Tuesday, February 23, 2010

Akidah Islam dan Jenayah Murtad (siri 7)


Maksud Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Akidah Islam


Akidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah akidah yang berpandukan ‘tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w. pesuruh Allah’. Cara untuk mewujudkan masyarakat Islam berdasarkan akidah Islam ialah dengan melahirkan kehormatan dan menyucikan akidah tersebut. Seterusnya melakukan kerja-kerja yang boleh membawa ke arah penerapan akidah tersebut ke dalam hati-hati setiap individu dalam masyarakat.


Dan lagi, mendidik dan mentarbiyah orang-orang Islam yang berada dalam masyarakat berdasarkan saluran tuntutan akidah tersebut. Menepis dan menolak segala dakwaan palsu yang merupakan cemuhan dan tohmahan ke atas akidah tersebut. Menolak segala syubhah yang menyesatkan dan mengelirukan masyarakat. Membaiki dan mencantikkan kelebihan dan kemuliaan akidah tersebut di dalam sanubari individu mahupun masyarakat dengan menggunakan jalan yang menuju kepada tertegaknya masyarakat Islam samada melalui masjid, sekolah, pejabat, media massa dan setiap sudut yang menyalur ke arah tersebut dengan pelbagai kesenian dan tarikan yang sama sekali tidak menyinggung sekaligus menenangkan semua pihak.


Bukanlah yang dimaksudkan mendirikan masyarakat Islam itu dengan memaksa setiap orang yang bukan Islam untuk meninggalkan kepercayaan dan pegangan yang mereka anuti selama ini supaya memasuki Islam. Tidak sama sekali. Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk melakukan sebarang paksaan dalam semua sudut apatah lagi dalam aspek kepercayaan dan anutan agama. Malah perkara tersebut tidak pernah diajar kepada umat terdahulu dan kemudian. Sejak awal lagi Islam menegah perkara tersebut, bahkan banyak di dalam ayat-ayat Al-Quran yang jelas dan nyata menolak konsep paksaan tersebut.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. (Surah Al-Baqarah : 256)


Telah tercatat dalam sejarah kerajaan Islam pada zaman kegemilangannya, bahawa Islam banyak bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama Islam dalam masalah kepercayaan dan pegangan akidah dengan melihat dari pelbagai sudut diri mereka[1]. Malah tidak pernah sama sekali kita pada hari ini mendengar bahawa Islam mengajar umatnya untuk memaksa manusia supaya menganuti Islam.


Makna mendirikan masyarakat Islam berdasarkan akidah Islam ialah dengan tidak membiarkan masyarakat berada dalam keadaan yang terbiar dan sia-sia, tetapi membawa masyarakat ke arah yang bersistem. Untuk melaksanakan akidah Islam dalam sistem masyarakat ialah dengan tidak menyuburkan masyarakat yang madiyah (kebendaan semata-mata iaitu materialisme), sekularisme (memisahkan di antara agama dan urusan dunia), wathaniyan (mensyirikkan Allah s.w.t.), Yahudi, Nasrani, liberalisme atau anutan Marks (tidak mempercayai tuhan).


Yang dikehendaki dalam membawa masyarakat yang menganuti akidah tauhid iaitu agama Islam ialah dengan melaksanakan bahawa tiada agama dan antuan lain yang lebih tinggi dan mulia daripada Islam. Hakikatnya agama Islam itu tinggi (mulia), tiada agama atau anutan lain yang lebih tinggi (mulia) daripadanya. Islam sesekali tidak akan menerima akan percampuran urusan agama dalam masalah akidah tauhid.


Islam tidak akan bersetuju untuk bertukar-tukar sebahagian dalam akidah tauhid dengan agama yang lain. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah ditawar oleh kaum musyrikin untuk sama-sama bertukar-tukar dan bercampur akan perkara dalam ruang lingkup akidah. Kaum musyrikin ingin membuat perjanjian kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyembah tuhan bagi umat Islam selama setahun dan Nabi Muhammad s.a.w. juga mesti menyembah tuhan mereka selama setahun. Lalu atas peristiwa ini, Allah menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan ke atas perjanjian yang ingin mereka metrai bersama Rasulullah s.a.w..


Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya : Katakanlah: "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah . Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." (Surah Al-Kafirun : 1-6)


Masih belum layak untuk mengatakan bahawa sesebuah masyarakat itu ialah masyarakat yang berdiri di atas landasan Islam sekiranya hukum Islam hanya dilaksanakan sebahagian sahaja dan bukan menyeluruh. Bahkan Islam bersifat syumul iaitu menyeluruh dalam segenap urusan manusia. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Pelaksanaan Islam perlu dilakukan secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan bukan hanya melaksanakan sebahagian dan sebahagiannya yang lain di tolak ke tepi.


