Monday, August 16, 2010

Ramadhan : Tunaikan Amanah, Bukan Melepaskan Batuk Di Tangga


Bulan Ramadhan merupakan salah satu amanah atau pentarbiyahan secara langsung daripada Allah kepada hamba-Nya. Justeru atas kebesaran amanah dan pentarbiyahan inilah, ganjaran yang dijanjikan sangat memberangsangkan, iaitu balasan ganjaran pahala berpuasa ini sendiri akan diberikan olehg Allah, berbanding dengan ganjaran ibadah-ibadah yang selainnya.

Sabda Nabi SAW : 2 kegembiraan bagi mereka yang berpuasa (sempurna), yang pertama ketika berbuka puasa dan yang kedua ketika menerima ganjaran pahala (hasil daripada berpuasa).

Di dalam hadis qudsi jelas menunjukkan bahawa Allah akan memberikan secara langsung akan ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang berpuasa.

Maka, selain pentarbiyahan lapar dan dahaga beberapa lagi amanah yang lain di dalamnya diberikan bagi melihat mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai orang yang beriman, benar-benar diperakui. Antaranya ialah amalan sunat seperti solat terawih, sahur, galakan membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya, doringan bertahajud dan menghidupkan malam sempena Lailatul Qadr dan sebagainya.

Latihan-latihan tersebut merupakan satu uji kaji bagi menilai keimanan mereka yang berpuasa dalam menggalas amanah Ramadhan ini.

Kedatangan Ramadhan yang saban tahun di sambut diseluruh pelusuk dunia perlu memahami bahawa kedatangan Ramadhan bukan sekadar pesta berseronok dengan janji pahala semata-mata, begitu juga bukan menyebabkan mereka yang berpuasa memberhentikan segala aktiviti kerja-kerja Islam yang lain dek kerana penat dan hanya menantikan Ramadhan berlalu begitu sahaja.

Perlu difahami bahawa di antara keseronokan dan tidak bersemangat di dalam Ramadhan, kita dituntut memahami konsep amanah dengan sebaiknya. Bila memahami konsep amanah sekaligus akan menjadi gerak geri sepanjang Ramadhan tepat dalam menunaikan amanah tersebut iaitu meletakkan pada tempatnya dengan sebaik-baiknya. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Dan ini jelaskan dan dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW : sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan, maka dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.

Juga Nabi SAW mengingatkan bahawa berapa ramai yang berpuasa akan tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Hal ini demikian mereka melalui Ramadhan seakan-akan melepaskan batuk di tangga, tanpa ada kesungguhan dalam menunaikan amanah Ramadhan yang diberikan.

Dan lagi Nabi SAW memberikan mengingatkan bahawa celaka bagi mereka yang melalui Ramadhan namun tidak mendapat keampunan sepanjang di dalam Ramadhan.

Justeru, Ramadhan merupakan amanah besar yang secara langsung diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Dan apabila dinyatakan amanah, perlu difahami bahawa konsep menunaikan amanah yang sebenar, bukan hanya melepaskan batuk di tangga.

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails