Tuesday, April 13, 2010

Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 10)




Perkara-perkara Penting Yang Perlu Diperhatikan


Dalam bahagian ini, dibentangkan beberapa perkara yang berkait rapat dengan jenayah murtad dan perlu dipandang serius sebagai langkah pencegahan sebelum merebaknya dengan lebih parah.


Pertama : TUDUHAN ATAU DAKWAAN MURTAD KE ATAS INDIVIDU ISLAM TERTENTU.


Perkara ini perlu dijaga supaya tidak menjadi mainan mulut di kalangan umum kerana akan menjerumus kepada bahana bencana yang dahsyat (fitnah dan kafir mengkafirkan antara satu sama lain) seterusnya mengakibatkan tercetusnya perpecahan dan permusuhan. Sebagaimana yang kita maklumi, jenayah murtad membawa kepada perpecahan dari segenap sudut samada dalam kekeluargaan dan masyarakat.


Perpecahan dalam keluarga ini melibatkan hubungan di antara suami, isteri dan anak. Tidak halal bagi wanita Islam untuk berada di bawah naungan suami yang kafir. Begitu juga anak-anak yang Islam, tidak dikira aman jika berada di bawah asuhan ibu atau bapa yang kafir. Lebih-lebih lagi, perkara ini akan menjadi rumit terhadap hukuman ke atas harta benda perkongsian bersama sebagaimana mengikut ijma' para ulama'.


Atas kepentingan perkara ini, langkah berjaga-jaga perlu diambil ketika menjatuhkan hukuman ke atas dakwaan yang mengkafirkan seseorang muslim (menafikan keislaman seseorang seperti mendakwa seseorang muslim telah murtad) yang masih lagi diyakini akan keislamannya. Dalam Islam terdapat kaedah yang telah digaris panduankan iaitu 'sesuatu keyakinan tidak akan hilang disebabkan oleh sesuatu yang hanya syak'. Maksudnya seseorang muslim yang diyakini lagi akan keislamannya tidak boleh dikatakan murtad semata-mata kerana syak akan keislamannya.


Kedua : MENENTUKAN SIAPA YANG BENAR-BENAR LAYAK UNTUK MENJATUHKAN HUKUMAN.


Orang yang benar-benar layak untuk menjatuhkan hukuman bahawa telah kafirnya seseorang muslim tersebut ialah orang yang benar-benar mempunyai ilmu yang mendalam dan berkaitan dengan permasalahan ini, malah individu tersebut mempunyai kelebihan iaitu orang yang dapat membezakan antara perkara yang qat’ie dan zanni, hukuman yang jelas dan hukuman yang samar-samar, dan dapat menentukan di antara perkara yang boleh diterima takwilan atau tidak.


Hukuman tidaklah dijatuhkan ke atas individu muslim sehingga terbukti padanya beberapa bukti dan kenyataan yang jelas lagi terang. Misalnya, individu muslim tersebut mengingkari dan tidak mempercayai perkara-perkara yang dhoruri di dalam Islam seperti menafikan bahawa solat 5 waktu itu wajib. Ataupun individu muslim tersebut mempermain-mainkan akidah dan syariat seperti mencaci Allah, rasul-Nya dan kitab-Nya (Al-Quran).


Contoh yang boleh dibawa berdasarkan keterangan di atas sebagaimana realiti yang pernah berlaku ialah para ulama’ bersepakat dengan mengatakan Salman Rushdi telah jatuh kufur. Hal ini demikian kerana dia telah mempertikaikan sunnah (hadis Rasulullah s.a.w.) dan tidak mempercayainya. Kemudian, tidak mempercayai 2 ayat Al-Quran pada akhir Surah At-Taubah. Kemuncaknya, beliau mengaku bahawa dirinya (Salman Rushdi) merupakan utusan Allah dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. merupakan penutup segala nabi, bukan penutup bagi rasul. Keterlampauan Salman Rushdi telah sampai kemuncaknya. Ulama’-ulama’ antarabangsa telah bersepakat dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Salman Rushdi telah kufur!


Tidak seharusnya meninggalkan ruang seperti perkara yang disebutkan tadi (mengenai Salman Rushdi) kerana golongan yang melampau dan golongan yang cetek ilmu akan mengambil kesempatan untuk bercakap mengenai Allah sedangkan mereka tidak tahu. Mereka akan bercakap mengenai rasul dan Islam, sedangkan mereka jahil. Perkara sebegini merupakan perkara yang sangat bahaya dan akan menjerat orang awam yang tidak tahu apa-apa untuk turut sekali. Banyak perkara sebegini yang telah kita dengar pada hari ini. Inilah golongan sesat[1], yang menyeleweng daripada landasan yang asal, iaitu Islam.


Ketiga : PIHAK YANG LAYAK UNTUK MENJALANKAN HUKUMAN


Orang yang layak untuk menjalankan hukuman terhadap jenayah murtad selepas terbuktinya individu tersebut telah murtad ialah pihak berkuasa. Tidak kiralah apa sahaja nama yang dipakai pada pihak berkuasa samada presiden, raja mahupun perdana menteri. Hanya pihak berkuasa ini yang layak untuk menjalankan hukuman tersebut. Orang awam tidak dibolehkan untuk menjalankan hukuman ini secara berindividu mahupun berkumpulan tanpa ada kebenaran daripada pihak yang berkuasa kerana akan menimbulkan kekacauan dan kekecohan.

