Saturday, November 20, 2010

Khutbah Raya : Pengorbanan Mengajar Erti Taat Setia Dan Akidah Yang Mantap



KAHERAH, 19 Nov -
Khutbah raya yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman pada 16 November yang lalu menekankan beberapa aspek penting dan intipati dalam pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim AS. Beliau menegaskan dalam khutbahnya bahawa intipati yang utama dalam pengorbanan adalah nilai taat setia yang tidak berbelah bahagi lagi.


Hal ini dapat dilihat terhadap Nabi Ibrahim AS sebaik sahaja menerima perintah daripada Allah SWT. Nabi Ibrahim AS tidak pernah merungut atau meminta agar suruhan tersebut diberikan pilihan yang lain walaupun perintah yang diberikan adalah sangat berat jika dinilai. Bahkan perintah yang diberikan bukan hanya sekali sewaktu bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, namun sejak Nabi Ismail AS masih kecil, Allah SWT telah pun memerintahkan Nabi Ibrahim AS agar meletakkan Nabi Ismail AS beserta isteri baginda, Siti Hajar ke Mekkah, yang mana pada waktu itu tidak ada seorang manusia pun yang hidup di sana, hanya tanah yang kering kontang sahaja.

Namun atas taat setia kepada perintah Allah, semua perintah yang diturunkan dijalankan dengan sebaiknya. Ini adalah contoh yang terbaik menjadi panduan kepada umat Islam pada hari ini. Nilai taat setia adalah eleman utama dalam menjalankan sesebuah perintah walaupun ia sangat berat.

"Nilai taat setia inilah yang menjadi pemangkin keberjayaan bagi satu-satunya perintah yang dikeluarkan. Tanpa nilai taat dan setia mana mungkin perintah itu mampu dilaksanakan dengan baik bagi menghasilkan sesebuah pengorbanan," tegas Saudara Zuhaili Saiman di dalam khutbahnya.

Selain itu, di dalam khutbah yang kedua, beliau lebih menekankan aspek tauhid yang mantap ekoran pengajaran yang terdapat di dalam sirah Nabi Muhammad SAW berkenaan Haji Akbar yang dilaksanakan oleh baginda SAW pada tahun 9 Hijrah. Aspek akidah adalah asas bagi seseorang menlaksanakan sesebuah pengorbanan yang suci tanpa disebabkan unsur-unsur luar yang lain.

Sehubungan itu beliau merakamkan kembali apa yang telah disebut oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi mengenai dengan asas akidah bagi umat Islam. Dr Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa punca utama kemurtadan dan masalah umat Islam adalah akidah yang rapuh dan goyang.

"Ramai umat Islam yang solat, zakat dan haji, namun dalam masa yang sama mereka mencuri, melakukan maksiat dan memakan harta secara batil. Hal ini demikian mereka hanya menyembah Allah, akan tetapi mereka tidak nampak bahawa Allah merupakan pemutus hukuman dan sistem kehiudpan. Disebabkan itu, mereka berani melakukan maksiat kerana tidak takut akan hukuman daripada Allah," jelas Saudara Zuhaili Saiman dengan tegas.

"Mengapa mereka yang diugut zakat, dihalau daripada tempat kediaman takut untuk memperjuangkan perkara yang hak?Adakah mereka tidak menganggap Allah sebagai tempat berlindung?Adakah mereka meminta rezeki kepada manusia?," tambah beliau yang mempersoalkan integriti mahasiswa Islam sekarang.

Dan di akhir khutbah beliau menyeru dan mengajak semua muslimin dan muslimat agar memutik kembali nilai taat setia dalam melaksanakan sebuah perintah bagi mmperkasakan gerak kerja untuk Islam. Beliau juga mengingatkan kepada semua agar mempertahankan integriti sebagai mahasiswa Islam, jangan mudah dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

sumber asli : pmram.org

Friday, November 19, 2010

Tafaqquh Tidak Sempurna Dengan Memahami Hukum Semata-mata - Timbalan Presiden



KAHERAH, 19 Nov -
Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman di dalam khutbahnya pada Hari Raya Eidil Adha mengajak kembali seluruh mahasiswa/wi Islam memahami secara betul akan kehendak tafaqquh yang digarapkan oleh Islam.


Hal ini berikutan masih lagi wujud segelintir pihak yang menyalah erti akan kehendak sebenar tafaqquh itu sendiri sehingga mendatangkan beberapa masalah.

Dalam khutbah beliau itu, beliau turut membidas kenyataan segelintir pihak yang hanya 'mewajibkan' pendidikan kuliah dan kitab turath semata-mata tanpa melibatkan diri dengan kerja-kerja Islam melalui medium persatuan yang sedia ada iaitu PMRAM.

"Mesti ingat bahawa konsep tafaqquh menekankan 2 eleman yang saling melengkapi iaitu memahami hukum di dalam Islam dan melaksanakan tuntutan dan hak sebagaimana yang diseru oleh Islam. Ramai yang tahu hukum itu dan hukum ini, tetapi tidak ramai yang bangkit melaksanakan tuntutan dan hak di dalam Islam," jelas beliau.

"Sebab itu kita lihat integriti mahasiswa Islam kini tercalar ekoran tidak memahami konsep tafaqquh yang sebenar. Mereka tahu mempertahankan hak dan maruah itu wajib, namun tidak bertindak," tambah beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan semua bahawa di dalam Islam itu sendiri terdapat Maqasid Syariah yang menekankan konsep hak dan maruah yang dituntut untuk dipertahankan, iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Disebabkan hilang penguasaan dan keberanian di dalam diri mahasiswa Islam, integriti semakin hilang. Justeru, menjadi satu tanggungjawab bersama dalam memastikan maruah yang kian tercalar itu dipulihkan kembali.

Di akhir khutbahnya, beliau menyeru semua hadirin agar memastikan sama-sama berperanan dalam memastikan pembawakan PMRAM dari konteks kebajikan, pendidikan dan agenda Islam amnya berjaya dilaksanakan bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat atasan.

Sumber asli : pmram.org

Thursday, November 11, 2010

DPM Tanta & Shibin El-Kom Tuan Rumah Bagi Konvensyen DPM Ke-IV


KAHERAH, 10 Nov - Antara 3 Resolusi Tindakan yang terhasil daripada Konvensyen PMRAM pada 3 November lepas ialah mengadakan Konvensyen DPM ke-IV. Ia bertujuan bagi membincangkan lagi susulan mengenai permasalahan isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah yang berkait rapat dengan survival masa depan DPM.

Sehubungan itu, Konvensyen DPM ke-IV yang dirancang pada sesi 2011 akan dilaksanakan di muhafazah Tanta dengan menjadikan DPM Tanta & Shibin El-Kom sebagai tuan rumah.

Pemilihan tuan rumah bagi Konvensyen DPM ke-IV tersebut merupakan hasil perbincangan antara semua Pengerusi DPM bersama-sama dengan Ketua & Unit Muhafazah PMRAM pada 7 November lalu, Hari Ahad.

Konvensyen terakhir yang dijalankan adalah pada tahun 2007 yang lepas di muhafazah Mansurah. Bahkan sebelum ini Konvensyen DPM ke-II yang dijalankan pada tahun 1998 turut juga berlangsung di muhafazah Mansurah, begutu juga dengan Konvensyen DPM pertama yang dibakalkan pada tahun 1995 yang dijadualkan sepatutnya berlangsung di muhazafah Mansurah.

Konvensyen yang bakal diadakan ini bakal membincangkan beberapa agenda khusus berkaitan dengan DPM bagi merancang dan memperkasakan DPM di bawah kesatuan PMRAM di masa hadapan.

Naib Presiden II, merangkap Ketua Lajnah Muhafazah, Saudara Azlan Haji Alias menyifatkan bahawa KOnvensyen DPM ke-IV ini merupakan satu agneda yang sangat besar dan penting dalam merangkan survival DPM di masa hadapan lebih-lebih lagi apabila pada tahun ini, mahasiswa/wi baru di pusatkan di Kaherah.

Bahkan beliau turut mengingatkan semua mahasiswa/wi agar tidak kalut dan lari fokus terutama dalam tempoh peperiksaan ini mengenai masalah yang berlaku.

Mengenai meklumat lanjut berkaitan dengan Konvensyen DPM ke-IV akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sumber asli : pmram.org

Monday, November 8, 2010

13 November 2000 : Peraturan ARMA 1971 & 1986 Adalah Sah



Dalam mengenali ARMA, kronologi rentetan perjuangan terhadap kebenaran ARMA melalui bukti dan fakta bertarikh mesti diketahui. Antara bukti kuat PMRAM masih lagi mempunyai hak milik ke atas keistimewaan yang diberikan di anjung ARMA sebagai pejabat beroperasi selain keistimewaan yang lain, adalah melalui peraturan ARMA 1971 & 1986 yang dipersetujui bersama oleh Duta, Pengarah JPMK dan Yang Di-Pertua PMRAM ketika itu.


Peraturan inilah bukti yang tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi yang cuba menafikannya dengan cara menyelewengkan fakta sejarah yang berlaku.

Peraturan ARMA 1971 & 1986 memperuntukkan keistimewaan kepada PMRAM adalah :

- Fasal 1 (pendahuluan), ceraian 1.3 : Tapak bangunan ini adalah diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

- ceraian 1.6 : Anjung tingkat bawah asrama ini adalah dikhaskan sebagai pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

- Bab 2, ceraian 2.3 : Dasar Pentadbiran Asrama ini diputuskan oleh sebuah jawatankuasa, terdiri daripada :- Pengarah JPM (Pengerusi), Penyelia Asrama (Setiausaha), Pegawai Kebajikan (II) JPM, Juruwati Asrama dan Tiga Orang Wakil PMRAM.

Justeru, mesti difahami selepas pengusiran dan penafian hak ke atas PMRAm di ARMA, segala usaha yang dilakukan oleh PMRAM adalah semata-mata untuk menuntut 3 perkara yang telah disebutkan dalam ceraian-ceraian Peraturan ARMA di atas iaitu hakikat tanah atas jasa ahli-ahli PMRAM, anjung ARMA dan penglibatan 3 wakil PMRAM sebagai jawatankuasa penggubal undang-undang dan peraturan bagi ARMA.

Sejak tahun 1999 lagi, keistimewaan ini cuba dihapuskan oleh pihak KBMK apabila undang-undang yang digubal tidak melibatkan 3 wakil PMRAM.Sebab itu tidak pelik sekiranya pada zaman sekarang masih lagi terdapat pihak-pihak tertentu yang menafikan penglibatan PMRAM bahkan turut mengatakan tanah seluas 2122 meter persegi tersebut adalah hadiah secara langsung daripada kerajaan Mesir kepada Malaysia!

Perlu dinyatakan bahawa PMRAM tidak menuntut apa-apa selain daripada anjung ARMA yang dijanjikan sebagai pejabat beroperasi bagi PMRAM, penglibatan 3 wakil PMRAM dalam penggubalan dasar dan hakikat tanah tersebut yang dihadiahkan oleh kerajaan Mesir kepada PMRAM (PMM nama dahulu).

Berhubung hak pemilikan tanah, PMRAM mengiktiraf bahawa nama pemilik yang tercatat pada geran tanah itu pada masa kini ialah Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia), akan tetapi PMRAM tetap memiliki keistimewaan sebagai tuan tanah yanga asal kerana adalah hasil perjuangan PMRAM dengan sokongan pelbagai pihak tanpa meilbatkan kerajaan Malaysia.