Bukanlah dinamakan mendirikan masyarakat Islam dengan menyembunyikan nama Allah dalam semua perkara, dalam masa yang sama melahirkan atau mengagungkan sifat atau kuasa semulajadi seperti mengatakan bahawa sungai merupakan perkara semulajadi, hutan rimba merupakan kurniaan sejak dahulu lagi dengan bersifatkan semulajadi. Bahkan dengan mengatakan semua yang wujud adalah perkara yang semulajadi, seolah-olah semua perkara yang wujud tidak ada pencipta baginya maka bukan Allah s.w.t. yang menciptakan segala-galanya dan mentadbir setiap perkara yang berlaku di alam ini[2]. Dengan menyembunyikan nama Allah s.w.t. dan mengangkat nama alam dan semulajadi seolah-olah tidak memperakui akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t.. Bagaimana boleh dikatakan masyarakat Islam seandainya masyarakat tersebut tidak memperakui kekuasaan Allah s.w.t.?


Gambaran yang boleh dinukilkan bagi masyarakat barat terhadap konteks ketuhanan dan ikatan kehidupan dengan alam ialah bagi mereka, wujudnya kuasa tuhan yang merupakan pencipta alam ini dan membiarkan alam ini iaitu dengan tidak menjaga, mengawasi dan mentadbir alam. Seolah-olah alam ini diserahkan sepenuhnya kepada mereka untuk melakukan apa sahaja kerana bagi mereka tuhan tidak mentadbir dan menjaga alam ini.


Jika ditinjau kembali, gambaran ini samalah seperti gambaran yang telah dihasilkan oleh para falsafah (pemikir) Yunani mengenai konteks ketuhanan pada zaman dahulu khususnya Aristotle yang tidak mengetahui sesuatu mengenai ketuhanan melainkan zat dirinya sahaja. Lebih pelik lagi, Aflatun yang tidak tahu akan sesuatu mengenai ketuhanan bahkan juga hakikat bagi zat dirinya.


Adapun gambaran bagi masyarakat Islam dalam konteks ketuhanan telah disebutkan di dalam Al-Quran melalui fiman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ´arsy Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan. Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

(Surah Al-Hadid : 1-6)


Bukanlah masyarakat Islam yang dimaksudkan dengan semata-mata beriman dengan Allah dan hari akhirat, dalam masa yang sama lahir juga iman terhadap kewujudan benda-benda lain, perkauman dan tanah air atau apa-apa sahaja daripada sembahan berhala yang disembah oleh manusia di sana sini samada keimanan tersebut berasingan dengan beriman kepada Allah atau ia bersama-sama (bersekutu) dengan keimanan kepada Allah s.w.t..


Tidak dinamakan sesebuah masyarakat tersebut itu sebagai masyarakat Islam dengan menyembunyikan nama Nabi Muhammad s.a.w. yang bersifat maksum dan teladan yang wajib diikuti dengan menggantikan nama Marks atau menzahirkan nama-nama lain daripada pemikir-pemikir barat dan timur. Malah mengagung-agungkan lagi pembesar-pembesar lain lebih daripada Nabi Muhammad s.a.w..


Tidaklah dinamakan masyarakat Islam yang ada padanya kitab Allah s.w.t. iaitu Al-Quran sebagai hidayat, undang-undang dan pensyariatan namun dibiarkan dengan mengambil manhaj atau sumber-sumber daripada kitab lain sebagai pensyariatan dan undang-undang bagi kehidupan dan juga disandarkan kepada kitab-kitab tersebut sebagai satu timbangan dan nilaian kehidupan.


Bukanlah masyarakat Islam dengan hanya membiar dan berdiam seribu bahasa terhadap pihak-pihak yang mencela Allah, rasul-Nya, kitab-Nya dengan celaan yang melampau tanpa mampu berbuat apa-apa dan mengambil sebarang tindakan tehadap pihak-pihak tersebut di atas kekufuran mereka yang terang-terangan, kemurtadan, kefasikan yang tercela, sehinggakan pihak kufur berani menyuarakan di dalam media massa secara terang-terangan dengan mengatakan : Islam kini sudah tercedera dan lemah yang hanya tersimpan di dalam muzium bersejarah tanpa mampu melakukan sesuatu pun.


Bukanlah sesebuah masyarakat itu dinamakan masyarakat Islam sekiranya mereka bertolak ansur dengan memberi ruang dan kuasa kepada akidah-akidah lain yang memusuhi Islam atau mencampur adukkan Islam dalam ruang lingkup akidah seperti akidah komunis atau apa-apa sahaja daripada ideologi-ideologi yang songsang yang merampas kuasa. Adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap ideologi-ideologi[3] tersebut bukanlah daripada kelompok akidah yang memusuhi Islam.


Sesungguhnya hal ini merupakan satu gerakan ataupun mazhab berunsurkan ekonomi atau kemasyarakatan, yang menggunakan satu unsur atau idea tertentu dalam menyusun sesuatu cara hidup dan perkara-perkara yang berkaitan. Ideologi-ideologi tersebut tidak ada tabiat semulajadi yang berunsur keagamaan sehingga ia dinamakan akidah. Hakikat yang berlaku ialah, ideologi-ideologi tersebut merupakan satu falsafah bagi kehidupan yang sempurna dan akidah yang menyeluruh, meliputi sudut pandangan manusia kepada alam sejagat, sejarah, kehidupan, sesama makhluk, ketuhanan, yang kesemuanya menyalahi pandangan Islam. Sesetengah ulama’ menamakannya perkara ini[4] sebagai agama yang tiada wahyu.


Bukanlah masyarakat Islam sekiranya menjadikan akidah sebagai perkara sampingan di dalam kehidupannya. Tidak mengambil sebagai manhaj atau perjalanan dari segi pendidikan, pembelajaran, pengetahuan, pemikiran dan petunjuk melainkan pada ruang lingkup yang terlalu kecil dan terhad. Dengan tidak menjadikan akidah sebagai asas atau dasar yang utama dalam kehidupan individu, kekeluargaan mahupun kemasyarakatan. Malah, dengan menjadikan akidah sebagai perkara yang kedua dalam setiap perkara seolah-olah meletakkan akidah di hujung ekor atau di tempat yang terakhir dalam membuat pemilihan, itupun sekiranya ada tempat yang disediakan.


Akidah pada masyarakat Islam yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w., diwarisi oleh para sahabat dan tabi’ dan golongan selepas mereka merupakan perkara dan rujukan yang pertama dalam masyarakat dan kehidupan.

Akidah merupakan masdar atau rujukan bagi permasalahan dan pemikiran. Akidah merupakan asas bagi sesebuah ikatan (dalam konteks hubungan) dan kemasyarakatan sebagaimana juga ia merupakan asas bagi perundangan. Akidah melahir dan membina akhlak-akhlak yang baik lagi terpuji[5] dan ia juga membentuk keperkasaan dan kegagahan di medan jihad dan pertempuran dan dalam setiap bidang yang memerlukan usaha yang besar dan bersungguh-sungguh.[6]


Demikianlah akidah yang dibawa oleh Islam dan kesannya kepada masyarakat Islam. Ia juga wajib untuk dilaksanakan serta memberi kesan pada setiap masyarakat yang mengingini atau diingini baginya untuk menjadi seorang yang muslim samada pada hari ini atau esok….


Akidah Islam (beserta dengan rukun-rukunnya) merupakan asas yang kuat dalam menjadikan setiap masyarakat berada dalam keadaan yang kukuh lagi utuh. Bagi mana-mana masyarakat yang didirikan atas selain daripada akidah islam, ia merupakan suatu binaan yang goyah dan rapuh, yang hanya menunggu waktu untuk runtuh dan roboh pada bila-bila masa.


Perkara yang sangat buruk dan keji ialah mendirikan masyarakat dengan bergelar dan bercerminkan nama Islam, namun keselarasan dan perjalanan sistem yang dilaksanakan tidak mengikut Islam bahkan mengambil idealogi-idealogi barat yang menyesatkan. Sesungguhnya, gelaran Islam yang dipamerkan hanya sebagai untuk tarikan manusia. Perkara tersebut merupakan sebuah penipuan yang keji lagi menyesatkan bagi setiap asas dalam pembinaan masyarakat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Maka apakah orang-orang yang mendirikan mesjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim. (Surah At-Taubah : 109)


Kita telah melihat sejarah yang telah berlaku dalam masyarakat komunis sewaktu zaman kegemilangannya, yang membentuk akidah atau anutan Marks dan juga falsafah kebendaan atau lebih dikenali sebagai materialistik. Perlembagaan dalam masyarakat komunis tersebut menyebarkan ajarannya iaitu kehidupan yang tidak bertuhan dan hanya mementingkan sifat kebendaan dan kekayaan sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Bukan saja terhadap perlembangaannya sahaja malah anutan ini tersebar kepada perundangan, pendidikan, pengetahuan dan politik.


Maka tidak hairanlah jika kita mengatakan bahawa anutan ini sememangnya berlawanan dengan akidah Islam jika ditinjau dari sudut yang sama kerana akidah Islam membawa pandangan manusia melihat kepada penciptaan manusia dan alam semesta dalam mentauhidkan tuhan Yang Esa.


[1] Yang dimaksudkan ialah sifat bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama islam dalam beberapa perkara selama mana tidak memburukkan dan menghina islam seperti member mereka ruang dalam menyambut hari perayaan mereka. Bahkan Allah s.w.t melarang umatnya untuk menghina dan mencaci tuhan-tuhan mereka kerana ia akan menyebabkan perpecahan dan peperangan.

[2] Kepercayaan sebegini merupakan seperti kepercayaan atheis yang tidak mempercayai akan kewujudandan kekuasaan tuhan.

[3] Seperti sekularisme, liberalisme, atheist dan lain-lain.

[4] Iaitu idealog-idealogi yang bertentangan dengan islam.

[5] Hal ini demikian, bermula dengan akidah islam, manusia akan melakukan segala pentaklifan yang dikenakan ke atas mereka seterusnya keberkesanan dalam melaksanakan pentaklifan tersebut akan menghasilkan akhlak yang terpuji.

[6] Dalam sebuah hadis nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muaz r.a bin Jabal, nabi s.a.w ada berasbda bahawa kepala atau kunci bagi sesuatu perkara adalah dengan islam, tiangnya adalah dengan solat dan kemuncaknya ialah jihad.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails