Pelaksanaan Undang-Undang Selain Undang-Undang Allah s.w.t.
Sesiapa yang tidak mengendahkan ayat-ayat Allah s.w.t. yang jelas mengenai kehakiman dan undang-undang yang perlu dilaksanakan, malah menutup telinganya daripada mendengar ayat-ayat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. ke atasnya dengan mencipta undang-undang sendiri (menurut hawa nafsunya), mencari nilai kehidupan, perjalanan kehidupan, ikutan dan sistem kehidupan selain daripada jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w., malah meredhai dengan sistem-sistem yang dicipta oleh falsafah barat dan timur, atau mereka yang bergelar ulama’ dan hakim di sisi mereka, maka sebenarnya mereka telah melawan dan menentang Allah s.w.t..
Bahkan mereka telah menjadikan Allah s.w.t. dan rasul-Nya sebagai musuh mereka. Mereka telah tersasar daripada jalan agama sebagaimana tersasarnya anak panah ketika memanah. Jadi, tidak peliklah jika golongan yang tidak mengambil hukum-hakam Allah s.w.t. sebagai undang-undang kehidupan, mereka akan memerintah dalam keadaan yang zalim, fasik dan kufur. Perkara sebegini telah pun dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya :
Maksudnya : Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maidah : 44)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Maidah : 45)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. (Surah Al-Maidah : 47)
Ketiga ayat-ayat tadi merupakan ayat yang berturutan di dalam surah yang sama. Ini menunjukkan penggunaan lafaz di dalam ketiga-tiga ayat tersebut mempunyai makna yang hampir serupa. Malah hal ini jelaskan lagi oleh Allah s.w.t. di dalam ayat yang lain.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah : 254)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
(Surah An-Nur : 55)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang-orang kafir. (Surah Al-Ankabut : 47)
Oleh yang demikian, fasik merupakan perkara yang berlainan dengan iman. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini mengenai perbezaan perwatakan dan perihal di antara orang mukmin dan orang fasik di dalam melaksanakan undang-undang Allah s.w.t..
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman. (Surah Al-Hujurat : 11)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka tidak sama. (Surah As-Sajadah : 18)
Malah jika ditinjau kembali mengenai kisah Iblis ketika mana enggan melaksanakan suruhan Allah s.w.t. untuk sujud kepada Adam a.s., Allah telah menggelar Iblis sebagai makhluk yang sombong lagi takabbur dan terdiri daripada golongan yang ingkar (disebabkan iblis enggan mematuhi suruhan Allah untuk sujud kepada Adam a.s..)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dia (iblis) enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (Surah Al-Baqarah : 34)
Di dalam ayat yang lain pula, firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dia (iblis) adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya.
(Surah Al-Kahfi : 50)
Telah jelas melalui ayat-ayat di atas, sesiapa yang tidak berhukumkan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t., maka dirinya tergolong di antara golongan-golongan yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas samada golongan yang ingkar (kufur), zalim, fasik, atau ketiga-tiganya.
Ditanya, jika seseorang tersebut enggan menjalankan hukum Allah s.w.t. dan tergolong di dalam golongan yang kufur, maka adakah kufur tersebut merupakan kufur akbar yang telah menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama Allah s.w.t. atau hanya kufur asghar yang hanya menjurumuskan dirinya ke lembah dosa tanpa menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama Allah s.w.t.?
Ini adalah khilaf atau perselisihan yang berlaku mengikut perihal individu dan pendirian seseorang tersebut. Jika seseorang tidak melaksanakan hukum Allah dan dalam masa yang sama dia masih beriktikad (mempercayai) hukum tersebut merupakan hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t., maka dirinya telah melakukan maksiat berdosa kepada Allah s.w.t. kerana tidak mengikut suruhan Allah s.w.t. semata-mata mengikut hawa nafsunya. Individu yang sebegini hendaklah bertaubat dan meminta ampun daripada Allah s.w.t.. Jika berlaku perihal begini maka sesungguhnya individu tersebut tergolong di dalam golongan kufur asghar yang tidak menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama.
