Akidah Islam
Akidah merupakan peranan utama dalam pembentukan masyarakat ke arah Islam. Akidah Islam merupakan suatu kepercayaan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. selaku Tuhan dan Pencipta sekalian alam untuk disebarkan ke seluruh alam demi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada sinaran Islam. Akidah ini menafikan wujudnya tuhan selain Allah dan mengiktiraf bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh-Nya.
Selepas Nabi Isa a.s. diangkat ke langit, manusia kembali terjerumus ke lembah kejahilan. Mereka mula melakukan perkara-perkara terlarang sebagaimana ketika kehidupan mereka sebelum diutuskan nabi dan rasul. Para ahli kitab pula khasnya telah menyelewengkan isi kandungan yang terdapat dalam Kitab Injil. Mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan perkara yang halal. Dalam tempoh itu, manusia berada dalam kesesatan yang nyata sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan .
Bangsa Arab membunuh anak-anak perempuan mereka yang baru dilahirkan kerana mereka mempercayai bahawa anak-anak perempuan mereka apabila sudah dewasa akan mendatangkan kepapaan dan keaiban kepada keluarga mereka. Kaum wanita pula dijadikan seperti alat permainan yang hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu lelaki. Wanita diletakkan di martabat paling bawah, mereka tidak dapat mewarisi harta apabila suami mereka mati, bahkan mereka pula diwarisi oleh anak-anak mereka (pada zaman jahiliyah, anak lelaki akan mengambil ibu mereka menjadi salah seorang isteri apabila ayah mereka mati. Namun selepas kedatangan Islam, Islam telah mengharamkan perbuatan ini).
Arak pula merupakan tradisi dalam masyarakat Arab. Meminum arak menjadi kebanggaan bahkan menjadi suatu keaiban kepada masyarakat Arab Jahiliyah apabila ada tetamu yang bertandang ke rumah tidak disajikan dengan minuman arak. Melihat manusia sudah melencong daripada akidah yang sebenar, nilai-nilai moral yang murni sudah terhakis dan kejahilan mendorong manusia melakukan kemaksiatan tanpa segan silu, maka Nabi Muhammad s.a.w. dibangkit sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Muslimin dan muslimat (tanpa ada pengecualian) wajib meyakini akidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. tersebut secara jazam (secara pasti iaitu tanpa ada sedikit keraguan) dalam diri masing-masing. Bahkan dalam masyarakat yang bergelar Islam, akidah tersebut mesti ditanam, dijaga dan dipelihara dalam setiap individu malah di peringkat masyarakat. Tidak cukup dengan itu sahaja, akidah islam ini mesti disebarkan ke seluruh pelusuk dunia agar sekalian manusia dapat melihat cahayanya. Hal ini demikian kerana Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan sebagai rahmat sekalian alam .
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad s.a.w) melainkan untuk sekalian manusia. (surah Saba' : 28)
Agama islam merupakan agama untuk sekalian manusia, bukannya kepada bangsa-bangsa yang tertentu sahaja. Dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengeluarkan manusia daripada dunia kejahilan yang menyembah patung-patung, api dan matahari ke suatu alam yang diredhai Allah iaitu dengan mentauhidkan Allah s.w.t..
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat sekalian alam. (Surah Al-Anbiya' : 107 )
Akidah Islam menyeru sekalian manusia supaya beriman kepada Allah s.w.t., para malaikat-Nya, kitab-kitab yang diturunkan-Nya, para rasul sebagai utusan-Nya, hari akhirat, dan qada’ dan qadar.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Rasul (Muhammad s.a.w.) beriman dengan apa yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) daripada Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semua beriman kepada Allah, para malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan seorang pun daripada rasul-rasul-Nya. Dan mereka berkata : “Kami dengar dan kami patuh. Ampunilah kami ya Tuhan kami. Kepada-Mu (tempat) kami kembali”.
(Surah Al-Baqarah : 285)
Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Al-Khattab menceritakan pada suatu hari, para sahabat sedang berkumpul bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w., maka malaikat Jibrail a.s datang dalam bentuk seorang lelaki yang sangat kemas rupa paras dan pakaian lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai iman. Lalu, Baginda s.a.w. bersabda :
“Iman ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan hari akhirat. Dan kamu beriman dengan qada’ yang baik dan buruk (qada’ dan qadar).”
Hadis ini panjang dan sangat masyhur di kalangan awam. Di sini dibawakan sepotong daripadanya berkenaan dengan pertanyaan iman.
Maksudnya : (Jibrail dalam keadaan rupa paras manusia bertanya kepada Nabi): “Katakanlah kepadaku tentang iman”. Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : “Hendaklah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan hari akhirat. Dan kamu beriman dengan qada’ yang baik dan buruk (qada’ dan qadar).
Akidah Islam merupakan suatu kepercayaan yang membina bukannya untuk membinasakan manusia. Akidah ini juga menyeru manusia untuk bersatu dan tidak berpecah belah. Malah, akidah ini langsung tidak mengajar atau menyuruh manusia untuk membeza-bezakan di antara para rasul yang diutuskan. Umat Islam tidak disuruh untuk hanya beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. sahaja tanpa para rasul yang lain. Bahkan, akidah ini (akidah Islam) menyeru manusia untuk beriman dengan setiap utusan Allah s.a.w yang diutuskan tanpa ada sebarang pengecualian walau satu.
Bukanlah yang dimaksudkan dengan beriman dengan kesemua utusan Allah s.w.t. ialah dengan kita menghafal nama-nama mereka satu persatu, akan tetapi yang dimaksudkan dengan beriman dengan semua para rasul ialah kita meyakini dan tidak menafikan kerasulan mereka yang dibangkit oleh Allah s.w.t. di muka bumi ini untuk menyebar akidah yang membawa kepada maksud mengesakan tuhan iaitu Allah s.w.t.. Berbeza dengan agama Kristian, penganut-penganut mereka hanya beriman dengan kenabian Nabi Isa a.s. namun dalam masa yang sama menafikan sifat kenabian yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan yang terakhir.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: (Orang-orang beriman berkata): “kami tidak membezakan seorang pun daripada rasul-rasul-Nya.” (surah Al-Baqarah : 285)
No comments:
Post a Comment