Maka, pihak yang berkuasa perlulah menjalankan hukuman yang menepati intipati 2 masdar (rujukan) utama dalam Islam iaitu kitab (Al-Quran) dan sunnah. Kedua-dua masdar ini hendaklah menjadi tempat rujukan dan panduan dalam kehidupan muslim daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara kerana Islam itu meliputi dan menyeluruh.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Maka jika kamu berlainan (berselisih) pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah An-Nisa' : 59)


Perkara yang perlu diketahui ialah setiap qadhi atau orang yang layak untuk menjalankan hukuman tersebut hendaklah daripada kalangan ahli ijtihad (alim ulama’). Sekiranya tidak ada pihak berkuasa yang terdiri daripada kalangan alim ulama’, hendaklah ia mendapatkan pertolongan daripada alim ulama’ supaya hukum yang dijalankan mengikut nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya mengikut hawa nafsu. Hal ini demikian kerana orang yang berilmu (alim dalam agama) adalah orang yang sebenar-benarnya yang takut pada Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Hanyasanya yang akan takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah ulama'. (Surah Fatir : 28 )


Perlunya qadhi atau pihak berkuasa yang jahil untuk berdampingan dengan para ulama’, kerana qadhi yang jahil akan memberikan fatwa dan menjalankan hukuman mengikut hawa nafsu. Qadhi atau pihak berkuasa yang menjalankan sesuatu hukuman yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-sunnah dan membelakangi kata-kata ulama’ merupakan qadhi daripada kalangan ahli neraka sebagaimana yang terdapat dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w..


Keempat : CARA PELAKSANAAN HUKUMAN


Jumhur ulama’ telah bersepakat bahawa wajib menasihati orang yang telah murtad untuk bertaubat sebelum menjatuhkan hukuman bunuh. Malah wajibnya menasihati orang yang telah murtad merupakan ijma’ para sahabat. Kesimpulannya, wajib menasihati dahulu orang yang telah murtad. Jika enggan barulah dijalankan hukuman bunuh. Tidak ada perselisihan lagi pada wajibnya menasihati untuk bertaubat, yang menjadi perselisihan para ulama’ ialah had atau tempoh yang diperuntukkan kepada orang yang murtad untuk bertaubat.


Sebahagian mengatakan 3 hari. Ada yang mengatakan kurang daripada 3 hari, ada yang mengatakan lebih. Ada juga pendapat yang mengatakan selama-lamanya, dan dikecualikan kafir zindik. Hal ini demikian kerana kafir zindik ialah golongan yang telah jelas kekufurannya, tidak ada keraguan lagi. Maka tidak ada peluang baginya untuk bertaubat. Begitu juga orang yang telah mencaci dan menghina Rasulullah s.a.w., kehoramatan dan kesucian baginda. Maka, tidak ada peluang padanya untuk bertaubat.


Yang dimaksudkan menasihati dengan memberi peluang kepada individu murtad untuk bertaubat ialah memberikan satu tempoh untuk mereka berfikir kembali dan merenung mengenai jenayah murtad itu dengan menghilangkan segala keraguan serta memberikan hujah-hujah yang jelas mengenai kesucian agama Islam agar mereka boleh berfikir sendiri untuk menerima atau tidak.


Ada di kalangan ulama’ pada masa kini yang menyatakan bahawa taubat orang murtad yang kita terima ialah taubat yang segi zahir. Dari segi batinnya, samada orang murtad itu telah benar-benar taubat atau tidak, maka hanya Allah s.w.t. yang mampu menilainya. Sebagai manusia biasa, kita tidak mampu untuk menghukum perkara batin manusia.


Kita disuruh untuk menghukum manusia mengikut yang zahir kerana hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu perkara ghaib dan yang tersembunyi. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. ada menyebut “sesiapa yang menyebut 2 kalimah syahadah maka darah dan hartanya akan dipelihara, maka perhitungan yang sebenar adalah kepada Allah s.w.t.” Iaitu hanya Allah s.w.t. dapat menghitung segala yang tersirat pada hati seseorang individu.


Maka, keempat-empat perkara di atas yang perlu diambil perhatian ialah mengenai pemberian hak secara umum ke atas individu tertentu untuk menjatuhkan dakwaan bahawa murtadnya seseorang muslim. Kemudian, melaksanakan hukuman yang telah ditetapkan ke atas jenayah murtad iaitu bunuh akan membawa kepada suatu insiden yang sangat bahaya kepada darah, harta benda dan maruah seseorang.


Pemberian hak secara umum kepada setiap individu akan menyebabkan individu yang bukan daripada kalangan orang yang berilmu, bukan ahli mufti (orang yang layak untuk mengeluarkan fatwa) dan bukan orang yang berkuasa akan bertindak sewenang-wenangnya dalam menghukumkan seseorang telah murtad secara bebas dan menjalankan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad. Hal ini akan membawa kepada kekecohan dan bahaya yang sangat besar.


Disebabkan perkara ini, keempat-empat perkara yang telah dinyatakan perlu diambil perhatian yang serius agar hukuman yang dijatuhkan bertepatan dengan nas-nas syar’ie dalam keadaan adil dan saksama.


[1] Seperti Ayah Pin dan lain-lain lagi yang berlaku di Malaysia.

1 comment:

  1. salam ziarah:)

    hmmm maklumat berguna about this issue. Dan dalam menjatuhkan hukuman perlu berlandaskan iman, taqwa,ilmu dan kefahaman bukan berlandaskan emosi atau sebarang kepentingan peribadi yang negatif. Semoga Allah melindungi kita dari jenayah murtad ini... amiin

    ReplyDelete



Related Posts with Thumbnails