Pindaan nama itu dibuat oleh PMRAM hanya semata-mata bertujuan mematuhi protokol bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan bantuan kewangan sebanyak RM 250 000 yang telah dijanjikan. Perkara ini berlaku pada tahun 1959 apabila Tan Sri Khir Johari yang datang ke Mesir sebagai Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa wang peruntukan tersebut tidak dapat dikeluarkan melainkan setelah nama tanah itu ditukar kepada nama Persekutuan Tanah Melayu.

Justeru, mengenai dengan Peraturan ARMA 1971 & 1986 tersebut, ia turut diperakui oleh Duta Malaysia pada 13 November 2000 dalam satu mesyuarat yang melibatkan bersama Badan Pengurus PMRAM antaranya ialah Presiden PMRAM, Saudara Nizam Mohd Noh, Ketua Penasihat, Saudara Anhar Opir, Penasihat, Saudara Azhar Yahya, Badan Pengurus, Saudara Ahmad Arif Mohd Arshad, Saudara Hasri Hassan dan Saudara Muhidir Tamjis.

Kesimpulannya, dengan perakuan tersebut ia lebih menyokong akan tuntutan yang dilakukan oleh pihak PMRAM adalah benar dan masih belum tertunai. Ia mesti dituntut sehingga apa yang dimilik sebelum ini oleh pihak PMRAM, dapat digenggam kembali.

Sumber asli : pmram.org

Sunday, November 7, 2010

Jadilah Perintis, Jangan Hanya 'Copy Paste'


Apabila kita diminta melakukan sesuatu dan menjayakan sesuatu misi, maka sepatutnya kita bukan hanya sekadar mengangguk dan wat bulat-bulat akan sebagaimana contoh perancangan. Itu mungking perancangan akan berjaya, tapi tidak puas. Tahap kepuasan bagi seorang pemikir tidak dinikmati.

Seorang pemikir, baginya apa satu benda yang dirasakan nikmat dan puas. Iaitu melihat perancangan yang difikirkan berjaya. Dan dalam masa yang sama ketika menanti akan masa munculnya perancangannya itu, pasti akan terasa berdebar dan teruja. Teruja adakah perancangan yang diimpikan akan menjadi realiti, teruja melihat fantasi bertukar kepada realiti.

So, apabila perancangan yang dilakukan hanya 'copy paste' tanpa mengerah sepenuh otak dan akal yang ada, pastinya tidak muncul perasaan seperti yang dikatakan di atas. Tidak ada rasa teruja dan tidak berasa nikmat apabila perancangan yang dilakukan sudah tamat apatah lagi berasa puas melihat kejayaan yang dirancang.

Sebab itu untuk mengelakkan daripada hanya konsep 'copy paste', pemikiran dan perancangan mesti mengatasi kotak pemikiran iaitu mengatasi lingkungan pengalaman yang lalu. Iaitu pengalaman lepas hanya sekadar panduan dan supaya berwaspada itu ada, namun perancangan mesti lebih daripada yang lepas. Kalo yang lepas tidak mampu, pastikan yang kehadapan mampu. Sekiranya yang lepas, banyak kucar kacir, pastikan perancangan yang kehadapan tidak dibayangi akan ketakutan gagal ekoran kucar kacir yang lepas.

Itu maksudnya...

Pemikir mesti terus berfikir, bukan meniru. Mesti terus mencipta. Menilai sekeliling. Membandingkan suasana yang sesuai. Mencuba menjurus kepada situasi yang lebih menarik bagi meraih peredaran masa. Terus berfikir memberikan yang terbaik. Bukan hanya memberi semata-mata akan tetapi pemberian yang bagaimana orang akan kenang dan puas, itu yang mesti difikirkan.

Justeru, untuk menjadi perintis, mesti memiliki beberapa alat senjata yang asas iaitu :

- memahami sejarah
- mampu menilai akan suasana semasa
- turun ke medan untuk kajian
- berani melaksanakan apa yang lepas tidak mampu
- sanggup merancang 3 sehingga 4 pelan bagi menjayakan perancangan yang dibuat
- berusaha menjadikan konsep 'asal bagi sesuatu perancangan adalah mudah'


Friday, November 5, 2010

Konvensyen PMRAM : "Pimpinan Mesti Kurangkan Berleter, Banyakkan Merancang" -Timbalan Presiden


PDF Print E-mail
zuh li.jpgKAHERAH, 4 Nov - Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menegaskan kepada semua pimpinan di seluruh peringkat Cawangan agar banyakkan merancang dalam menyelesaikan satu-satu masalah, dan kurangkan bercakap banyak tanpa memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Beliau menegaskan perkara tersebut dalam slot Bicara Semasa di Konvensyen PMRAM pada 3 November 2010 di Dewan Solah Abdullah Kamil. Beliau yang mengendalikan slot tersebut mengingatkan para pemimpin untuk memberikan idea berkenaan isu yang dibawa dalam slot tersebut iaitu 2 usul PMRAM dan isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah.

2 isu ini dibawa ke dalam Konvensyen PMRAM bagi memastikan sensitivti pimpinan di peringkat cawangan terus cakna dan sama-sama memikirkan tanggungjawab terus tanpa hanya membiarkan hanya PMRAM Pusat sahaja yang bertindak.

Sehubungan itu, beberapa video yang berkaitan turut ditayangkan bagi menjelaskan agenda yang mesti dimainkan bagi setiap isu.

Dalam slot Bicara Semasa yang bermula pada jam 4.30 petang sehingga 8.30 malam tersebut menyaksikan bahawa pimpinan setiap cawangan terus cakna mengenai isu yang dibawa dan bersama-sama memberikan pandangan dan cadangan bagi tindakan bersama.

Tidak ketinggalan, seorang Exco Mahasiswi dari PMRAM Cawangan Melaka yang menceritakan suasana mahasiswa di Malaysia dan mengharapkan suasana mahasiswa berintegriti turut sama berlaku di Mesir ini.

Kebanyakkan Exco yang bangun menekankan Muzakarah Berkelompok untuk lebih diperkasakan memandang Muzakarah Berkelompok merupakan tunjang utama dalam memantapkan fikrah sebelum dibentuk menjadi acuan dalam membina syaksiah.

Sebelum slot tersebut berakhir, satu persidangan meja bulat antara beberapa pimpinan PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan bagi mencetuskan resolusi tindakan bersama. Sebanyak 3 resolusi tindakan bersama telah dicetuskan dan akan dilaksanakan selepas tamat Konvensyen PMRAM.

Slot Bicara Semasa tersebut diakhiri dengan tayangan video Nostalgia DPM siri 2 bagi mengenang kembali keutuhan kekuatan PMRAM di DPM selama 18 tahun, seawal penubuhan DPM pada tahun 1992.

sumber asli : pmram.org

Konvensyen PMRAM Cetus 3 Resolusi Tindakan


PDF Print E-mail
3 resolusi.jpgKAHERAH, 4 Nov - Hasil perbincangan di antara pihak PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan dalam persidangan meja bulat di Konvensyen PMRAM, 3 Reolusi Tindakan dicetuskan untuk tindakan bersama.

3 Resolusi Tindakan tersebut adalah hasil daripada konsep 3 S yang ditekankan di dalam Konvensyen PMRAM pada tahun ini iaitu sistem, sikap dan sedar.

3 Resolusi Tindakan ini dibacakan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime sambil semua Yang Di-Pertua BKAN dan Pengerusi DPM turut berdiri bersama-sama kepimpinan PMRAM Pusat bagi menggambarkan kebersamaan dalam menjayakan 3 Resolusi Tindakan tersebut.

3 Resolusi Tindakan tersebut ialah :
1- Menyelaraskan silibus Kursus Pengurusan Islam (KPI) di bawah seliaan Jabatan Setiausaha Agung PMRAM
2- Konvensyen DPM kali ke-4 pada tahun 2011
3- Menjayakan draf tindakan bersama secara bersistematik.

"Ia adalah Resolusi Tindakan yang telah diputuskan bersama. Maka semua peringkat mesti bersungguh-sungguh dalam memastikan resolusi ini berjaya dilaksanakan," ujar Timbalan Presiden, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Selain itu, Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime menekankan konsep 3 S dalam amanat emas dalam merasmikan majlis penutup.

"Kita mahu selepas keluar KOnvensyen PMRAM ini, semua pimpinan akan berubah ke arah yang lebih baik dan tersusun. Pastikan sikap sebagai seorang pemimpin akan menjadi lebih baik, kesedaran dalam cakna isu bersama dipertingkatkan dan gerak kerja yang dijalankan lebih bersistematik," tegas beliau.

sumber asli : pmram.org

Konvensyen PMRAM : 2 Aktivis PMRAM Menerima Anugerah Emas


PDF Print E-mail
us faqrur.jpgKAHERAH, 4 Nov - Konvensyen PMRAM menyaksikan satu penganugerahan dan pengiktirafan ke atas 2 Aktivis PMRAM untuk menerima Anugerah Emas.

2 pilihan Aktivis PMRAM tersebut diperbincangkan dan diputuskan bersama dengan Badan Pengurus PMRAM bagi menghargai jasa mereka yang sekian lama dicurahkan dalam memastikan perjuangan Islam terus dijulang.

Majlis Penganugerahan tersebut dikendalikan oleh Naib Presiden II, merangkap Ketua Lajnah Muhafazah, Saudara Azlan Haji Alias. Beliau membacakan perjalanan hidup dan jasa-jasa yang dicurahkan sepanjang keberadaan mereka berada di Mesir ini.

2 Aktivis PMRAM yang terpilih bagi menerima Anugerah Emas tersebut adalah Faqrurrozi Abdullah, Ex-Officio bagi PMC (PMRAM Multimedia Center). Beliau merupakan anak jati Pulau Pinang dan datang ke Mesir pada akhir tahun 2004. Di peringkat BKAN Pulau Pinang, beliau pernah menjadi exco Biro Pendidikan BKPPPM pada sesi 05/06. Kemudian pada sesi 06/07 diamanahkan sebagai Ketua Unit Sambutan Dan Rehlah di peringkat DPM Mansurah. Dan pada sesi 08/09 sehingga kini beliau merupakan AJK Penasihat bagi BKPPPM.

Selain itu beliau mula berkecimpung dalam PMC sejak tahun 2005 sebagai AJK sehingga tahun 2007. Pada tahun 2008 beliau diamanahkan sebagai Ketua Teknikal di dalam PMC sebelum menjadi Pengarah PMC pada tahun 2009.

Dan kini pada tahun 2010, beliau merupakan Ex-Officio dalam PMC malah masih aktif turun bersama-sama PMC dalam melakukan tugas bagi melancarkan program-program di peringkat PMRAM.

Aktivis PMRAM kedua yang menerima Anugerah Emas adalah Wan Mohd Hanif Wan Adnan @ Mohamed yang berasal dari Kelantan. Beliau datang ke Mesir untuk melanjutkan pengajian pada
us hanif kltn.jpg akhir tahun 2005.Beliau pernah menjadi editor bagi buletin utama KPKM pada sesi 05/06. Kemudian pada tahun 07/08 beliau diamanahkan sebaga exco bagi Lajnah Penerbitan KPKM selama satu sesi. Selepas turun daripada exco di peringkat KPM, beliau masih aktif bekerja dalam menyumbangkan tenaga di peringkat KPKM, antara sebagai Setiausaha Kerja 1 bagi Muktamar Sanawi KPKM 08/09 dan Setiausaha Utama bagi Muktamar Sanawi KPKM bagi sesi 09/10. Selain itu beliau juga merupakan setiausaha bagi USMB KPKM bagi sesi 09/10, dan pernah ditugaskan untuk menyeleggara website KPKM bagi sesi 08/09 sehingga 09/10.

