Sunday, January 30, 2011

Wakil PMRAM Kunjungi Tan Sri Wan Mokhtar


SELANGOR, 26 Jan - Wakil PMRAM mengadakan kunjungan ziarah ke rumah kediaman Tan Sri Wan Mokhtar yang merupakan mantan Yang Di-Pertua PMM. Kunjungan ziarah tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden, Muhamad Zuhaili Saiman bersama mantan Naib Setiausaha Agung PMRAM 2009, Saudara Amaluddin. Kunjungan itu merupakan kunjungan yang kedua selepas kunjungan pertama yang dihadiri oleh Saudara Muhamad Zuhaili pada 18 Januari yang lepas.

Wakil PMRAM sampai di rumah kediaman Tan Sri Wan Mokhtar sekitar jam 4.30 petang. Pertemuan yang memakan masa selama sejam itu memberikan banyak pengalaman bersejarah yang pernah diusahakan oleh Tan Sri semasa memikul amanah YDP PMM. Antara sejarah paling berharga yang pernah dilakukan oleh Tan Sri ialah menyempurnakan misi mendapatkan tanah daripada kerajaan Mesir yang mula dicetuskan oleh pimpinan lama semasa tahun 1932.

Hasil kesungguhan Tan Sri bersama saf kepimpinan ketika itu, Presiden Mesir ketika itu memberikan tanah seluas 2212 meter persegi bagi kegunaan anak-anak melayu ketika itu bagi tujuan pembinaan bangunan untuk dijadikan asrama.

Selain itu, Tan Sri juga turut memberikan beberapa nasihat bagi mahasiswa/wi Islam Mesir dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan di Universiti Al-Azhar. Bahkan, Tan Sri turut dimaklumkan berkenaan Misi Dan Syaqah PMRAM yang bermula 2006 bagi mengurangkan kos pembayaran sewa pejabat yang ditanggung oleh PMRAM sejak diusir dari ARMA.

Di akhir pertemuan tersebut, wakil PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan mesra yang diberikan oleh Tan Sri. Bahkan Tan Sri sendiri juga berhasrat ke Mesir untuk menziarahi mahasiswa/wi Mesir yang mana kali terakhir Tan Sri ke Mesir pada tahun 80-an.

sumber asal : pmram.org

No comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails