahagian daripada kalangan pemikir-pemikir yang menafikan prinsip ketuhanan kerana kejengkelan akal dalam mendapatkan bukti bagi mencari pencipta sebenar bagi alam ini. Hal ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa sejak dahulu lagi akal manusia tidak dapat menerima kenyataan bahawa alam ini wujudnya dengan sendiri tanpa ada pencipta.

Maka, alam yang terbentang luas ini, dengan bumi dan lapisan langit sebagai bumbungnya yang tidak bertiang, malah segala isi di dalamnya, batu-bata, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia bahkan jin dan malaikat, semuanya tidak wujud dengan sendirinya atau secara semulajadi sebagaimana yang dikatakan oleh pemikir-pemikir pada zaman dahulu, bahkan tidak pula mereka (seluruh alam) yang mencipta diri mereka sendiri. Jadi, tidak dapat tidak, mesti ada pencipta yang gagah, berkuasa dan mengetahui yang menciptakan segalanya. Tidak ada pencipta selain-Nya. Dia yang menentukan segala-galanya. Menentukan kadar putaran planet-planet di atas paksi masing-masing.

Tidak pernah ada walaupun sedetik planet-planet tersebut berputar melawan kehendak penciptanya. Lihat sahaja pada bumi, sebuah planet yang diciptakan khas untuk kita sebagai tempat kediaman dan menjalani kehidupan sejak zaman Nabi Adam a.s. sehingga ke hari ini, bumi tetap berputar di atas paksinya. 24 jam sehari. Tidak pernah bertambah mahupun berkurang. Semuanya berlaku dengan kehendak penciptanya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ditinggikan? Dan gunung-ganang, bagaimana ditegakkan? Dan bumi, bagaimana dihamparkan? (surah Al-Ghasyiah : 17-20)

Dalil-dalil yang lepas semuanya mempunyai satu makna yang sama walaupun berbeza dalam bentuk pembawakan ayat. Dalil-dalil tadi jelas terpampang di hadapan mata mereka. Maka tidak dapat tidak alam ini dan segala isi di dalamnya semuanya diciptakan dan terdapat pencipta baginya. Allah s.w.t. merupakan Pencipta Yang Maha Agung, Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Dialah yang menentukan putaran planet-planet secara tersusun dengan bijaksana. Masa dan waktu yang tidak pernah lewat mahupun cepat walaupun sesaat. Segala makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : apabila datang tempoh (waktu) bagi mereka maka mereka tidak dapat melewatkan walaupun sesaat mahupun percepatkan sesaat. (surah Yunus : 49)

Dialah pencipta langit dan bumi untuk kita. Bumi sebagai dataran yang rata untuk kita diami dan jalani kehidupan siang dan malam. Untuk kita meneroka apa yang terdapat di dalamnya yang Allah telah menjanjikan nikmat dan rezeki yang pelbagai di dalamnya. Langit yang berdiri tegak tanpa sebatang tiang bertindak sebagai bumbung bagi kita. Memayungi dan melindungi kita daripada sinaran matahari yang panas terik. Dialah tuhan bagi sekalian alam. Tuhan bagi segala sesuatu. Tuhan bagi mahkluk. Tidak ada satu pun yang menyekutui-Nya. Tidak ada yang sama bagi-Nya pada zat, sifat dan perbuatan. Dialah yang kekal. Manusia, bumi dan segala akan binasa melainkan Dia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Setiap benda yang berada di dunia itu akan binasa melainkan wajah Allah s.w.t yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal. (Surah Ar-Rahman : 26 dan 27)

Maha Suci Allah, hanya bagi-Nya segala sifat kesempurnaan. Maha Suci Allah yang tidak bersifatkan segala sifat kekurangan apatah lagi bersifat dengan sifat kekejian. Dialah Yang Maha Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. Semua makhluk bergantung dan memohon perlindungan dan pengharapan kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat memohon segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya. (Surah Al-Ikhlas : 1-4)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dialah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-Hadid : 3)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia. Dan Dia yang Maha Mendengar, Maha Melihat. (Surah Asy-Syura : 11)

Setiap benda yang wujud menjadi bukti dan hujah atas keesaan-Nya. Hanya Allah s.w.t. yang mencipta, mentadbir dan menguruskan. Tidak ada yang kedua, ketiga dan selain-Nya. Kejadian-kejadian yang berlaku seperti letusan gunung berapi, ombak besar, tsunami, hujan, puting beliung dan gempa bumi semuanya berada di bawah kekuasaan, kawalan dan perhatian Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t. berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Baqarah : 20)

Berbeza dengan kepercayaan yang dianuti oleh penganut-penganut agama Hindu. Mereka mempercayai wujudnya tuhan lebih daripada satu. Bagi mereka, ada tuhan yang dikenali sebagai Tuhan Rahmat yang sentiasa menurunkan rahmat ke atas setiap manusia dan menjaga mereka daripada malapetaka. Dan ada juga Tuhan Murka yang menurunkan bala bencana ke atas manusia.

Begitu juga bezanya akidah Islam dengan kepercayaan bagi golongan Atheis yang tidak mempercayai akan kewujudan tuhan. Mereka menganggap segalanya yang wujud, terjadi dan berlaku mengikut ketentuan dan tabiat semulajadi. Mereka menyatakan tidak ada tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi, dan langit. Kesemuanya yang ada wujud dengan sendiri tanpa ada pencipta. Bagi mereka kesenangan, kenikmatan dan malapetaka yang menimpa ke atas diri manusia adalah suatu kebiasaan yang dilalui oleh semua manusia dalam kehidupan bahkan rutin dalam jadual perjalanan alam. Mereka menafikan ketuhanan dan sekaligus menafikan kekuasaan tuhan.

Menurut kepercayaan yang dianuti oleh penganut agama Kristian pula, tuhan adalah berkonsepkan triniti yakni memberi maksud mempunyai 3 tuhan iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Ibu dan Tuhan Anak. Mereka menyengutui tuhan dengan memperkatakan bahawa tuhan juga memerlukan isteri dan anak sebagaimana fitrah manusia. Alangkah kejinya semua kepercayaan mereka ini. Tidak ada satu pun hujah-hujah yang mereka buktikan untuk menunjukkan revelan dan dapat diterima akal bagi orang yang waras. Semuanya ini ditolak oleh akal dari awal-awal lagi.

Akidah Islam berlainan dengan kepercayaan-kepercayaan lain yang wujud di muka bumi ini. Dalam akidah Islam, tuhan yang hanya layak untuk disembah ialah Allah s.w.t.. Dialah yang Esa. Tidak ada selain daripada-Nya. Dialah yang mengaturkan segala-galanya tanpa memerlukan bantuan daripada makhluk lain. Bala dan ujian yang menimpa manusia di serata dunia turut Dia yang berkuasa sebagaimana Dia juga berkuasa menjaga dan memberikan nikmat ke atas setiap manusia dalam masa yang sama.

Jika ada tuhan yang wujud bersama-sama Allah s.w.t. maka akan lenyaplah hujah dan dalil yang dibentangkan di dalam Al-Quran. Jika berlaku perkara sebegitu, maka telah rosaklah nilai kemurniaan Al-Quran. Bahkan, alam juga akan mengalami kekacauan sistem pentadbiran kerana berlakunya pertembungan di antara kuasa tuhan yang lebih daripada satu.



Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Seandainya pada keduanya (di langit dan di bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah s.w.t., tentu keduanya telah binasa. Maha Suci Allah s.w.t. yang memiliki arasy dari apa yang mereka sifatkan.
(Surah Al-Anbiya’ : 22)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Allah s.w.t. tidak mempunyai anak, dan tidak ada tuhan (yang lain) bersama-Nya, (sekiranya tuhan banyak), maka masing-masing tuhan itu akan membawa apa (makhluk) yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah s.w.t. dari apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Mukmimun : 91)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika ada tuhan-tuhan di samping-Nya, sebagaimana yang mereka katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada tuhan yang mempunyai arasy.” Maha Suci dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka katakan, luhur dan agung (tidak ada bandingan). (Surah Al-Isra’ : 42 dan 43)

Realitinya ialah setiap benda (makhluk) samada yang berada di bumi dan di langit adalah hamba kepada Allah s.w.t.. Bahkan semuanya milik Allah s.w.t.. Kepada-Nya semua akan dikembalikan kelak. Allah s.w.t. yang mencipatakan kesemuanya. Tidak ada sesuatu yang terdapat di bumi mahupun di langit merupakan seteru bagi Allah. Tidak juga anak bagi Allah sebagaimana yang didakwa oleh penganut-penganut Kristian dan paderi mereka sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Al-Quran. Mereka menfitnah Allah s.w.t.. Mereka mengatakan bahawa Allah s.w.t. mempunyai anak. Ini adalah satu penipuan dan fitnah yang direka. Adakah mereka tidak tahu betapa kejinya dakwaan mereka itu. Amat besar azab yang bakal ditimpakan ke atas mereka.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan mereka berkata Allah s.w.t. mempunyai anak. Maha suci Allah s.w.t. bahkan milik-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Semua tunduk kepada-Nya. (Allah s.w.t.) Pencipta langit dan bumi. Apabila Dia menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya , “jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu. (Surah Al-Baqarah : 116-117)

Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak perlu mempunyai anak mahupun pembantu. Mustahil bagi Allah s.w.t. untuk bersifat dengan sedemikian (untuk memiliki anak dan pembantu). Berlainan dengan fitrah keadaan manusia. Manusia memerlukan kepada anak dalam kehidupan mereka untuk mewarisi apa yang akan ditinggalkan kelak. Manusia memerlukan pembantu untuk menolong dan meringankan kerja-kerja yang dilakukannya. Bersifat dengan sifat yang memerlukan kepada anak dan pembantu menjadi hujah yang menunjukkan bahawa seseorang tersebut bersifat dengan sifat lemah. Maha Suci Allah s.w.t. daripada yang sedemikian. Bagi Allah s.w.t. apa yang Dia kehendaki, pasti akan terjadi. Tiada siapa yang mampu menahan dan menghalang.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : (Allah s.w.t.) Pencipta langit dan bumi. Apabila Dia menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya , “jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu. (Surah Al-Baqarah : 117)

Maka bagi sesiapa yang menafikan dan cuba menyesatkan hakikat ini sewaktu di dunia, maka di akhirat kelak akan dibukakan segala hijab (halangan) untuk memperlihatkan kepada mereka akan kebenaran sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan sebagaimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.. Ketika itu, kebenaran yang diperlihatkan kepada mereka sangat jelas bahkan lebih jelas daripada cahaya matahari di waktu pagi. Tidak ada lagi yang boleh mereka nafikan mahupun membantah. Segala-galanya yang terbukti adalah benar, dan mereka adalah silap.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, melainkan akan datang kepada (Allah s.w.t.) Yang Maha Pengasih sebagai seorang hamba. Dia (Allah s.w.t.) benar-benar telah menetukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap daripada mereka akan datang kepada Allah s.w.t. secara bersendirian pada hari kiamat. (Surah Maryam : 93-95)

Maka selepas kita teliti dan perhatikan keterangan-keterangan sebelum ini, maka Allah Yang Maha Besar, Tuhan bagi sekalian alam memang layak disembah dan diberikan ketaatan yang mutlak (tidak mempersoalkan walaupun satu). Dalam erti kata yang lain, layak diberikan sebenar-benar kepatuhan dan sebenar-benar kecintaan.

Memberikan kepatuhan dalam bentuk apa jua yang dianggap sebagai patuh dan taat. Begitu juga dengan kecintaan iaitu segala bentuk yang dikira sebagai cinta dan kasih. Hasil gabungan makna bagi kedua-dua perkataan inilah dinamakan ibadat. Hal ini demikian kerana ibadat yang sempurna mempunyai perasaan patuh, takut dan cinta akan Allah s.w.t.. Maka kita tidak dianggap 100% melakukan ibadat yang ikhlas jika wujud di dalam diri kita hanya sifat cinta tanpa takut dan patuh akan Allah s.w.t., begitu juga sebaliknya .

Dan inilah yang dikatakan makna yang tepat bagi kalimah ‘ لا إله إلا الله ‘ , iaitu tiada tuhan melainkan Allah s.w.t. dengan membawa makna tiadalah sebenar-benar ibadat melainkan kepada Allah s.w.t. dan tidak ada sebenar-benar kepatuhan melainkan kepada-Nya.

Maka hanya suruhan-Nya yang layak untuk kita patuhi secara mutlak, untuk disembah akan kebesaran dan keagungan-Nya, untuk kita membasahi lidah kita dengan puji-pujian ke atas kesempurnaan-Nya dan untuk kita menurut akan hukum-Nya dengan jiwa, akal dan anggota kita.

Makna bagi kalimah ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t.’ ialah kita mencabut iaitu membuang segala bentuk kepatuhan dan ibadat kepada segala kekuasaan melainkan kekuasaan-Nya, segala perundangan melainkan perundangan-Nya, segala suruhan melainkan suruhan-Nya. Dan membuang segala wala’ (kesetian) melainkan kepada-Nya serta kasih dan cinta melainkan kepada-Nya.

2 comments:

  1. salam abezuh... mantop demo... kawe xsangko demo dh ada blog jugo... abih lo kawe dok leh cari make... huhuhu...

    ReplyDelete
  2. wslm..yola 2...ust rasul punyer blog lagi power n mengancam...hehe

    ReplyDelete



Related Posts with Thumbnails