Akan tetapi jika seseorang yang tidak melaksanakan hukum Allah s.w.t. kerana meringan-ringankan dan mempermainkan hukum Allah s.w.t., maka sesungguhnya dia telah melakukan kufur akbar yang telah menyebabkan dirinya terkeluar daripada agama. Begitu juga bagi seseorang yang menganggap bahawa hukum Allah s.w.t. seperti hudud merupakan hukum yang kolot, kuno dan mundur, dalam masa yang sama menganggap bahawa undang-undang rekaan manusia lebih maju dan mengikut peredaran zaman serta memberikan kebaikan kepada masyarakat dan membela hidup mereka.
Terdapat penyelewengan yang besar telah dilakukan oleh sesetengah individu dalam menafsir 3 ayat sebelum ini dengan mengatakan bahawa 3 ayat tersebut diturunkan khusus kepada golongan ahli kitab daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani sahaja. Golongan tersebut telah melakukan kezaliman dan penyelewengan dalam pentafsiran kerana 3 ayat yang diturunkan tersebut diturunkan dengan lafaz yang umum yakni meliputi seluruh individu tidak kira dari kalangan ahli kitab mahupun orang-orang Islam. Dalilnya pada lafaz ‘اولئك ‘ . maka lafaz tersebut merupakan lafaz yang umum dan bukannya lafaz yang khusus.
Begitulah yang telah diterangkan oleh para ulama Islam bagi menyangkal penyelewengan tersebut. Dan sememangnya lafaz tersebut ditujukan kepada ahli kitab pada permulaannya kerana mereka telah meletakkan kitab Allah s.w.t. di belakang punggung mereka yakni tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t. yang terdapat di dalam kitab. Kemudian lafaz tersebut ditujukan kepada kaum muslimin yang menjadikan kitab Allah s.w.t. sebagai mainan hawa nafsu dan mengambil benda lain daripada kitab Allah sebagai perundangan dan perlembangan dalam kehidupan mereka.
Maka apakah faedahnya jika disebut atau diceritakan ayat-ayat tersebut hanya mengenai perbuatan ahli kitab sekiranya ayat-ayat tersebut tidak menjadi ancaman dan peringatan bagi kaum muslimin yang melakukan perbuatan tercela serupa dengan perbuatan ahli kitab yang mengambil undang-undang selain daripada hukum atau syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t..
Sekiranya kaum muslimin melakukan perbuatan yang dilakukan oleh ahli kitab, maka mereka tersebut juga digelar atau disifatkan sebagaimana ahli kitab tersebut. Mereka akan tergolong di kalangan yang sama. Mereka akan merasai azab seksaan daripada Allah s.w.t. atas perbuatan tercela yang mereka lakukan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah ia. (Surah Toha : 81)
Sekiranya hukum-hukum dan syariat yang terdapat di dalam kitab yang dibawakan oleh rasul-Nya tidak wajib untuk diikuti, maka apakah faedah Allah s.w.t. menurunkan kitab dan mengutuskan rasul kepada sekalian manusia sekiranya adalah hak bagi manusia samada untuk menolak atau mengikuti isi kandungan kitab tersebut dan mengingkari para rasul? Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman :
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu. (Surah An-Nisa' : 105)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. (Surah An-Nisa' : 64)
Seterusnya Allah s.w.t. berfirman kepada rasul-Nya sebagaimana yang tercatat di dalam Al-Quran, firman Allah s.w.t. :
Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian [421] terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. (Surah Al-Maidah : 48)
Firman Allah s.w.t. di dalam ayat yang seterusnya :
Maksudnya : Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?
(Surah Al-Maidah : 49-50 )
Berdasarkan penjelasan kepada ayat-ayat di atas, maka dapat diketahui bahawa hanya ada 2 sahaja hukum (perundangan dan kehakiman dalam kehidupan), tidak ada yang ketiga mahupun yang keempat. Hanya 2 sahaja, samada berhukum dengan hukum Islam atau hukum jahiliyah yakni toghut.
Maka tidak dapat lari dalam kehidupan manusia, sekiranya manusia memilih untuk melaksanakan hukum Allah s.w.t., maka secara dasarnya manusia telah menolak dan membuang hukum toghut, begitulah juga sebaliknya. Maka, pilihlah di antara keduanya. Samada mereka memilih hukum Islam iaitu hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. atau manusia memilih hukum selain daripada hukum Allah s.w.t iaitu berhukum dengan hukum toghut. Tidak ada selain daripadanya. Tidak ada yang berada di tengah-tengah.
Adapun bagi kaum yang beriman, maka tidak ada pilihan lain yang mereka akan memilih selain berada pada jalan yang mengambil hukum Allah s.w.t. untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka. Mereka bersama dengan Islam. Mereka akan bangun menentang kejahilan dan toghut. Sesungguhnya syiar mereka ialah apabila mereka diseru kepada (perkara yang menuju keredhaan dan kecintaan) Allah s.w.t. dan rasul-Nya maka mereka akan mengatakan : "kami dengar dan kami patuh".
Bagi kaum yang kufur pula adalah sebaliknya. Mereka mengambil hukum toghut sebagai panduan hidup mereka. Mereka hidup dalam kegelapan kejahilan dan kesesatan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-Baqarah : 257)
2 Perkara Penting
Pertama : Hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. merupakan kewajipan untuk setiap orang Islam berhukum dengannya tanpa ada pengecualian walaupun seorang. Itulah perundangan syarak dalam segenap aspek kehidupan samada dalam konteks suruhan, larangan, penghalalan, pengharaman dan semua bentuk taklifan ke atas setiap makhluk.
Ada juga sesetengah pihak yang terkeliru dengan hukum syarak begini dengan beranggapan bahawa perundangan dengan hukum syarak pada hari ini adalah rekaan dan ciptaan manusia iaitu mereka yang terkeliru dan mendakwa bahawa perundangan yang terdapat di dalam hukum syarak ini bukanlah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. malah ia adalah hasil nukilan para ulama' fiqh dan usul fiqh.
Dakwaan dan keraguan ini merupakan satu masalah yang telah berlaku pada zaman dahulu dan ia telah diperbahaskan dan perbincangkan dengan panjang lebar oleh para ahli usul fiqh di dalam tajuk ‘al-hukm’ dalam muqaddimah ilmu usul fiqh dan tajuk ‘al-hakim’, siapakah dia?
Kesemua mereka (tanpa ada pengecualian) bersepakat mengatakan bahawa al-hakim ialah Allah s.w.t. Yang Maha Esa iaitu Pemilik hukum syarak, malah kenyataan ini turut disokong oleh para ulama sehinggakan golongan Muktazilah juga tidak membantah akan perkara tersebut malah mereka sendiri bersepakat sebagaimana Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam kitab Al-Mustasfa yang merupakan salah satu kitab usul fiqh yang masyhur.
Dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah kuat menyokong pendapat ini, malah ia dinyatakan dengan jelas dan terang tanpa ada keraguan walau sedikit. Dan dalam perenggan sebelum ini, telah dijelaskan sebahagiannya melalui firman Allah s.w.t..
Kedua : Sistem perundangan yang diturunkan oleh Allah s.w.t. merupakan satu sistem perundangan yang sempurna yang meliputi setiap zaman dan tempat. Malah hukum Allah s.w.t. sesuai untuk sepanjang zaman sehingga hari kiamat. Tidak ada hukum Allah s.w.t. yang kolot dengan kehidupan manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran.
Hakikatnya, di sana ada ruang yang khas untuk manusia, khususnya bagi orang yang pandai dengan ilmu agama untuk berfikir berkenaan dengan nas-nas agama dalam mengeluarkan dan mensabitkan hukum-hukum yang tidak terdapat pada zaman mereka. Satu ruang yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada para ulama' dalam mengadaptasikan hukum Allah s.w.t. mengikut tuntutan dan keadaan yang berlaku di sekitar zaman mereka yang belum pernah berlaku di zaman sebelum mereka.
Allah s.w.t. memberikan manusia ruangan untuk berfikir dengan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. menurut panduan syarak. Di sana ada satu ruang yang sangat luas yang sengaja ditinggal oleh syarak bukan kerana terlupa tetapi mempunyai tujuan-tujuan yang tertentu. Malah merupakan rahmat bagi manusia. Maka dalam ruang lingkup inilah akal orang Islam akan berfungsi, berusaha menyelesaikan sesuatu masalah atau hukum mengikut saluran nas-nas yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t..
No comments:
Post a Comment