Di peringkat PMRAM beliau pernah menjadi AJK Warta PMRAM pada 2007 dan 2009 dalam bahagian reka bentuk. Beliau terus bergiat aktif, pernah menjadi Setiausaha Futsal Piala Presiden PMRAM 2009 dan Unit Komik Al-Fityan 2009.

Pada tahun 2010, beliau sekali lagi memegang amanah di bahagian reka bentuk bagi majalah Warta PMRAM 2010 dan sebagai Ketua Sub bagi PMC di bahagian Grafik dan Video PMRAM 2010.

Selain itu, beliau turut pernah memenangi pertandingan cipta logo rasmi KPKM pada sesi 07/08, logo Ekspo Gempak PMRAM pada 2008 dan 2009, dan memenangi mencipta logo sempena 20 tahun membangun bersama Islam di peringkat kerajaan negeri Kelantan.

Majlis Anugerah Emas itu disampaikan oleh Presiden PMRAM, Saudara shahrizan Mohd Hazime, sambil diiringi oleh Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman kepada 2 Aktivis PMRAM tersebut.

"Setelah menilai dan berbincang dengan Badan Pengurus, maka PMRAM memilih mereka ini melihat kepada jasa yang dicurahkan, sebelum menjadi exco, semasa menjawat jawatan exco dan selepas turun daripada jawatan exco. Mereka bekerja sepanjang masa tanpa mengira masa dan tempoh. Mudah-mudahan ia akan menjadi teladan bagi mahasiswa/wi Islam di Mesir," ujar Pengarah Program, Muhamad Zuhaili Saiman.

sumber asli : pmram.org

Konvensyen PMRAM Bukti Kebersamaan Pimpinan

KAHERAH, 4 Nov - Konvensyen PMRAM yang berlangsung di Dewan Solah Abdullah Kamil semalam berlangsung dengan jayanya. Kehadiran dilaporkan seramai 260 pimpinan daripada seluruh cawangan, Kaherah mahupun muhafazah.

Konvensyen tersebut bermula seawal 7.45 pagi dengan pendaftaran para pimpinan. Perasmian Konvensyen PMRAM bermula pada jam 8.45 pagi dengan bacaan suci ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Nik Saifullah, mahasiswa tahun akhir DPM Shoubra.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan kasih Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman yang juga merangkap Timbalan Presiden PMRAM 2010. Beliau menekankan bahawa objektif Konvensyen PMRAM pada tahun ini adalah untuk menyelaraskan kembali gerak kerja dan objektif bagi setiap gerak kerja di peringkat masing-masing.

"Apa yang penting di setiap Cawangan ialah memastikan gerak kerja di peringkat masing-masing dapat diselarakan di seluruh peringkat bagi menjayakan objektif utama di peringkat pusat," tegas beliau.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime. Beliau menekankan konsep 3 S dalam diri kempimpinan iaitu SEDAR, SIKAP dan SISTEM. Bagi seorang pemimpin 3 S ini merupakan eleman utama bagi memastikan pemimpin itu adalah berkualiti dan mampu menggalas amanah dengan sebaiknya.

Konvensyen PMRAM diteruskan dengan Pembentangan Etika yang dikendalikan oleh Setiausaha Agung PMRAM, Saudara Ahmad Taufiq Mohd Dahlan pada jam 9.45 pagi.

Sebanyak 15 etika Lajnah, Badan dan Unit dibincangkan bersama dalam memastikan setiap pimpinan cawangan mampu menguasai etika dengan sebaiknya.

Bahkan Pembentangan Etika pada kali ini adalah berbeza dengan tahun yang sebelumnya dengan melibatkan perbincangan 2 hala, iaitu pimpinan Pusat dan Cawangan akan sama-sama bertanyakan soalan dalam menilai kefahaman mengenai etika yang ditetapkan.

Selepas Zohor, Konvensyen PMRAM disambung dengan slot Talkshow Prioriti Seorang Pemimpin yang dibentangkan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Beliau menerangkan konsep aulawiyat yang mesti dipegang oleh setiap pimpinan dalam menyusun gerak kerja. Hal ini demikian permasalahan yang berlaku pada pimpinan kebelakangan ini adalah disebabkan rapuhnya penguasaan ke atas aulawiyat bagi penyusunan gerak kerja.

Talkshow tersebut diserikan lagi dengan 2 moderator iaitu Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan, Saudara Mohd Faizzudin Ghazali dan Ketua Unit Penerangan Dan Penerbitan HEWI, Saudari Noor Akmaizan Yusof.

Di sebelah petang, persidangan perbincangan dalam slot Bicara Semasa mengenai 2 usul PMRAM dan isu pemusatan mahasiswa/wi di Kaherah. Slot Bicara Semasa tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Laporan berkenaan usul pertama yang berkaitan integriti dibentangkan oleh Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan, Saudara Mohd Farkhan Md Zain dan Ketua Unit Kebajikan Dan Kemanusiaa,Saudari Nor Hasyimah Hassan.

Dalam laporan yang dibentangkan tersebut menunjukkan banyak kes yang berlaku di sekitar mahasiswa/wi yang melibatkan hak dan maruah namun kecaknaan dalam membela dan membantu masih kurang diberikan perhatian bersama. Antara isu kebajikan, pendidikan dan masalah yang melibatkan pihak luar.

Manakala mengenai usul yang kedua mengenai memperkasakan gerak kerja Hisbah dibentangkan oleh Ketua Lajnah dan Unit Dakwah Dan Pembangunan Insan, Saudara Adlan Mokhtaruddin dan Saudari Huriyyah Abdul Mokti dengan membentangkan kes-kes Hisbah yang semakin meningkat di kalangan mahasiswa/wi Islam di Mesir serta permasalahan yang berlaku di dalam Hisbah yang menyebabkan beberapa gerak kerja terbantut.

Mengenai isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah dibentangkan oleh Ketua Lajnah Muhafazah, Saudara Azlan Haji Alias.

Beliau meminta agar semua pihak pimpinan cawangan cakna akan beberapa impak yang berlaku sekiraya perkara ini terus berlaku di samping mengingatkan kembali sejarah di awal pentauzikkan mahasiswa/wi baru ke muhazafah seawal 1991 yang melibatkan penghantaran seramai 18 mahasiswi ke Iskandariah.

Hasil daripada program Konvensyen PMRAM, sebanyak 3 resolusi yang dicetuskan untuk tindakan bersama, hasil perbincangan meja bulat yang membabitkan Presiden, Timbalan Presiden, Timbalan Pengerusi HEWI, Naib Pengerusi HEWI I, Setiausaha Agung, Setiausaha HEWI, seluruh Yang Di-Pertua BKAN serta Pengerusi DPM. Resolusi Tindakan tersebut dibacakan oleh Presiden PMRAM.

Konvensyen PMRAM tersebut diakhiri dengan ucapan kasih Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman, kalam mutiara Timbalan Pengerusi HEWI, Saudari Norhafiza Abdul Wahab dan dirasmikan dengan amanat emas yang disampaikan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Perasmian penutup tersebut disempurnakan dengan gimik perasmian anak panah dimasukkan ke dalam simbolik hati yang menggambarkan kesatuan antara PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan.

sumber asli : pmram.org
Related Posts with Thumbnails